Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah ancaman bagi mereka yang diberi kuasa untuk memerintah akan tetapi mereka menyusahkan rakyat? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ibn Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَلَا كُلُّكُمْ رَاعٍ، وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، فَالْأَمِيرُ الَّذِي عَلَى النَّاسِ رَاعٍ، وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ، وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُمْ، وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ عَلَى بَيْتٍ بَعْلِهَا وَوَلَدِهِ، وَهِيَ مَسْئُولَةٌ عَنْهُمْ، وَالْعَبْدُ رَاعٍ عَلَى مَالِ سَيِّدِهِ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُ، أَلَا فَكُلُّكُمْ رَاعٍ، وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ

Maksudnya: “Ketahuilah, setiap kalian adalah pemimpin, dan setiap kalian bertanggungjawab atas apa yang dipimpinnya. Seorang pemimpin yang memimpin rakyat akan bertanggungjawab atas rakyatnya, seorang lelaki adalah pemimpin atas keluarganya, dan dia bertanggungjawab atas mereka semua, seorang wanita juga pemimpin atas rumah suaminya dan anak-anaknya, dan dia bertanggung jawab atas mereka semua, seorang hamba adalah pemimpin atas harta tuannya, dan dia bertanggungjawab atas harta tersebut. Setiap kalian adalah pemimpin dan akan bertanggungjawab atas kepemimpinannya.”

Riwayat Muslim (3408)

Hadith di atas dapat dijadikan sebagai pedoman kepada kita bahawa setiap tanggungjawab yang diberikan tidak akan terlepas daripada perhitungan, bahkan seorang hamba juga akan dipersoalkan mengenai tanggungjawabnya terhadap tuannya.

Dalam menjawab persoalan di atas kami katakan mereka yang diberikan kuasa atau jawatan untuk menguruskan rakyat hendaklah menjalankan amanah tersebut dengan sehabis baik. Ini kerana ia merupakan tanggungjawab dan amanah yang akan dipersoalkan di akhirat kelak. Oleh yang demikian, adalah menjadi kewajipan ke atas mereka untuk meringankan segala beban dan kesusahan yang ditanggung oleh rakyat khususnya mereka yang tergolong dari kalangan yang kurang bernasib baik seperti fakir dan miskin.

Terdapat ancaman yang keras bagi mereka yang diberikan kuasa namun tidak amanah malah menyebabkan kesusahan kepada rakyat dalam menjalani kehidupan seharian. Hal ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اللَّهُمَّ مَن وَلِيَ مِن أَمْرِ أُمَّتي شيئًا فَشَقَّ عليهم، فاشْقُقْ عليه

Maksudnya: “Ya Allah, sesiapa yang menguruskan urusan umatku lalu dia menyusahkan mereka, maka susahkanlah dia.

Riwayat Muslim(1828)

Hadith ini mengandungi ancaman yang keras bagi sesiapa yang menguruskan sesuatu urusan umat Islam, sama ada kecil atau besar, dan menyebabkan mereka kesusahan. Ini kerana doa Rasulullah SAW terhadapnya bahawa Allah akan membalasnya setimpal dengan apa yang dia lakukan. Hadith ini bersifat umum untuk semua bentuk pengurusan. Dalam pemerintahan yang besar, pemimpin diberi amaran agar tidak menyebabkan kesusahan dan kemudaratan kepada rakyat dalam urusan kehidupan mereka. Sebaliknya, mereka harus berusaha mempermudahkan urusan dan berlaku lembut kepada rakyat serta melayani mereka dengan baik dalam segala arahan dan peraturan yang dikeluarkan.

Dalam jawatan yang lebih kecil, setiap pegawai atau pengurus diingatkan agar tidak menyusahkan orang-orang di bawah tanggungjawabnya, seperti pelanggan atau individu yang memerlukan bantuan. Mereka juga tidak boleh menyebabkan kesusahan kepada mana-mana pihak, kerana perkara tersebut merupakan  perkara yang serius.

Sesungguhnya salah satu tanda taufik (kurniaan petunjuk) daripada Allah SWT bagi seseorang yang menguruskan sesuatu urusan umat Islam adalah dia mempunyai akhlak yang baik dan mudah berurusan, serta mendekatkan dirinya kepada Allah SWT melalui pekerjaannya dan khidmatnya kepada saudara-saudaranya yang beragama Islam. Dia bersikap lembut terhadap orang yang berurusan dengannya dan cepat menyelesaikan tugasnya, sanggup mengorbankan masa dan tenaganya untuk memenuhi keperluan orang lain. Begitu juga dia memiliki akhlak yang sopan, kata-kata yang baik. Oleh yang demikian,  orang seperti ini akan mendapat kepercayaan orang ramai serta meraih kasih sayang dan doa mereka. Ini adalah contoh sebutan yang baik yang akan diperkatakan dan diingat oleh orang ramai. (Lihat Minhah al-‘Allam fi Syarh Bulugh al-Maram, 10/225)

Justeru, dapat difahami bahawa sesiapa yang diberi tanggungjawab untuk menguruskan urusan umat Islam hendaklah tidak menyusahkan atau menyakiti mereka. Jika seseorang pemimpin atau pengurus menyusahkan orang di bawah jagaannya, doa Rasulullah SAW ini meminta agar Allah membalasnya dengan kesusahan yang setimpal. Ini menekankan pentingnya berlaku adil, berlemah lembut, dan mempermudahkan urusan orang lain dalam setiap aspek kehidupan. Hadith ini juga menggalakkan sikap kepimpinan yang berasaskan kasih sayang serta tanggungjawab moral yang tinggi.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ وَلِّ أُمُوْرَنَا خِيَارَنَا ، وَلَا تُوَلِّ أُمُوْرَنَا شِرَارَنَا

Maksudnya: “Ya Allah! Lantiklah untuk urusan kami (pemerintahan) orang-orang yang terbaik di kalangan kami. Janganlah Engkau lantik untuk urusan kami orang-orang yang  terburuk di kalangan kami.” (Lihat Ibtihalat wa Da’awat oleh Dr Yusuf al-Qaradhawi, hlm. 68)

اللَّهُمَّ اجْعَل وِلَايَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِين

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah kuasa wilayah kami pada orang yang takut kepada-Mu dan bertakwa kepada-Mu, wahai Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” (Lihat Nafahat al-Minbar al-Makki, 1/137)

Wallahua‘lam

Leave a Reply