Soalan:

Assalamualaikum, Dato’ Seri. Saya ingin bertanya berkaitan apakah hukum kita meletakkan telefon ke dalam poket seluar sedangkan telefon tersebut sedang memainkan video bacaan Al-Quran. Hal ini demikian kerana saya suka mendengar bacaan al-Quran ketika berjalan ke kelas di kampus.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Membaca al-Quran merupakan amalan yang sangat dituntut di dalam Islam. Begitu juga, akan diberi pelbagai ganjaran dan kelebihan bagi sesiapa yang membaca al-Quran sepertimana hadith yang diriwayatkan oleh Muhammad bin Ka’ab al-Qurazi menyebut, aku mendengar daripada Abdullah bin Mas’ud RA berkata, Nabi SAW bersabda:

مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ

Maksudnya: “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada Kitabullah (al-Quran) maka baginya satu kebaikan.”

Riwayat al-Tirmizi (2910)

Selain itu, di antara kelebihan membaca al-Quran ianya boleh memberi syafaat ketika pada hari kiamat kelak. Ini seperti hadith yang diriwayatkan ole Abu Umamah RA bahawa ia mendengar Nabi SAW bersabda:

اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لأَصْحَابِهِ

Maksudnya: “Bacalah al-Quran, kerana sesunggunhnya ia akan datang pada hari kiamat memberi syafaat kepada sesiapa yang membacanya.

Riwayat Muslim (804)

Pada asalnya, kita dituntut untuk memuliakan dan menghormati al-Quran di samping menjaga adab-adab dengannya.

Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ يَرْفَعُ بِهَذَا الْقُرْآنَ أَقْوَامًا وَيَضَعُ بِهِ آخَرِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengangkat suatu kaum dengan al-Quran ini dan merendahkan kaum yang lain dengannya.”

Riwayat Muslim (817); Ibn Majah (218) dan  Ibn Hibban (772)

Maknanya, sesiapa yang beriman dengan al-Quran, memuliakan kedudukannya dan beramal dengannya, maka Allah SWT akan mengangkat kedudukannya di dunia dan akhirat serta mengurniakannya ke‘izzahan dan kemuliaan, manakala sesiapa yang tidak beriman dengan al-Quran atau tidak memuliakan kedudukannya, maka Allah SWT akan merendahkan dan menghinakannya di dunia dan akhirat, sekalipun dia ada kedudukan atau kemuliaan pada kaca mata manusia. (Lihat al-Mafatih fi Syarh al-Masabih, 3/67-68; Tatriz Riyadh al-Salihin oleh Faisal bin ‘Abd al-‘Aziz al-Mubarak, hlm. 581)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan dibolehkan untuk anda meletakkan telefon anda yang dipasang ayat al-Quran di dalam poket seluar kerana ia kembali kepada hukum asal yakni harus. Bahkan, ia bukanlah al-Quran tetapi telefon bimbit sahaja. Sebagaimana kaedah fiqh menyebut:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya: “Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Namun, kami juga ingin nasihatkan agar sentiasa menjaga kemuliaan al-Quran, meskipun ia hanya al-Quran yang dipasang di telefon bimbit. Misalnya tidak memasang al-Quran sehingga masuk ke tandas dan seumpamanya.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.

Leave a Reply