Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah yang dimaksudkan orang mukmin itu sepertimana pokok kurma. Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَالنَّخْلَ بَاسِقَاتٍ لَّهَا طَلْعٌ نَّضِيدٌ
Maksudnya: “Serta pohon-pohon kurma yang tinggi menjulang, yang mengeluarkan mayang, berlapis-lapis, lagi lebat putiknya”
(Surah Qaf:10)
Al-Baqa‘i menyatakan bahawa: “Pokok kurma adalah salah satu keajaiban kerana segala yang dihasilkannya serta manfaat-manfaatnya yang tiada tandingan dibandingkan dengan pokok lain. Pokok ini unik dari segi panjang dan pendeknya, serta keserasiannya dalam memberikan manfaat kepada manusia dan haiwan.” (Lihat Nazm al-Durar fi Tanasub al-Ayat wa al-Suar, 18/412)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa seorang mukmin itu diumpamakan dengan pohon kurma disebabkan keteguhan imannya dalam mentaati perintah Allah dan banyak manfaatnya kepada sesama manusia. Hal ini boleh dilihat melalui sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إنَّ مِنَ الشَّجَرِ شَجَرَةً لا يَسْقُطُ ورَقُها، وإنَّها مَثَلُ المُسْلِمِ، فَحَدِّثُونِي ما هي فَوَقَعَ النّاسُ في شَجَرِ البَوادِي قالَ عبدُ اللَّهِ: ووَقَعَ في نَفْسِي أنَّها النَّخْلَةُ، فاسْتَحْيَيْتُ، ثُمَّ قالوا: حَدِّثْنا ما هي يا رَسولَ اللَّهِ قالَ: هي النَّخْلَةُ.
Maksudnya: “Sesungguhnya di antara pohon-pohon, terdapat suatu pohon yang mana daunnya tidak jatuh berguguran. Seperti itulah perumpamaan bagi seorang muslim.” Baginda SAW bertanya: “Cuba beritahu, apakah pohon itu?” Maka, para sahabat mula menjawab pohon itu ialah pohon yang berada di gurun/padang pasir, dan menyebut beberapa nama pohon. Abdullah berkata: Terdetik dalam hatiku bahawa pohon itu adalah pohon kurma tetapi aku malu untuk mengungkapkannya. Kemudian para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, sampaikanlah kepada kami, pohon apakah itu?” Baginda SAW menjawab: “Pohon tersebut ialah pohon kurma.”
Riwayat al-Bukhari (61) dan Muslim (2811)
Imam Nawawi menyatakan bahawa: Para ulama berkata: Pokok kurma diibaratkan seperti seorang Muslim kerana banyaknya kebaikannya, keteduhannya yang berterusan, dan buahnya yang enak serta tersedia sepanjang masa. Dari saat buahnya muncul, ia terus dimakan sehingga kering, dan setelah kering, ia masih memberikan banyak manfaat. Kayu, daun, dan rantingnya digunakan untuk pelbagai kegunaan seperti batang, kayu api, tongkat, bakul, tali, bekas, dan lain-lain.
Selain itu juga, bijinya dimanfaatkan sebagai makanan untuk unta, dan keindahan tumbuhannya, serta keindahan rupanya. Ia adalah manfaat dan kebaikan serta keindahan semuanya.
Begitu juga dengan seorang mukmin, kebaikannya semuanya dari banyaknya ketaatan, akhlak yang mulia, ketekunan dalam solatnya, puasanya, bacaannya, zikirnya, sedekah, hubungan silaturrahim, dan segala ketaatan yang lain; inilah sebab yang betul dalam menyamakan pokok kurma dengan seorang Muslim.
Seorang mukmin, manfaatnya berterusan, seperti pokok kurma yang daunnya tidak gugur, iaitu manfaatnya tidak berkurang. Manfaatnya sentiasa ada sepanjang tahun dan usia, begitu juga dengan seorang mukmin yang sentiasa memberi manfaat, banyak memberi manfaat, dan manfaatnya meluas. (Lihat Syarh Sahih Muslim, Oleh Abu al-Asybal al-Zuhairi, 12/58)
Justeru, perumpamaan seorang mukmnin itu seperti pohon kurma menggambarkan bahawa seorang mukmin itu memiliki sifat kekuatan dan ketahanan dalam iman, serta sentiasa memberi manfaat dan kebaikan kepada orang lain sepanjang masa. Ini mengingatkan kita untuk terus memperbaiki diri dalam aspek keimanan dan amal soleh, serta menjadi individu yang bermanfaat bagi masyarakat.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Wallahua‘alam