Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, bagaimana syariat yang mulia menggalakkan kesabaran terhadap ujian walaupun ia berpanjangan dan apakah hikmahnya disebaliknya? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

قل لَّن يُصِيبَنَا إِلَّا مَا كَتَبَ اللَّـهُ لَنَا هُوَ مَوْلَانَا ۚ وَعَلَى اللَّـهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal”.

(Surah al-Taubah: 51)

Ibn Kathir berkata: kita semuanya adalah di bawah kehendak Allah dan ketentuan-Nya. Kepada-Nya kita bertawakal dan Dia lah sebaik-sebaik pelindung. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/214)

Begitu juga firman Allah SWT:

مَا أَصَابَ مِنْ مُصِيبَةٍ إِلَّا بِإِذْنِ اللَّهِ وَمَنْ يُؤْمِنْ بِاللَّهِ يَهْدِ قَلْبَهُ

Maksudnya: “Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar).”

(Surah al-Taghabun: 11)

Ibn Rajab al-Hanbali menukilkan kalam Abu al-Darda’ berkenaan ayat di atas, katanya: “Sesungguhnya Allah SWT apabila mentakdirkan suatu ketentuan, dia suka apabila ketentuan-Nya itu diredhai (oleh hamba-hambanya).” (Lihat Rawai‘ al-Tafsir, 2/477)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa Allah SWT tidak menguji hambanya dengan ujian yang berat melainkan ada hikmah disebalik ujian tersebut. Mereka yang bersabar terhadap ujian yang menimpa sudah pasti akan mendapat ganjaran yang besar daripada Allah SWT bahkan Allah SWT meninggikan darjat mereka dan menghapuskan dosa-dosa mereka.

Diriwayatkan daripada  ‘Aisyah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ما يُصِيبُ المُؤْمِنَ مِن شَوْكَةٍ فَما فَوْقَها إلّا رَفَعَهُ اللَّهُ بها دَرَجَةً، أوْ حَطَّ عنْه بها خَطِيئَةً

Maksudnya: “Tiada sesuatu yang menimpa seorang mukmin, walaupun hanya sekadar duri atau lebih daripada itu, melainkan Allah akan mengangkat darjatnya atau menghapuskan dosanya dengan sebab itu.”

Riwayat al-Bukhari (5640) dan Muslim (2572)

Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith ini beliau menyebutkan: Hadith-hadith ini memberikan khabar gembira yang besar kepada umat Islam kerana jarang sekali seorang daripada mereka terlepas daripada sesuatu daripada perkara-perkara ini. Di dalamnya terdapat penghapusan dosa melalui penyakit, kesusahan, musibah dunia dan kesedihan, walaupun kesusahan itu sedikit. Selain itu, hadith-hadith ini menunjukkan bahawa darjat akan diangkat dan pahala akan ditambah melalui perkara-perkara ini. Inilah pendapat yang benar dan diterima oleh majoriti ulama. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘Ala Muslim, 16/128)

Ibn Hajar menyebutkan: “menunjukkan berlakunya kedua-dua perkara tersebut iaitu memperoleh pahala dan mengangkat hukuman”. (Lihat Fath al-Bari, 10/105)

Justeru, seseorang tidak sepatutnya berputus asa dari rahmat Tuhannya, atau merasa jemu daripada berdoa, atau menganggap masa ujian terlalu lama; kerana dia tidak mengetahui hikmah di sebalik ujian itu dan tidak memahami rahsia-rahsianya. Sesungguhnya, perhatian Allah terhadap para hamba-Nya melalui musibah dan ujian adalah kerana rahmat-Nya kepada mereka dan untuk menjaga ketulusan pengabdian mereka kepada Allah SWT.  Allah SWT berfirman:

وَلَا تَيْأَسُوا مِن رَّوْحِ اللَّهِ ۖ إِنَّهُ لَا يَيْأَسُ مِن رَّوْحِ اللَّهِ إِلَّا الْقَوْمُ الْكَافِرُونَ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir.”

(Surah Yusuf: 87)

Imam al-Tabari ketika menafsirkan ayat di atas menjelaskan bahawa Allah SWT menegah seseorang itu berputus asa daripada (mengharapkan) jalan keluar daripada-Nya, rahmat-Nya, dan janganlah dia bertindak memutuskan harapan kepada-Nya, melainkan orang-orang kafir yakni kaum yang membantah kemampuan Allah untuk menciptakan apa yang Dia kehendaki. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 12/232)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ نَسْتَغِيثُ، أَصْلِحْ لَنَا شَأْنَنَا كُلَّهُ، وَلاَ تَكِلْنَا إِلَى أَنْفُسِنَا طَرْفَةَ عَيْنٍ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Yang Maha Hidup, wahai Tuhan Yang Maha Berdiri Sendiri (tidak perlu segala sesuatu), dengan rahmat-Mu kami memohon pertolongan, perbaikilah urusan kami semuanya dan janganlah Engkau serahkan kami kepada diri kami walau sekelip mata.”

Wallahua’lam

Leave a Reply