Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah boleh seseorang yang sedang haji atau umrah berehat sebentar ketika melakukan sa‘ie antara Safa dan Marwah? Ini kerana bagi sesetengah jemaah haji/umrah, ibadah sa‘ie terasa berat jika dilaksanakan secara berterusan tanpa rehat atas pelbagai faktor antaranya kesihatan, fizikal, usia dan lain-lain. Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّهِ
Maksudnya: “Dan sempurnkanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah.”
(Surah al-Baqarah: 196)
Ayat di atas bermaksud lakukanlah kedua-duanya dengan sempurna. Dalam ayat di atas, digunakan kalimat perintah pada haji dan umrah yang menunjukkan kepada kefardhuan kedua-duanya. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 30/315).
Kami mulakan dengan menyatakan, sebagaimana yang diketahui, amalan (rukun) umrah adalah seperti berikut:
- Ihram umrah adalah sebagaimana ihram haji.
- Melakukan tawaf umrah.
- Sa‘ie di antara Bukit Safa dan Marwah
- Bercukur atau bergunting rambut.
Syeikh Abd al-Fattah Hussain menyatakan difahami daripada perkataan penulis iaitu Imam al-Nawawi bahawa rukun yang kelima bagi ibadah umrah ialah tertib. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/144); al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-‘Umrah, hlm. 386).
Pada asasnya kita mengetahu bahawa sa‘ie di antara bukit Safa dan Marwah termasuk dalam salah satu rukun-rukun umrah. Seseorang yang mengerjakan ibadah umrah dan haji hendaklah melakukan pusingan sebanyak 7 kali, iaitu berjalan dari bukit Safa dan Marwah dikira satu pusingan, kemudian dari Marwah ke Safa dikira lagi satu pusingan dan begitulah seterusnya, sehinggalah cukup 7 kali pusingan dengan berakhir di Marwah. (Lihat al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-‘Umrah, hlm. 257).
Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa berehat atau beristirahat ketika melakukan ibadah sa‘ie antara Safa dan Marwah adalah dibolehkan, dan ia tidak membatalkan proses ibadah sa‘ie.
Ini kerana jika seseorang berasa letih ketika melakukan sa‘ie, dan lebih-lebih lagi jika dia memaksakan dirinya akan menyebabkan keletihannya semakin bertambah atau memudaratkan dirinya, maka sebaiknya dia berehat dahulu. Kemudian setelah dia berehat lalu penat itu hilang, maka dia boleh meneruskan ibadah sa‘ie itu, dengan menyempurnakan baki pusingan yang tinggal.
Di antara ulama yang membolehkan beristirahat ketika melakukan sa‘ie ialah ‘Ata’ sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf bahawa beliau berpendapat:
لَا بَأْسَ أَنْ يَسْتَرِيحَ الرَّجُلُ بَيْنَ الصَّفَا وَالْمَرْوَةِ
Maksudnya: “Tidak ada masalah untuk seseorang itu berehat/beristirahat di antara Safa dan Marwah (yakni ketika sa‘ie).”
Riwayat Ibn Abi Syaibah (14973)
Begitu juga terdapat riwayat daripada Abu al-‘Aliyah al-Wasiti, katanya:
رَأَيْتُ الْحَسَنَ يَسْتَرِيحُ بَيْنَهُمَا فَذَكَرْتُ لِمُجَاهِدٍ فَكَرِهَهُ
Maksudnya: “Aku melihat al-Hasan beristirahat di antara keduanya (Safa dan Marwah — ketika sa‘ie), lalu aku ceritakannya kepada Mujahid. Namun, beliau tidak menyukainya.”
Riwayat Ibn Abi Syaibah (14974)
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan di atas, kami berpendapat bahawa seseorang yang ingin berehat ketika melakukan ibadah sa‘ie, sama ada kerana faktor kesihatan, keletihan, kerana keperluan tertentu atau lain-lain sebab adalah dibolehkan, dan hal itu tidak membatalkan ibadah sa‘ienya yang sudah dilakukan. Kemudian setelah selesai berehat atau menunaikan keperluannya, dia boleh meneruskan ibadah sa‘ie itu, dengan menyempurnakan baki pusingan yang tinggal.
Perkara tersebut tidak membatalkan atau merosakkan ibadah sa‘ienya kerana muwalah antara bilangan sa‘ie hukumnya adalah sunat — dan bukannya wajib. (Lihat al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-‘Umrah, hlm. 259).
Walau bagaimanapun, sebaik-baiknya dia tidak berhenti atau berehat tanpa sebarang keperluan, sebaliknya selesaikan terlebih dahulu ibadah sa‘ie itu, kemudian barulah beristirahat atau menyelesaikan keperluan atau hajat. Inilah yang sebaik-baiknya.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.
Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”