Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh ke solat jamak qasar? Rumah di perak kerja di KL setiap hari. ada rumah persinggahan di KL sebab tidak balik hari-hari.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Solat jamak dan qasar adalah merupakan rukhsah yang diberikan oleh Allah SWT. Ia merupakan kemudahan yang dianugerahkan kepada umat Islam agar mereka boleh menunaikan ibadat solat di mana sahaja mereka berada. Perkara ini dinyatakan oleh Allah SWT di dalam firmannya:

وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ

Maksudnya: “Dan jika kamu bermusafir di muka bumi ini, maka tidak berdosa ke atas kamu untuk memendekkan solat (solat empat rakaat dijadikan kepada dua rakaat).

(Surah al-Nisa’:101)

Imam al-Nawawi berkata: “Ayat ini mengaitkan hukum qasar dengan al-dorb `ala al-ardh (permusafiran). Justeru, jika seseorang ialah penduduk suatu kota maka dia boleh qasar apabila dia berpisah daripada bangunan yang dinisbah kepada kota tersebut.” (Lihat al-Majmu` Syarh al-Muhazzab, 4/346)

Syarat-Syarat Jamak Solat

Syarat-syarat yang perlu dipenuhi untuk melakukan solat jamak dan qasar. Antara syarat-syarat tersebut:

  • Mestilah berada dalam keadaan bermusafir, iaitu perjalanan ke destinasi yang sekurang-kurangnya dua marhalah, iaitu sekitar 81 km. Kadar 2 marhalah ini yang ditetapkan berdasarkan taqribi (lebih kurang/anggaran) bukan tahdidi (tepat).
  • Perjalanan musafir tersebut telah melepasi sempadan mukim seperti kawasan kampung, taman perumahan atau daerah mengikut uruf setempat.
  • Dia tidak mengikuti imam yang menunaikan solat sempurna empat rakaat jika dia ingin mengqasarkan solat.
  • Dia tidak berniat menetap selama empat hari atau lebih di tempat yang dituju, selain hari mula dia sampai dan hari dia akan keluar dari destinasi. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/186)

Syarat Melaksanakan Qasar Solat

Terdapat tujuh syarat bagi melaksanakan qasar:

  • Hendaklah permusafiran seseorang itu jaraknya dua marhalah.
  • Hendaklah musafir itu dengan tujuan yang baik.
  • Hendaklah seseorang itu mempunyai ilmu tentang bolehnya diqasarkan solat.
  • Mestilah berniat qasar ketika takbiratul ihram.
  • Hendaklah solat yang diqasarkan itu merupakan solat ruba’iyyah (empat rakaat seperti zuhur asar; maghrib isyak)
  • Berterusannya permusafiran sehingga selesai solat.
  • Hendaklah dia tidak menjadi makmum kepada orang yang solat penuh pada sebahagian dari solatnya. (Lihat Safinah al-Naja, hlm 48)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan dibolehkan untuk anda melakukan jamak qasar sewaktu perjalanan dari Perak ke Kl dan Kl ke Perak. Namun, berkenaan rumah persinggahan di KL, kami katakan ia berbalik kepada selama mana anda menetap di sana, sekiranya lebih dari 4 hari, maka anda sudah dikira bermukim dan tidak boleh untuk melakukan jamak qasar di rumah tersebut.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.

Leave a Reply