Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Lagi beberapa hari saya akan menikah. Soalan saya, boleh kah bakal isteri dan saya bermalam di rumah Ayah saya (non muslim) ketika ziarah.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ (30) وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.”
(Surah al-Nur: 30)
Menurut Imam Ibn Kathir, ayat ini adalah merupakan perintah Allah SWT kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya menjaga pandangan mereka daripada melihat perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah SWT. Janganlah melihat melainkan hanya kepada perkara yang diharuskan oleh syarak sahaja dan menundukkan pandangan mereka daripada melihat perkara yang diharamkan. Begitu juga, Allah SWT memerintahkan juga kepada orang-orang perempuan yang beriman agar turut sama menundukkan (menjaga) pandangan dan memelihara kemaluan mereka (daripada perkara-perkara yang diharamkan). Dan bagi membezakan mereka daripada sifat serta perbuatan wanita Jahiliyyah. (Lihat Tafsir Ibn Kathir Tahzib wa Tartib, 4/2342-2344)
Begitu juga, sabda Nabi SAW:
أَلَا لَا يَخْلُوَنَّ رجلٌ بامْرَأَةٍ إِلَّا كَانَ ثاَلثهُمَا الشَيْطَان
Maksudnya: Ketahuilah bahawa tidak sesekali bersunyi-sunyian seorang lelaki ajnabi dengan seorang wanita ajnabiyah kecuali datang yang ketiga di antara mereka berdua iaitu syaitan.
Riwayat al-Tirmizi (2165)
Syeikh Muhammad Bin Abd Al-Rahman al-Mubarakfuri Rahimahullah apabila mensyarahkan hadis ini berkata: Makna hadis ini adalah: ‘’Syaitan ada bersama keduanya (lelaki dan perempuan yang berkhalwat) serta membisikkan syahwat kepada mereka sehinggalah ia mencampakkan mereka berdua ke lembah penzinaan’’. (Lihat Tuhfah Al-Ahwazi, 6/320).
Kesimpulan
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan sebelum berkahwin, tidak boleh untuk bakal suami dan bakal isteri tidur di dalam satu rumah yang sama meskipun adanya ibu dan ayah bakal suami. Hal ini bagi mengelakkan fitnah dan perkara yang tidak sepatutnya sepertimana hadith di atas. Oleh itu, nasihat kami sekiranya mahu membawa berjumpa ibu bapa, bawalah bersama mahram seperti adik dan seumpamanya.
Semoga Allah memberikan kita kefahaman yang jelas dalam melaksanakan syariatnya dan kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً،وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً،وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”
Wallahua’lam