Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Kalau kita tengok ibu bapa muda sekarang, ramai yang terlalu mempertahankan kesalahan anak-anak mereka atas alasan “masih budak-budak” dan “belum matang.” Kesan yang dapat kita lihat, generasi muda menjadi kurang berakhlak dan banyak melakukan perkara-perkara yang tidak menggambarkan moral Islam. Adakah ini kesan dari ibu bapa yang tidak mendidik anak?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Mendidik dan mentarbiah ini merupakan suatu proses semula jadi yang sepatutnya dilalui oleh setiap manusia, kerana tanpa didikan tersebut, ia boleh menyebabkan seseorang itu tersasar dari landasan yang benar. Sesungguhnya tarbiah adalah antara amal ibadah terbaik dan dapat mendekatkan seseorang itu kepada Allah. Pendidikan atau tarbiah ini terangkup padanya unsur dakwah, pengajaran, nasihat, petunjuk, amal, teladan, serta manfaat kepada individu dan masyarakat. Benarkah hadith Nabi SAW, daripada ‘Amru bin Sa’id al-As, sabda Nabi SAW:

مَا نَحَلَ وَالِدٌ وَلَدًا مِنْ نَحْلٍ أَفْضَلَ مِنْ أَدَبٍ حَسَنٍ

Maksudnya: “Tidak ada suatu pemberian seorang ayah kepada anaknya yang lebih utama daripada adab (akhlak) yang baik.”

Riwayat al-Tirmizi (1952), Ahmad (15403) dan al-Baihaqi (2365).

Setiap orang yang beriman itu lahir ke dunia ini sebagai pendakwah yang mentarbiah umat kepada Allah SWT, dan anak-anak serta keluarga adalah yang paling utama untuk disampaikan dakwah kepada mereka. Ketika mana Allah mengamanahkan Rasulullah SAW untuk berdakwah, Allah SWT berfirman:

وَأَنذِرْ عَشِيرَتَكَ ٱلْأَقْرَبِينَ

Maksudnya: “Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat.”

(Surah al-Syu‘ara’: 214)

Perkara paling agung yang diwajibkan oleh Allah ke atas setiap ibu bapa yang dikurniakan nikmat zuriat adalah menjaga urusan pendidikan mereka dan memastikan apa yang memperbaiki urusan dunia dan akhirat mereka. Menurut al-Quran, anak-anak ini merupakan perhiasan kehidupan di dunia:

الْمَالُ وَالْبَنُونَ زِينَةُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ

Maksudnya: “Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia.”

(Surah al-Kahf: 46)

Nikmat ini pula tidaklah dikurniakan melainkan padanya terdapat amanah dan tanggungjawab yang perlu dipikul oleh ibu bapa, dan yang paling utama adalah tarbiah serta pendidikan. Imam al-Ghazali mengatakan: “Kanak-kanak merupakan amanah buat ibu bapa. Hati mereka itu masih murni ibarat permata yang bersih dari sebarang ukiran dan lukisan. Ia boleh diukir dan cenderung kepada apa sahaja dicenderungkan kepadanya. Sekiranya dia dibiasakan dengan kebaikan nescaya dia akan membesar dengan kebaikan tersebut, dan ibu bapanya kelak akan memperoleh kebahagiaan dunia akhirat. Sekiranya dia dibiasakan dengan keburukan dan diabaikan sepertimana haiwan, maka dia akan sengsara dan binasa, dan dosa itu akan ditanggung oleh penjaganya. Sebagaimana tubuh badan itu pada mulanya tidak sempurna penciptaannya, lalu sedikit demi sedikit menjadi lebih sempurna dan kuat dengan pemakanan, maka begitu juga jiwa seseorang yang pada asalnya serba kekurangan dan tidak sempurna, kemudian sedikit demi sedikit menjadi sempurna dengan tarbiah, perbaiki akhlak dan juga santapan ilmu. (Lihat Ihya’ ‘Ulum al-Din, 3/72)

Allah SWT memerintahkan kepada ibu bapa penjaga untuk mendidik anak-anak di bawah jagaan mereka, sebagaimana dalam firman-Nya:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ قُوٓا۟ أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًۭا وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَـٰٓئِكَةٌ غِلَاظٌۭ شِدَادٌۭ لَّا يَعْصُونَ ٱللَّهَ مَآ أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang beriman! Peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu daripada neraka yang bahan bakarnya ialah manusia dan batu. Neraka dijaga oleh malaikat-malaikat yang kasar dan bengis. Malaikat ini tidak pernah mengingkari apa yang diperintahkan oleh Allah kepada mereka dan mereka melakukan apa yang disuruh.”

(Surah al-Tahrim: 6)

Imam al-Qurtubi menukilkan tafsiran Maqatil, katanya, ayat ini menyatakan hak yang perlu ditunaikan ke atas diri sendiri, anak-anak, keluarga serta hambanya. Ilkiya al-Harrasi pula berkata: “Maka kita semua perlu mendidik anak-anak dan ahli keluarga kita agama serta kebaikan, termasuklah apa sahaja yang mereka perlukan dari segi adab.” (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 18/196)

Merenung lebih mendalam tentang pentingnya mendidik anak ini, kami bawakan sebuah kisah tentang seorang  raja yang kaya dan mempunyai seorang sahaja cahaya mata perempuan. Dia sangat mencintai anak tersebut sehingga tumpuannya teralih kepada pelbagai jenis hiburan, dan anak itu kekal dengan hiburan tersebut untuk suatu tempoh yang lama. Di sebelah istana raja itu terdapat rumah seorang ahli ibadah. Pada suatu malam, lelaki itu membaca al-Quran dengan suara yang kuat sehingga sampai pada firman-Nya:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ قُوٓا۟ أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًۭا وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلْحِجَارَةُ

Maksudnya: “Wahai orang-orang beriman! Peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu daripada neraka yang bahan bakarnya ialah manusia dan batu.”

(Surah al-Tahrim: 6)

Bacaan lelaki itu didengari oleh anak perempuan raja ini, lalu dia berkata kepada orang-orang gajinya: “Hentikanlah dia!” Tetapi orang gajinya tidak menghentikan lelaki tersebut. Ahli ibadah itu mengulang-ulang ayat tersebut. Anak perempuan itu berkata lagi kepada orang-orang gajinya: “Hentikanlah dia!” Tetapi orang gajinya tetap tidak menghentikan lelaki tersebut. Anak perempuan raja itu merentap poket pakaiannya sendiri sehingga terkoyak, kemudian dia pergi bertemu bapanya (si raja) untuk memberitahu kisah tersebut.

Raja bertanya: “Wahai kekasih hatiku, kenapa dengan kamu malam ini? Apa yang menyebabkan kamu menangis?” Raja bertanya sambil memeluk anaknya itu. Anak perempuan raja bertanya: “Aku bertanya kepadamu dengan nama Allah wahai ayahku, benarkah Allah ‘Azza wa Jalla mempunyai satu tempat yang didalamnya terdapat api, manakala bahan bakarnya berupa manusia dan batu-batuan?” Si raja menjawab: “Benar.” Anaknya mempersoalkan: “Jadi, apakah yang menghalangmu wahai ayahku dari memberitahu tentang perkara ini?! Demi Allah aku tidak akan dapat menikmati makanan dan tidur dengan lena sehinggalah aku tahu di manakah tempat aku kembali, Syurga atau Neraka.” (Lihat Safwah al-Safwah, 4/437/438)

Ibu bapa merupakan madrasah pertama buat anak-anak yang akan menyediakan acuan ilmu serta kefahaman. Diriwayatkan daripada Abu hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ، أَوْ يُنَصِّرَانِهِ، أَوْ يُمَجِّسَانِهِ

Maksudnya: “Setiap anak dilahirkan, ia dilahirkan di atas fitrah. Maka, kedua orang tuanya yang menjadikannya orang Yahudi atau menjadikannya orang Nasrani atau menjadikannya orang Majusi.”

Riwayat al-Bukhari (1385) dan Muslim (2658)

Dan Dia beranggapan bahwa dia memuliakannya padahal dia telah menghinakannya, dan dia menyayanginya padahal dia telah menganiayanya. Maka terlepaslah manfaat anaknya bagi dirinya dan hilanglah bagian anaknya di dunia dan akhirat. Kemudian beliau rahimahullah berkata: “Jika diperhatikan kerusakan pada anak-anak, mayoritasnya berasal dari para ayah.

Ibn al-Qayyim berkata, betapa ramai orang yang telah membinasakan anaknya dan suri hatinya ini di dunia dan akhirat dengan mengabaikannya, meninggalkan pendidikannya, serta membantunya dalam mengikuti hawa nafsunya. Ibu bapa ini merasakan mereka hendak memuliakannya padahal dia telah menghinakannya, ibu bapa ini menyangka mereka menyayanginya padahal mereka telah menganiayanya. Maka ibu bapa ini telah terlepas manfaat anaknya bagi dirinya dan hilanglah bahagian anaknya di dunia dan akhirat. Oleh itu, apabila kita melihat kerosakan yang berlaku pada anak-anak, kebanyakannya berasal dari ibu bapanya sendiri. (Lihat Tuhfah al-Maudud bi Ahkam al-Maulud, 1/242)

Kesemua perbincangan ringkas yang kami bawakan ini telah menekankan dan menjelaskan asbab utama mengapa pentingnya tarbiah dan didikan ibu bapa terhadap anak-anak. Semoga Allah SWT sentiasa menyemai kesabaran dalam diri setiap ibu bapa dalam membesarkan anak-anak ini, sehingga mereka dapat membesar dan menjadi seorang yang bukan sahaja dapat mendoakan kita setelah mati, tetapi juga dapat memanfaatkan segala ilmu kebaikan yang telah mereka pelajari. Pahala-pahala kebaikan ini akan mengalir sebagai amal jariah yang tidak putus sehinggalah tibanya hari kebangkitan.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahu a‘lam

Leave a Reply