Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Saya tahu bahawa sebelum menunaikan solat Jumaat, kita dianjurkan untuk mandi terlebih dahulu. Bagaimana pula dengan orang yang ingin beriktikaf di masjid, adakah dia turut disunatkan untuk mandi terlebih dahulu sebelum memulakan iktikafnya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

Maksudnya: “SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.”

Surah al-Baqarah (222)

‘Ata’, Muqatil bin Sulaiman dan al-Kalbi mentafsirkan ayat ini bahawa Allah suka kepada mereka yang sentiasa bertaubat dari dosa dan suka mensucikan diri dengan air daripada sebarang hadas dan najis. (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 1/259).

Kami mulakan dengan mendefinisikan secara ringkas makna iktikaf. Menurut Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff, iktikaf dari segi bahasa bermaksud tetap dalam sesuatu perkara walaupun perkara tersebut buruk. Namun, ada sebahagian ulama berpendapat, ia hanya digunakan dalam perkara baik (kebaikan). Manakala dari segi syarak pula, menetap dengan cara yang khusus bagi orang yang tertentu di tempat tertentu dengan niat tertentu. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 460).

Selain itu, iktikaf juga diertikan sebagai menetap di dalam masjid dengan tujuan qurbah (mendekatkan diri kepada Allah) yang dilakukan oleh seorang Muslim, mumayyiz, berakal, suci tubuh badan daripada junub, haid, serta nifas, dan dia menghalang dirinya daripada sebarang syahwat kemaluan. (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 3/213).

Begitu juga Dr. Mustafa Dib al-Bugha pula mendefinisikan iktikaf sebagai menetap di dalam masjid yang dilakukan oleh individu tertentu dengan berniat. (Lihat Ifadah al-Raghibin Syarh Minhaj al-Talibin, 1/697).

Secara umumnya, dalam Islam, kita dianjurkan untuk beriktikaf di masjid. Iktikaf di masjid boleh dilakukan pada bila-bila masa tanpa terikat dengan waktu tertentu. Kita boleh beriktikaf pada waktu siang atau malam, pada bulan Ramadhan atau selain bulan Ramadhan. Namun, iktikaf di bulan Ramadhan adalah lebih-lebih lagi utama dan digalakkan. Ini adalah sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Aisyah R.Anha bahawa:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَعْتَكِفُ العَشْرَ الأَوَاخِرَ مِنْ رَمَضَانَ حَتَّى تَوَفَّاهُ اللَّهُ، ثُمَّ اعْتَكَفَ أَزْوَاجُهُ مِنْ بَعْدِهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW melakukan iktikaf pada sepuluh (hari) yang terakhir bulan Ramadhan sehinggalah Allah mewafatkan Baginda. Kemudian para isteri Baginda turut melakukan iktikaf selepas (kewafatan Baginda).”

Riwayat al-Bukhari (2026) dan Muslim (1172)

Imam al-Nawawi menyatakan, beriktikaf adalah sunnah mu’akkadah (sangat dituntut). Ia disunatkan pada keseluruhan waktu manakala pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan ia lebih dituntut. Dengan tujuan untuk mengikut petunjuk Nabi SAW dan mencari Lailatul Qadar. (Lihat Raudhah al-Talibin, 2/389).

Seterusnya, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa di antara perkara yang dianjurkan atau disunatkan bagi mereka yang ingin melakukan iktikaf di masjid adalah mandi terlebih dahulu.

Ini jelas sebagaimana disebutkan oleh Syeikh Zainuddin al-Malibari bahawa:

وَمِنْ الْأَغْسَالِ الْمَسْنُونَةِ: غَسْلُ الْعِيدَيْنِ وَالْكُسُوفَيْنِ وَالِاسْتِسْقَاءِ وَأَغْسَالُ الْحَجِّ وَغَسْلُ غَاسِلِ الْمَيِّتِ وَالْغُسْلِ لِلِاعْتِكَافِ

Maksudnya: “Di antara mandi-mandi yang disunatkan ialah: Mandi untuk solat hari raya (Aidilfitri dan Aidiladha), mandi untuk solat gerhana, mandi untuk istisqa’ (solat minta hujan), mandi-mandi haji, mandi bagi orang yang memandikan mayat, dan mandi untuk iktikaf.” (Lihat Fath al-Mu‘in, hlm. 203).

Kemudian, Abu Bakar al-Dimyati menjelaskan lagi kenyataan al-Malibari di atas iaitu “وَالْغُسْلِ لِلِاعْتِكَافِ” (Dan mandi untuk iktikaf), merupakan ma‘tuf kepada mandi hari raya (disertan bersamanya) iaitu menjadikan ertinya, di antara mandi-mandi sunat adalah mandi untuk iktikaf di masjid. (Lihat I‘anah al-Talibin ‘ala Halli Alfaz Fath al-Mu‘in, 2/85).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْنَا مِنَ التَّوَّابِينَ، وَاجْعَلْنَا مِنَ الْمُتَطَهِّرِينَ،  وَاجْعَلْنَا مِنْ عِبَادِكَ الصَّالِحِيْنَ

Maksudnya: “Ya Allah, jadikan kami termasuk daripada kalangan orang yang bertaubat. Jadikanlah juga kami termasuk daripada kalangan orang yang bersuci. Dan jadikan juga kami termasuk daripada kalangan hamba-hambaMu yang soleh.”

Leave a Reply