Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah hukum membawa kereta berlawan arus di jalan raya? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَلَا تُلْقُوا۟ بِأَيْدِيكُمْ إِلَى ٱلتَّهْلُكَةِ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.”
(Surah al-Baqarah: 195)
Maknanya ialah janganlah kamu melakukan sebab yang menjadi kebinasaanmu. Imam al-Baghawi menyatakan, menurut satu pandangan lafaz ‘التَّهْلُكَةُ’ ini adalah termasuk setiap perkara yang membawa kepada kerosakan, serta larangan supaya jangan melakukan perkara tersebut. Selain itu, ‘التَّهْلُكَةُ’ juga merupakan sesuatu perkara yang perlu diwaspadai dan berhati-hati daripadanya. (Lihat Tafsir al-Baghawi, 1/215)
Syeikh al-Sa’di pula menyebut, bahawa ‘التَّهْلُكَةُ’ merupakan perbuatan yang menyebabkan terjadinya kerosakan pada jasad atau ruh. Oleh itu, ia termasuk dalam pelbagai perkara, antaranya adalah menjadikan sesuatu perkara sebagai masalah atau kesusahan. (Lihat Tafsir al-Sa’di, 1/90)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa islam melarang umatnya mencampakkan diri dalam lembah kebinasaan. Oleh yang demikian, membawa kereta dengan melawan arus di jalan raya merupakan satu bentuk membahayakan diri bahkan juga kepada orang lain. Sesuatu tindakan yang membahayakan diri dan orang lain adalah termasuk dalam perkara yang diharamkan oleh syarak. Allah berfirman dalam ayat-Nya yang lain:
وَلَا تَقْتُلُوا أَنْفُسَكُمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا
Maksudnya: “Jangan kamu membunuh diri kamu, sesungguhnya ALLAH Maha Pengasih kepada kamu).
(Surah al-Nisa:29)
Ini membuktikan bahawa sebab yang boleh membawa kepada kemudharatan juga termasuk dalam larangan ini. Apa sahaja yang memudharatkan diri, maka kita dilarang melakukannya. (Lihat Tafsir al-Quran al-Karim, 2/389)
Begitu juga Rasulullah SAW pernah bersabda:
لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ
Maksudnya: “Tidak ada kemudaratan dan tidak boleh membuat kemudaratan.”
Riwayat Ahmad (2865) dan Ibn Majah (2340)
Syeikh Sa‘id bin Muhammad al-Kamali berkata, larangan adalah seruan untuk meninggalkan sesuatu dengan perkataan dari orang yang lebih tinggi kedudukannya kepada orang yang lebih rendah kedudukannya secara wajib. Dan larangan melakukan sesuatu ini merupakan suatu perintah untuk melakukan perkara yang bertentangan dengan larangan itu. Contohnya, apabila ada larangan untuk duduk, maka wajib berdiri. (Lihat Janiy al-Thamarat, hlm. 83)
Kalimah (ضَرَرَ) dan kalimah (ضِرَارَ): Kalimah (ضَرَرَ) dari segi bahasa bermaksud berlawanan kepada manfaat. (Lihat Ma‘ajim Maqayis al-Lughah, 3/360)
Kemudian dibincangkan pula sama ada kedua-dua kalimah ini mempunyai maksud yang berbeza atau hanya kata seerti.
Pandangan pertama: Kalimah (ضَرَرَ) hanya datang dari satu pihak sahaja, manakala kalimah (ضِرَارَ) pula datang dari dua pihak, bermaksud saling mendatangkan mudharat, atau membalas mudharat dengan kemudharatan.
Pandangan kedua: Kalimah (ضَرَرَ) itu apa yang memudharatkan mangsa dan memberi manfaat kepada pelakunya. Manakala kalimah (ضِرَارَ) pula apa yang memudharatkan mangsa sedangkan pelakunya tidak memperoleh sebarang manfaat.
Pandangan ketiga: Kedua-dua kalimah ini adalah bersamaan ertinya. (Lihat Jami‘ al-‘Ulum wa al-Hikam, 2/212; al-Nihayah fi Gharib al-Hadith, 3/81; al-Kifayah bi Syarh al-Wusul, 4/302)
Syeikh Dr. Ya‘qub al-Bahasin membawakan kefahaman secara umum tentang kaedah ini, bahawa diharamkan untuk mendatangkan kemudharatan kepada orang Islam, meskipun secara fizikal atau emosi, dan sama ada pada agamanya, dirinya, akalnya, hartanya, atau keturunannya. (Lihat al-Mufassal fi al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah, hlm. 333)
Hadith ini menekankan pentingnya menghindari perbuatan yang memudaratkan diri sendiri dan orang lain, serta mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat. Ini juga selari dengan prinsip yang ditetapkan oleh syarak dalam menjaga nyawa.
Selain itu, terdapat juga kaedah yang menebutkan:
مَا أدَّى إِلَى حَرَامٍ فَهُوَ حَرَامٌ
Maksudnya: “Apa-apa perkara yang membawa kepada haram maka hukumnya haram.”
Dapat difahami melalui hadith ini adalah perbuatan membawa kereta secara berlawanan arus adalah haram kerana boleh membawa kepada kemudaratan yang besar iaitu mengancam nyawa sendiri dan orang-lain.
Dar al-Ifta‘ al-Misriyyah dalam isu ini menyatakan: Tidak dibenarkan memandu secara melawan arus di jalan raya awam kerana ia boleh menyebabkan kematian dan kerosakan pada harta benda. Orang yang memandu secara melawan arus akan bertanggungjawab terhadap akibat-akibat yang timbul dari perbuatannya, dan dia harus menanggung ganti rugi atas apa yang diakibatkan oleh tindakannya sebagaimana yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.[1]
Justeru, umat Islam dilarang untuk melakukan perbuatan yang menyebabkan kemudaratan kepada diri sendiri atau orang lain. Ini termasuklah perbuatan seperti memandu melawan arus di jalan raya yang boleh membahayakan keselamatan semua pengguna jalan. Oleh yang demikian, mematuhi peraturan adalah sebahagian daripada tanggungjawab seorang Muslim. Peraturan jalan raya, seperti tidak melawan arus, adalah untuk keselamatan bersama dan seharusnya dipatuhi untuk mengelakkan sebarang bahaya yang berlaku.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Wallahua‘alam
Nota Hujung:
[1] Lihat https://www.dar-alifta.org/ar/fatawa/20151/%D8%AD%D9%83% Diakses pada 5 Ogos 2024