Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah menjadikan mimpi  sebagai rujukan untuk sesuatu Hukum dalam syariat? Seperti bermimpi berjumpa Rasulullah SAW ataupun bermimpi bertemu dengan orang yang soleh?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Diriwayatkan daripada Abu Qatadah, bahawa Nabi SAW bersabda:

الرُّؤْيَا الصَّادِقَةُ مِنَ اللهِ، وَالحُلْمُ مِنَ الشَّيْطَانِ.

Maksudnya: “Mimpi yang benar daripada Allah, dan mimpi yang buruk daripada syaitan.”

Riwayat al-Bukhari (6984)

Perlunya kita memahami jika ia baik adalah daripada Allah maka bolehlah kita ceritakan sebaliknya jika tidak, ia daripada syaitan, maka hendaklah kita berdoa berlindung daripadanya. Hal ini berdasarkan hadith Nabi SAW, daripada Abu Sa‘id al-Khudri, bahawa dia mendengar Nabi SAW bersabda:

إِذَا رَأَى أَحَدُكُمْ رُؤْيَا يُحِبُّهَا، فَإِنَّمَا هِيَ مِنَ اللهِ، فَلْيَحْمَدِ اللهَ عَلَيْهَا وَلْيُحَدِّثْ بِهَا، وَإِذَا رَأَى غَيْرَ ذَلِكَ مِمَّا يَكْرَهُ، فَإِنَّمَا هِيَ مِنَ الشَّيْطَانِ، فَلْيَسْتَعِذْ مِنْ شَرِّهَا، وَلاَ يَذْكُرْهَا لِأَحَدٍ، فَإِنَّهَا لاَ تَضُرُّهُ.

Maksudnya: “Apabila seseorang daripada kalian bermimpi melihat sesuatu yang disenanginya, maka sesungguhnya mimpi itu daripada Allah, kerana itu hendaklah dia memuji Allah dan menceritakannya. Dan apabila dia bermimpi melihat sesuatu yang tidak disenanginya, sesungguhnya mimpi itu daripada syaitan, maka hendaklah dia memohon perlindungan daripada keburukannya dan tidak menceritakannya, kerana sesungguhnya mimpi itu tidak akan membahayakannya.”

Riwayat al-Bukhari (6985)

Menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa tidak boleh seseorang itu menjadikan mimpinya sebagai sandaran untuk dijadikan panduan dalam hukum syara’, walaupun dia bermimpi bertemu Rasulullah SAW. Hal ini kerana hukum syara’ telah ditetapkan dan tidak boleh diubah atau ditambah berdasarkan mimpi, kerana hukum syara’ hanya boleh diambil daripada al-Quran dan juga al-Sunnah yang sahih. Mimpi tidak boleh dijadikan sebagai sumber hukum, kerana ia adalah bentuk ilham atau petunjuk peribadi yang tidak menjamin kesahihan atau kesesuaian dengan prinsip-prinsip syariah yang telah ditetapkan.

Abu al-Walid ibn Rusyd berkata: “Berkenaan hukum yang mana dua saksi yang adil telah memberikan kesaksian di hadapannya, maka tidak halal baginya untuk meninggalkan keputusan berdasarkan kesaksian tersebut hanya kerana apa yang dilihatnya dalam mimpi, bahawa Nabi SAW berkata kepadanya: “Jangan kamu memutuskan dengan kesaksian ini, kerana ia adalah palsu.” Hal ini kerana membatalkan hukum-hukum syariah berdasarkan mimpi adalah tidak sah dan tidak boleh dipercayai serta tidak boleh diperkatakan; sesungguhnya yang mengetahui perkara ghaib dari sudut ini hanyalah para nabi A.S yang mana bagi mereka ia adalah wahyu daripada Allah. Adapun selain mereka, mimpi mereka hanyalah sebahagian daripada empat puluh enam bahagian kenabian..” (Lihat Masail Ibn Rusyd, 1/ 533).

Al-Syatibi berkata: “Dan yang paling lemah hujahnya di antara mereka adalah golongan yang bersandar kepada mimpi dalam mengambil amal perbuatan, lalu mereka menerima dan menolak sesuatu kerana mimpi tersebut. Mereka berkata: “Kami melihat si fulan – seorang lelaki yang soleh – berkata kepada kami: tinggalkan ini, lakukan ini.”Ini sering berlaku dalam kalangan mereka yang mendakwa diri mereka sebagai pengamal tasawuf. Mungkin ada yang berkata: “Saya melihat Nabi SAW dalam mimpi, baginda berkata kepada saya begini, dan memerintahkan saya begini,” lalu mereka melaksanakannya dan meninggalkan sesuatu kerana mimpi tersebut, mengabaikan batas-batas yang ditetapkan dalam syariat. Ini adalah perkara yang salah; kerana mimpi selain daripada para nabi tidak boleh dijadikan hukum syara’ dalam apa jua keadaan, kecuali jika mimpi tersebut selari dengan hukum syara’ yang ada pada kita. Jika ia menepati hukum syara’, maka boleh diamalkan mengikut maksudnya, jika tidak, wajib ditinggalkan dan diabaikan. Kegunaan mimpi hanyalah sebagai berita gembira atau amaran sahaja, tetapi untuk mengambil hukum daripadanya; maka tidak dibolehkan. (Lihat al-I’tisam, 1/331).

Imam al-Nawawi berkata: “Kata-kata (bahawa Hamzah al-Zayyat melihat Nabi SAW dalam mimpi, lalu beliau memperlihatkan kepada baginda apa yang didengarnya daripada Aban, dan baginda hanya mengenali sedikit daripadanya)?! Qadi ‘Iyad  berkata: Ini dan yang sepertinya hanyalah sekadar sebagai penguat dan sokongan terhadap apa yang telah ditetapkan tentang kelemahan Aban, bukanlah ia satu ketetapan dengan berdasarkan mimpi, atau ia membatalkan sesuatu sunnah yang telah tetap, dan bukan juga menetapkan sunnah yang tidak tetap. Ini adalah ijma’ ulama. Inilah kata-kata Qadi ‘Iyad.

Begitu juga dikatakan oleh ulama lain daripada kalangan mazhab kami dan selainnya, mereka menukilkan kesepakatan bahawa apa yang telah ditetapkan dalam syariat tidak boleh diubah disebabkan apa yang dilihat oleh orang yang bermimpi.

Apa yang disebutkan ini tidak bertentangan dengan sabda Nabi SAW: “Sesiapa yang melihatku dalam mimpi, maka sesungguhnya dia telah melihatku”: maksud hadis ini adalah bahawa penglihatannya dalam mimpi adalah benar, dan bukanlah daripada mimpi yang biasa atau tipu daya syaitan. Namun tidak boleh menetapkan hukum syarak dengannya; kerana keadaan tidur bukanlah keadaan yang boleh mengesahkan dan memastikan apa yang didengar oleh orang yang bermimpi, dan mereka bersepakat bahawa antara syarat bagi seseorang yang diterima riwayat dan kesaksiannya adalah dia mesti dalam keadaan sedar, tidak lalai, tidak buruk ingatan, tidak banyak kesilapan, dan tidak cacat dalam hafalannya, sedangkan orang yang tidur, tidak memiliki sifat-sifat ini, maka riwayatnya tidak diterima kerana ketidakcukupan dalam hafalannya.

Ini semua berkenaan mimpi yang berkaitan dengan menetapkan hukum yang berbeza dengan apa yang telah diputuskan oleh para hakim.

Adapun jika seseorang melihat Nabi SAW memerintahkannya melakukan sesuatu yang disunatkan, atau melarangnya daripada sesuatu yang dilarang, atau membimbingnya melakukan sesuatu yang bermanfaat: tiada khilaf tentang disunnahkan untuk beramal mengikutnya; kerana itu bukanlah hukum semata-mata berdasarkan mimpi, tetapi telah ditetapkan daripada hukum asalnya. Wallahu a’lam. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 1/115)

Dalam Hasyiyah al-‘Attar Syarh al-Jalal al-Mahalli ‘ala Jam’ al-Jawami’, disebutkan: “Dan tidak semestinya daripada kebenaran melihat Nabi SAW dalam mimpi itu bergantung kepada mimpi tersebut dalam menetapkan hukum syarak; kerana terdapat kemungkinan kesilapan dalam penerimaan dan ketidakmampuan orang yang bermimpi untuk memastikan apa yang dilihatnya dengan tepat. Diriwayatkan bahawa seorang lelaki melihat Nabi SAW dalam mimpi dan baginda berkata: “Di tempat tertentu terdapat harta karun, pergilah dan ambillah, dan tidak perlu bayar khums (seperlima daripadanya).” Lelaki itu pergi dan menemui harta tersebut!! Dia pun meminta fatwa daripada ulama, lalu ‘Izz Ibn ‘Abd al-Salam berkata: “Keluarkan khums; kerana ketetapan hukum ini adalah melalui tawatur (riwayat yang mutawatir), sedangkan penglihatanmu hanyalah satu riwayat ahad.” (Lihat Hasyiah al-‘Attar, 2/467).

Justeru, berdasarkan hal ini, hukum syariah tidak boleh diambil daripada mimpi walaupun ia merupakan mimpi bertemu dengan Rasulullah SAW, melainkan perkara tersebut adalah perkara yang selari dengan syariat. Wallahua’lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa.” (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/75)

Leave a Reply