Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah boleh untuk kita mengedit foto atau gambar orang lain, bagi dijadikan sebagai “meme”? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mendefinisikan “meme” terlebih dahulu. Meme ialah sebuah item yang menghiburkan atau menarik (seperti gambar atau video yang mempunyai kapsyen) atau genre item yang disebarkan secara meluas dalam talian terutamanya melalui media sosial. Selain itu, ia juga didefinisikan sebagai sebuah idea, tingkah laku, gaya, atau penggunaan yang tersebar dari seorang ke seorang dalam budaya.[1]

Meme adalah idea, tingkah laku, atau gaya yang tersebar oleh masyarakat dalam sesebuah budaya yang sering kalinya bertujuan untuk menyampaikan sebuah fenomena, tema, atau makna tertentu yang diwakili olehnya. Ia bertindak sebagai suatu unit pembawa idea, simbol, atau amalan budaya yang boleh diturunkan daripada satu fikiran yang lain melalui penulisan, ucapan, pergerakan, ritual, atau fenomena yang boleh ditiru orang lain melalui temanya. Para penyokong konsep ini menganggap ia boleh diumpamakan sebagai analog budaya kepada gen atas kebolehannya ditiru, bermutasi, serta bertindak balas kepada tekanan pemilihan.[2]

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, pada asalnya mengedit foto atau gambar untuk dijadikan sebagai meme, stiker dan lain-lain seumpamanya  adalah diharuskan, dengan syarat mendapat keizinan pemilik gambar, tidak mengandungi unsur penghinaan, menyebarkan aib kepada orang tersebut, atau menimbulkan fitnah. Begitu juga bukan untuk tujuan jenaka atau perkara lain seumpamanya. Ini adalah selari dengan kaedah yang menyebutkan:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Namun, sekiranya tidak, yakni foto atau gambar itu diedit bagi dijadikan sebagai meme, stiker dan lain-lain seumpamanya tanpa izin pemiliknya, atau meme dan stiker itu mengandungi unsur penghinaan, menyebarkan aib kepada orang tersebut, atau menimbulkan fitnah, bahkan bertujuan untuk jenaka atau perkara lain seumpamanya, maka tidak syak lagi ia adalah haram dan tidak dibolehkan. Ini kerana maruah dan kehormatan orang Islam terpelihara dan dijamin dalam Islam. Kita tidak boleh memperendahkan dan membuat jenaka tentang orang lain, sama ada berkaitan dengan penampilan fizikal, tingkah laku, gambar, maruah dan sebagainya.

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا يَسْخَرْ قَوْمٌ مِّن قَوْمٍ عَسَىٰ أَن يَكُونُوا خَيْرًا مِّنْهُمْ وَلَا نِسَاءٌ مِّن نِّسَاءٍ عَسَىٰ أَن يَكُنَّ خَيْرًا مِّنْهُنَّ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka.

(Surah al-Hujurat: 11)

Menurut Jamaluddin al-Qasimi, Sukhriyyah (السخرية) bermaksud, merendah-rendahkan dan menghina serta menunjukkan kekurangan dan kelemahan, dengan cara yang membuatkan orang ketawa. Ia boleh dilakukan dengan meniru perbuatan dan ucapan, dan boleh juga melalui isyarat dan gerak tubuh. Jika dilakukan di hadapan orang yang diejek, ia tidak disebut sebagai mengumpat, namun mengandungi makna mengumpat (ghibah).

Tambahan lagi, Jamaluddin al-Qasimi juga ada menjelaskan bahawa sesungguhnya yang diharamkan adalah memperkecilkan seseorang yang menyebabkan orang yang diperolok-olokkan itu merasa sakit hati, kerana ia mengandungi unsur penghinaan dan memandang remeh. Hal ini berlaku apabila seseorang ketawa pada percakapannya apabila dia tersasul dan kata-katanya tidak teratur, atau pada perbuatannya apabila ia kacau-bilau, seperti ketawa pada hafalannya, pada perbuatannya, atau pada rupa dan penampilannya (kejadiannya), jika dia pendek atau mempunyai kekurangan, atau cacat. Maka, ketawa pada semua itu termasuk dalam ejekan yang dilarang.

Begitu juga al-Qasimi turut menjelaskan, adapun seseorang yang menjadikan dirinya bahan ejekan, dan mungkin merasa gembira apabila diejek, maka ejekan terhadapnya dianggap sebagai sebahagian daripada gurauan. Sebahagian daripada gurauan ini ada yang dicela dan ada yang dipuji. (Lihat Mahasin al-Ta’wil, 8/531)

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang di atas, kami berpendapat bahawa mengedit foto atau gambar untuk dijadikan sebagai meme, stiker dan lain-lain seumpamanya adalah tidak dibolehkan melainkan setelah mendapat keizinan daripada pemilik gambar dan foto tersebut. Apatah lagi, jika meme itu mengandungi unsur penghinaan, menyebarkan aib, menimbulkan fitnah, begitulah juga jika tujuannya untuk jenaka atau perkara lain seumpamanya, maka adalah lebih-lebih lagi tidak dibolehkan dan haram melakukannya.

Akan tetapi jika diketahui bahawa pemilik asal gambar tersebut memberi keizinan untuk menjadikan gambarnya sebagai meme, stiker dan seumpamanya, ditambah lagi dia juga meredhai gambarnya itu dijadikan sebagai bahan jenaka. Maka, selagi mana pemilik gambar tersebut membenarkan hal-hal tersebut (dijadikan bahan jenaka dalam bentuk meme atau pelekat) dan tidak mengandungi unsur fitnah, maka tidak menjadi masalah dan ia adalah dibolehkan.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Nota Hujung:

[1] Lihat https://www.merriam-webster.com/dictionary/meme. Diakses pada 5 Ogos 2024.

[2] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Meme. Diakses pada 5 Ogos 2024.

Leave a Reply