Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah kita melakukan prosedur sulaman kening (microblading)? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Sulaman Kening (Microblading)

Kami mulakan dengan menerangkan terlebih dahulu berkenaan sulaman kening atau microblading ini. Sulaman kening (microblading) adalah sejenis seni bina kening (eyebrow architecture). Ia tentang mencipta bentuk terbaik untuk setiap wajah – pendekatan yang sepenuhnya disesuaikan untuk setiap pelanggan. Prosesnya sangat tepat terima kasih kepada alat yang digunakan yang berkesan seperti pen dengan mata berbentuk bilah serong dengan 10-12 jarum kecil di hujungnya — jarum yang tidak menembusi kulit tetapi hanya mencucuk permukaan secara halus, sama seperti potongan kertas. Jarum ini dengan sangat halus mengimplankan strok ringan menggunakan pigmen gred perubatan pada lapisan epidermis kulit, mencipta strok rambut yang halus, realistik dan semula jadi. Selain itu, sulaman kening ini juga tidak seperti tatu, ia tidak berada dalam lapisan kulit yang dalam, tetapi lebih kepada permukaan. Ini juga tidak kekal, dan warnanya pudar dalam masa 18 bulan.

Tambahan lagi, strok rambut jauh lebih semula jadi dan halus berbanding dengan tatu, kerana jarum/bilah yang digunakan secara manual – tiada alat elektrik yang menembusi dalam teknik ini. Oleh itu, terdapat lebih banyak bunyi mencakar/mencucuk, berbanding dengan bunyi berdengung (buzz) dari pistol tatu yang menusuk kulit dengan begitu dalam.[1]

Hukum Sulaman Kening (Microblading)

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami melihat prosedur sulaman kening (microblading) ini, berkait dengan pengubahan pada bulu kening dan juga mirip dengan tatu kerana melibatkan proses implan/menanam pigmen berwarna. Pigmen ini mempunyai tekstur yang menyerupai rambut sebenar dan dipasang mengikut laluan pertumbuhan rambut sebenar.[2]

Pada asasnya, Islam mengharamkan sebarang bentuk pengubahan ciptaan asal bahagian tubuh seseorang yang dilakukan dengan alasan untuk kelihatan lebih cantik sama ada dengan cara penyambungan atau dengan cara pembedahan atau seumpamanya. Ini berdasarkan riwayat daripada Rasulullah SAW bahawa Baginda bersabda:

لَعَنَ اللَّهُ الْوَاشِمَاتِ وَالْمُسْتَوْشِمَاتِ وَالنَّامِصَاتِ وَالْمُتَنَمِّصَاتِ وَالْمُتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ الْمُغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ

Maksudnya: “Allah SWT melaknat para pembuat tatu dan mereka yang meminta untuk dibuatkan tatu untuknya, para wanita yang mencukur bulu kening serta wanita yang meminta untuk dibuang bulu keningnya, dan orang yang menjarangkan gigi-gigi mereka yang mengubah ciptaan Allah.”

Riwayat  al-Bukhari (4886) dan Muslim (2125)

Hadith ini menunjukkan akan pengharaman semua perkara tersebut dan lafaz ‘laknat’ yang terdapat di dalamnya merupakan dalil bahawa ia termasuk dalam dosa-dosa besar. Selain itu, sebab kepada laknat itu turut dinyatakan dalam hadith melalui lafaz “المــُـغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ” iaitu sifat yang dikehendaki oleh orang yang membuat tatu, mencabut bulu wajah dan merenggangkan gigi. (Lihat Fath al-Bari, 10/373)

Ibn Hajar al-‘Asqalani turut menukilkan kata-kata Imam Abu Daud dalam al-Sunan dengan katanya: Al-Namisah “النامصة” adalah perempuan yang mengurangkan (menipiskan) bulu keningnya. Beliau juga menukilkan kata-kata Imam al-Tabari yang berikut: Tidak boleh bagi seorang perempuan itu untuk mengubah sedikitpun daripada penciptaan asal dirinya yang telah Allah ciptakan dengan menambah atau mengurangkan bertujuan untuk mendapatkan kecantikan. Tidak boleh dia lakukan untuk suaminya dan tidak juga kepada selainnya, seperti sesiapa yang kedua keningnya bersambung lalu dia membuang bulu yang berada di antara keduanya. (Lihat Fath al-Bari, 10/390).

Manakala lafaz “المــُـتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ” pula bermaksud mereka melakukan perbuatan tersebut — yakni merenggangkan gigi — kerana ingin mencantikkannya lagi. Oleh yang demikian, terdapat isyarat yang menunjukkan bahawa hukum haram itu ditujukan kepada sesiapa yang melakukannya demi kecantikan semata-mata. Adapun jika kerana adanya keperluan mendesak seperti tujuan perubatan atau menghilangkan aib dan seumpamanya, maka ia adalah diharuskan. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 14/107).

Selain daripada itu, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani ketika mensyarahkan hadith ini juga ada menyebutkan, difahami daripada lafaz “المــُـتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ” bahawa ia adalah perbuatan tercela jika mereka melakukan perbuatan tersebut untuk tujuan kecantikan. Namun, jika adanya keperluan bagi perkara tersebut seperti untuk rawatan, maka ia adalah diharuskan. (Lihat Fath al-Bari, 10/372).

Di samping itu, Dr. Soleh al-Fauzan menjelaskan lagi, pengikat iaitu lafaz “لِلْحُسْنِ” yakni untuk kecantikan tambahan, yang terdapat dalam hadith di atas menunjukkan bahawa larangan tersebut adalah khusus sekiranya ia dilakukan dengan tujuan mendapatkan kecantikan tambahan pada kejadian yang sedia ada (normal). Sekiranya dilakukan untuk merawat atau menghilangkan aib, maka hukumnya adalah diharuskan. Ini menunjukkan bahawa bukan semua bentuk perubahan itu diharamkan. Bahkan, huruf ‘lam’ yang terdapat pada lafaz “لِلْحُسْنِ” ini adalah untuk menjelaskan sebab (التعليل), sekali gus mengecualikan urusan yang melibatkan rawatan dan seumpamanya daripada larangan tersebut. (Lihat al-Jirahah al-Tajmiliyyah, hlm. 73).

Oleh yang demikian, kita mengetahui bahawa bulu kening termasuk dalam bulu yang dilarang oleh syarak untuk mencukurnya. Begitu juga tidak boleh untuk menjalankan apa-apa pengubahan padanya, sama ada dengan cara menipiskannya, mencukurnya, menyambungnya, melalui cara pembedahan atau seumpamanya tanpa sebarang keperluan seperti untuk tujuan merawat serta menghilangkan aib dan kecacatan.

Bahkan Dr. Soleh al-Fauzan dalam kitabnya yang berkaitan pembedahan kecantikan ada membawakan satu dhawabit umum bagi pengubahan yang diharamkan yang boleh untuk dijadikan sebagai rujukan dalam isu ini, iaitu:

إِحْدَاثُ تَغْيِيرِ دَائِمٍ فِي خِلْقَةٍ مَعْهُودَةٍ

Maksudnya: “Mengadakan sesuatu yang baru dengan cara membuat pengubahan yang kekal pada kejadian yang asal.”

Pengubahan tersebut boleh jadi dengan cara menambah seperti suntikan kecantikan, menanam atau seumpamanya, ataupun dengan menghilangkan sebahagian tisu badan seperti menyedut lemak, ataupun dengan mengubah rupa bentuk sebahagian anggota, sama ada dengan membesarkannya, mengecilkannya atau mengetatkannya.

Manakala lafaz “دَائِم” di sini pula merujuk kepada kesannya itu kekal dalam suatu tempoh yang lama seperti berbulan-bulan atau bertahun-tahun, dan tidak semestinya kekal sepanjang hayatnya. Justeru, pengikat ini mengeluarkan pengubahan yang bertempoh (التغيير المؤقت) yang mana kesannya itu tidak kekal lebih daripada beberapa hari.

Kemudian, lafaz “خِلْقَة مَعْهُودَة” pula merujuk kepada kejadian yang asal atau normal mengikut sunnah kauniyyah. Misalnya, orang yang sudah lanjut usianya akan mempunyai kedutan pada wajah mereka. Manakala orang yang masih muda pula, kedutan yang terdapat pada wajahnya dengan rupa yang hodoh dikira sebagai kejadian yang tidak normal.  Pengikat “خِلْقَة مَعْهُودَة” meliputi perubahan atas beberapa sebab:

  • Mengubah kejadian yang asal demi kecantikan tambahan semata-mata seperti tatu, mencabut bulu-bulu wajah dan merenggangkan gigi serta apa-apa pembedahan kosmetik yang disandarkan kepadanya yang dilakukan pada kejadian yang asal mengikut uruf kebanyakan manusia.
  • Mengubahnya untuk tujuan menyeksa seperti membutakan mata, memotong telinga dan seumpamanya.
  • Mengubahnya untuk tujuan penyamaran dan melarikan diri daripada pihak berkuasa keselamatan.

Justeru, terkeluar daripada pengikat ini mengubah kejadian yang tidak normal seperti rawatan bagi penyakit, kecederaan, kehodohan dan keaiban yang asal atau keaiban yang mendatang yang menyebabkan kemudaratan pada anggota fizikal atau jiwa. Begitu juga tidak termasuk di dalamnya, pengubahan yang diizinkan oleh syarak seperti khitan dan menjatuhan hukuman syariah. (Lihat al-Jirahah al-Tajmiliyyah, hlm. 74-75).

Selain itu, Majlis Majma‘ al-Fiqh al-Islami al-Duwali dalam persidangan mereka yang ke-18, di Putrajaya, Malaysia, dari 24-29 Jamadil Akhir 1428 Hijrah, bersamaan dengan 9-14 Julai 2007 khususnya berkaitan tajuk: “Al-Jirahah al-Tajmiliyyah wa Ahkamuha (Pembedahan Kosmetik dan hukum-hukumnya).” Di antara keputusan tersebut adalah tidak boleh melakukan pembedahan kosmetik yang tidak termasuk dalam rawatan perubatan dan bertujuan untuk mengubah kejadian yang asal (normal) kerana menurut hawa nafsu dan keinginan meniru orang lain seperti pembedahan mengubah bentuk muka supaya kelihatan dengan penampilan tertentu, atau bertujuan menipu dan menyelewengkan keadilan, mengubah bentuk hidung, membesarkan atau mengecilkan bibir, mengubah bentuk mata dan membesarkan tulang pipi.[3]

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa sulaman kening (microblading) adalah tidak dibenarkan jika ia untuk kecantikan tambahan semata-mata (tahsiniyyah) dan bukannya bertujuan untuk rawatan mahupun menghilangkan aib dan kecacatan. Ini kerana ia termasuk dalam pengubahan ciptaan Allah yang diharamkan.

Apatah lagi, sulaman kening itu dikira bersifat kekal kerana ia tidak dapat segera dihilangkan atau ditanggalkan serta merta sebaliknya memerlukan kepada suatu tempoh yang lama untuk hilang. Hal ini kerana  yang dimaksudkan sebagai ‘kekal’ adalah kesannya itu kekal dalam suatu tempoh yang lama seperti berbulan-bulan atau bertahun-tahun, dan tidak semestinya kekal sepanjang hayatnya. Maka, sekalipun dikatakan ia berbeza dengan proses pembuatan tatu, tetapi pada hakikatnya ia adalah mirip dan sama dengan tatu kerana melibatkan proses memasukkan pigmen berwarna ke dalam kulit. Pengharaman dan larangan membuat tatu telah sabit berdasarkan kepada hadith yang sahih.

Namun, jika tujuan sulaman kening (microblading) itu adalah kerana suatu keperluan seperti merawat kecacatan dan aib pada kening, maka ia adalah diharuskan.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Nota Hujung:

[1] Lihat https://www.elle.com/uk/beauty/a31566/microblading-eyebrows/. Diakses pada 2 Ogos 2024.

[2] Lihat https://hellosehat.com/penyakit-kulit/perawatan-rambut/sulam-alis-aman/. Diakses pada 2 Ogos 2024.

[3] Lihat https://iifa-aifi.org/ar/2283.html. Diakses pada 13 April 2023.

Leave a Reply