Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Kita tahu bahawa membaca basmalah disunatkan ketika berwuduk, tetapi bagaimana pula dengan bacaan ta‘awwuz, adakah ia turut disunatkan? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ
Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian daripada kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.”
(Surah al-Ma’idah: 6)
Al-Maraghi menyatakan bahawa makna ayat di atas adalah sekiranya seseorang itu hendak bangun bagi mendirikan solat — dan masih lagi dalam keadaan berhadas. Hal ini kerana seluruh kaum Muslimin menyatakan bahawa bersuci (yakni berwuduk dan mandi wajib) tidak diwajibkan ke atas orang yang ingin mengerjakan solat melainkan dia masih dalam keadaan berhadas. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/61).
Dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa sebenarnya ketika berwuduk, kita tidak hanya disunatkan untuk membaca basmalah, tetapi menurut para ulama, sebelum membaca basmalah kita turut disunatkan untuk membaca ta‘awwuz.
Ini adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh Syeikh Sa‘id bin Muhammad Ba ‘Ali Ba ‘Isyn bahawa paling ringkas adalah dengan membaca: “bismillah” (sebelum wuduk), dan yang paling sempurna adalah dengan membaca: “Bismillahirrahmanirrahim,” kemudian diteruskan dengan doa:
الْحَمْدُ لِلَّهِ عَلَى الْإِسْلَامِ وَنِعْمَتِهِ، الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي جَعَلَ الْمَاءَ طَهُورًاً، وَالْإِسْلَامَ نُورًاً
Maksudnya: “Segala puji bagi Allah atas agama Islam dan nikmatnya — nikmat Islam. Segala puji bagi Allah yang menjadikan air suci dan Islam sebagai cahaya.”
Imam al-Ghazali menambah:
رَبِّ أَعُوذُ بِكَ مِنْ هَمَزَاتِ الشَّيَاطِينِ، وَأَعُوذُ بِكَ رَبِّ أَنْ يَحْضُرُونِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku, aku berlindung dengan-Mu daripada bisikan syaitan, dan aku berlindung dengan-Mu, wahai Tuhanku, daripada kehadiran mereka.”
Kemudian, dinyatakan bahawa disunatkan untuk membaca ta‘awwuz sebelum itu, dan dua kalimah syahadah selepasnya. (Lihat Busyra al-Karim bi Syarh Masa’il al-Ta‘lim, hlm. 98).
Selain itu, menurut ulama Syafi‘iyyah, disunatkan untuk membaca ta‘awwuz bagi wuduk secara perlahan sebelum bacaan basmalah. Al-Syarwani menyatakan, setelah bacaan basmalah ditambah dengan doa (sebagaimana yang telah dinukilkan di atas:
الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي جَعَل الْمَاءَ طَهُورًا، وَالإِْسْلاَمَ نُورًا، رَبِّ أَعُوذُ بِكَ مِنْ هَمَزَاتِ الشَّيَاطِينِ وَأَعُوذُ بِكَ رَبِّ أَنْ يَحْضُرُونَ
Maksudnya: “Segala puji bagi Allah yang menjadikan air suci dan Islam sebagai cahaya. Wahai Tuhanku, aku berlindung dengan-Mu daripada bisikan syaitan, dan aku berlindung dengan-Mu, wahai Tuhanku, daripada kehadiran mereka.” (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 4/10).
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berdasarkan kepada penjelasan di atas, kami berpendapat bahawa bacaan ta‘awwuz ketika berwuduk adalah turut dianjurkan dan disunatkan serta ia dibaca sebelum basmalah dengan suara yang perlahan. Mudah-mudahan dengan itu, wuduk yang kita lakukan itu akan menjadi lebih sempurna.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اجْعَلْنَا مِنَ التَّوَّابِينَ، وَاجْعَلْنَا مِنَ الْمُتَطَهِّرِينَ، وَاجْعَلْنَا مِنْ عِبَادِكَ الصَّالِحِيْنَ
Maksudnya: “Ya Allah, jadikan kami termasuk daripada kalangan orang yang bertaubat. Jadikanlah juga kami termasuk daripada kalangan orang yang bersuci. Dan jadikan juga kami termasuk daripada kalangan hamba-hambaMu yang soleh.”