Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, kenapa seorang muslim digalakkan untuk mengurangkan makan dan apa kesannya sekiranya melampau dalam mengambil makanan? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ
Maksudnya: “Makanlah serta minumlah dan jangan melampau. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampau.”
(Surah al-A’raf. 31)
Syeikh Abd Rahman al-Sa‘di menyebutkan bahawa: “Berlebih-lebihan ini boleh berlaku sama ada dengan mengambil lebih daripada kadar yang mencukupi dan keterlaluan dalam makanan yang boleh membahayakan tubuh, atau dengan berlebih-lebihan bermewah-mewahan dalam makanan, minuman, dan pakaian, ataupun dengan melampaui batas yang halal kepada yang haram.” (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm287)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa seorang muslim itu hendaklah menolak segala kemudaratan yang boleh menjejaskan kesihatan diri atau perka-perkara yang membawa keburukan kepada badan. Oleh yang demikian, syarak amat menggalakkan umatnya untuk mengurangkan makanan dan berpada-pada dalam pengambilannya. Hal ini boleh dilihat melalui sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Miqdam bin Ma’di Karib RA, beliau berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
مَا مَلَأَ آدَمِيٌّ وِعَاءً شَرًّا مِنْ بَطْنٍ، بِحَسْبِ ابْنِ آدَمَ أَكَلَاتٌ يُقِمْنَ صُلْبَهُ، فَإِنْ كَانَ لَا مَحَالَةَ، فَثُلُثٌ لِطَعَامِهِ، وَثُلُثٌ لِشَرَابِهِ، وَثُلُثٌ لِنَفَسِهِ
Maksudnya: “Tidaklah seorang anak Adam memenuhi satu tempat yang lebih teruk dari (memenuhi) perutnya. Cukuplah bagi anak Adam makanan yang boleh menegakkan tulang belakangnya, jika boleh (lebih dari itu) maka sepertiga untuk makanannya, sepertiga untuk minumnya dan sepertiga untuk nafasnya.”
Riwayat Ahmad (4/132), al-Tirmizi (2380), al-Nasaie (6769) (6770) dan Ibn Majah (3349). Al-Tirmizi berkata hadith ini hasan
Hadith ini menerangkan adab syarak yang sepatutnya diikuti oleh seseorang dalam kuantiti makannya, bahawa cukup dengan beberapa suapan atau gigitan yang mencukupi. Ini adalah salah satu bentuk zuhud yang terpuji. Jika perlu makan sehingga kenyang, maka hendaklah membahagikan makanan kepada satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman, dan satu pertiga lagi untuk ruang bernafas.
Hadith ini mengecam amalan makan sehingga kenyang dan memberi amaran tentang mengisi perut dengan penuh. Ini kerana makan yang berlebihan boleh menyebabkan rasa haus yang berlebihan, yang menyebabkan seseorang itu mengambil minuman yang banyak. Ia akan menyebabkan tubuh dan anggota badan menjadi lemah, seterusnya mendorong rasa malas, keinginan untuk berehat, kecenderungan untuk tidur, dan kemalasan dalam melaksanakan perintah Allah SWT. Selain itu, ia boleh menyebabkan pelbagai penyakit, sama ada segera atau lambat, sama ada yang zahir atau batin. Kadang-kadang, seseorang mungkin mencari minuman yang dapat mengurangkan kesulitan pencernaan yang disebabkan oleh makan yang berlebihan. (Lihat Minhah al- ‘Allam fi Syarh Bulugh al-Maram, 10/184)
Menurut Ibn Rejab beliau menyatakan bahawa: “Kurangnya makanan menyebabkan hati menjadi lembut, pemahaman menjadi kuat, jiwa menjadi tunduk, dan nafsu serta kemarahan menjadi lemah. Banyaknya makanan menyebabkan sebaliknya.” (Lihat Jami‘ al- ‘Ulum wa al-Hikam, 3/239)
Justeru, dapat difahami bahawa mengawal dan mengurangkan makanan adalah amalan yang dianjurkan dalam Islam. Ia bukan sahaja membantu menjaga kesihatan tubuh, tetapi juga memperkuatkan ketahanan hati dan mengendalikan nafsu. Dengan mematuhi nasihat Rasulullah SAW dalam hadith tersebut, seseorang Muslim dapat mencapai keseimbangan dalam kehidupan, baik dari segi fizikal, mental, mahupun rohani.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا
Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ketakwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”
Wallahua’lam