#6698: Batalkah Wuduk Tersentuh Kulit Anak Tiri Perempuan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah batal air sembahyang jika tersentuh kulit anak tiri perempuan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

أَوْ لَامَسْتُمُ النِّسَاءَ

Maksudnya:Atau kamu sentuh perempuan.”

(Surah al-Ma’idah: 6)

Berdasarkan bacaan mutawatir, perkataan “لَامَسْتُمُ” bermakna “لَمَسْتُم” iaitu kamu menyentuhnya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/63).

Dalam menjawab persoalan ini, kami katakan bahawa sekurang-kurangnya ada dua jenis hubungan mahram; iaitu mahram muabbad dan mahram muaqqat. Mahram muabbad ialah seseorang yang dilarang berkahwin pada bila-bila masa dan dalam apa jua keadaan. Mahram muabbad pula terbahagi kepada tiga. Pertama, mahram dengan sebab hubungan nasab seperti ibu, nenek, anak perempuan, adik beradik, ibu saudara, anak saudara, dan lain-lain seumpamanya. Kedua, mahram dengan sebab hubungan susuan seperti ibu susuan, anak susuan, adik-beradik susuan dan lain-lain seumpamanya. Ketiga, mahram dengan sebab hubungan persemendaaan (perkahwinan) seperti ibu isterinya, isteri anaknya, isteri ayah atau datuk dan lain-lain seumpamanya.

Sedangkan mahram muaqqat adalah wanita yang haram dinikahi atas sebab-sebab tertentu, jika hilang sebab ini, maka dibolehkan untuk menikahinya. Di antaranya ialah adik-beradik perempuan isteri, wanita yang sudah diceraikan tiga kali kecuali selepas habis tempoh iddahnya dengan suami yang lain, yang telah melakukan persetubuhan dengannya, isteri orang lain, wanita yang sedang dalam tempoh iddah, dan lain-lain seumpamanya. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 9/6625-6641).

Ini sebagaimana yang jelas disebutkan dalam firman-Nya:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهَـٰتُكُمْ وَبَنَاتُكُمْ وَأَخَوَٰتُكُمْ وَعَمَّـٰتُكُمْ وَخَـٰلَـٰتُكُمْ وَبَنَاتُ ٱلْأَخِ وَبَنَاتُ ٱلْأُخْتِ وَأُمَّهَـٰتُكُمُ ٱلَّـٰتِىٓ أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَٰتُكُم مِّنَ ٱلرَّضَـٰعَةِ وَأُمَّهَـٰتُ نِسَآئِكُمْ وَرَبَـٰٓئِبُكُمُ ٱلَّـٰتِى فِى حُجُورِكُم مِّن نِّسَآئِكُمُ ٱلَّـٰتِى دَخَلْتُم بِهِنَّ فَإِن لَّمْ تَكُونُوا۟ دَخَلْتُم بِهِنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ وَحَلَـٰٓئِلُ أَبْنَآئِكُمُ ٱلَّذِينَ مِنْ أَصْلَـٰبِكُمْ وَأَن تَجْمَعُوا۟ بَيْنَ ٱلْأُخْتَيْنِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ غَفُورًۭا رَّحِيمًۭا ٢٣ ۞ وَٱلْمُحْصَنَـٰتُ مِنَ ٱلنِّسَآءِ إِلَّا مَا مَلَكَتْ أَيْمَـٰنُكُمْ ۖ كِتَـٰبَ ٱللَّهِ عَلَيْكُمْ ۚ وَأُحِلَّ لَكُم مَّا وَرَآءَ ذَٰلِكُمْ أَن تَبْتَغُوا۟ بِأَمْوَٰلِكُم مُّحْصِنِينَ غَيْرَ مُسَـٰفِحِينَ ۚ

Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan ibu-ibu kamu, anak-anak perempuan kamu, adik beradik perempuan kamu, emak-emak saudara kamu di sebelah bapa, emak-emak saudara kamu di sebelah ibu, anak-anak perempuan daripada adik-beradik lelaki dan anak-anak perempuan daripada adik-beradik perempuan dan ibu-ibu kamu yang telah menyusui kamu dan adik-beradik susuan kamu dan ibu kepada isteri kamu dan anak-anak tiri di bawah pemeliharaan kamu daripada isteri-isteri yang kamu telah bersetubuh dengan mereka, tetapi jika kamu belum lagi bersetubuh dengan mereka dan kamu telah menceraikan mereka maka tiada sebarang kesalahan kepada kamu untuk menikahi anak-anak tiri tersebut. Diharamkan juga kamu berkahwin dengan bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal daripada benih kamu dan diharamkan juga untuk kamu menghimpunkan dua beradik sebagai isteri kamu secara serentak kecuali apa yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang. (23) Dan diharamkan juga kamu berkahwin dengan perempuan yang bersuami, kecuali hamba perempuan yang kamu miliki melalui tawanan perang. Inilah ketetapan Allah ke atas kamu. Dan dihalalkan kepada kamu perempuan-perempuan selain daripada mereka yang tersebut untuk kamu jadikan isteri dengan menggunakan harta kamu sebagai mas kahwin. Kamu jadikan mereka pasangan kamu dengan bernikah, bukan dengan berzina.”

(Surah al-Nisa’: 23-24)

Ayat di atas menyebutkan beberapa jenis mahram; sama ada mahram disebabkan nasab keturunan, atau disebabkan penyusuan, dan ada yang menjadi mahram disebabkan perkahwinan. Al-Qurtubi menyebut bahawa ayat ini adalah ayat yang muhkam dan ini adalah persepakatan yang tidak boleh disanggahi. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 3/98)

Bagi lelaki mahramnya yang bersifat al-ta’bid (التَّأْبِيدُ) di antaranya ialah:

  • Ibu dan ke atas, termasuk nenek sama ada sebelah ayah atau ibu.
  • Anak perempuan dan ke bawah, termasuk cucu perempuan.
  • Saudara perempuan iaitu kakak atau adik perempuan.
  • Ibu saudara sebelah ayah dan ibu.
  • Anak perempuan kepada saudara lelaki dan perempuan.
  • Ibu tiri.
  • Menantu perempuan.
  • Ibu mentua.
  • Anak tiri perempuan.
  • Ibu susuan dan ke atas.
  • Adik beradik perempuan susuan.

Seterusnya, dalam menjawab persoalan di atas, jelaslah bahawa anak tiri perempuan termasuk dalam kalangan wanita yang diharamkan secara ta’bid (selama-lamanya) ke atas seorang lelaki, jika dia sudah  berkahwin dan menyetubuhi isterinya (yakni ibu kepada anak perempuan itu). Pengharaman ini tetap berlaku sekalipun isteri berkenaan sudah meninggal dunia atau diceraikan.

Ini adalah sebagaimana firman Allah SWT:

وَرَبَائِبُكُمُ اللَّاتِي فِي حُجُورِكُم مِّن نِّسَائِكُمُ اللَّاتِي دَخَلْتُم بِهِنَّ فَإِن لَّمْ تَكُونُوا دَخَلْتُم بِهِنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ

Maksudnya: “Dan (diharamkankan juga berkahwin dengan) anak-anak tiri yang dalam pemuliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri; tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telah pun menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu (berkahwin dengannya).”

(Surah al-Nisa’: 23)

Ibn Kathir berkata: Yang dimaksud dengan ‘الرَّبِيْبَةُ’ adalah anak tiri perempuan. Dia tidak menjadi mahram bagi seseorang, kecuali setelah dia (bapanya) bersetubuh dengan ibu daripada anak perempuan tersebut. Dan jika dia menceraikan ibu daripada anak tiri perempuan itu sebelum bersetubuh dengannya, maka dia boleh menikahi anak perempuan si ibu tersebut. Daripada sini, muncul kaedah, “Persetubuhan yang telah dilakukan terhadap para wanita, menjadikan mahram terhadap anak-anak perempuannya.”

Oleh itu, ayat di atas menjadi ketetapan mengenai kemahraman anak tiri, apabila seseorang telah bersetubuh dengan ibu anak tiri tersebut. Sebagai firman Allah SWT, ‘مِّن نِّسَائِكُمُ اللَّاتِي دَخَلْتُم بِهِنَّ’ (dari isteri-isteri yang kamu telah campuri). Ayat tersebut dengan jelas menyatakan bahawa jika seseorang belum menyetubuhi wanita, maka anak perempuan wanita tadi tidak menjadi mahram baginya. Dengan kata lain, tidak ada larangan dan tidak berdosa ketika seseorang menikahi anak tirinya itu.

Menurut jumhur ulama’, anak tiri perempuan itu tidak menjadi mahram bagi seorang lelaki hanya kerana melakukan akad nikah dengan ibu anak itu. Berlakunya kemahraman itu kerana adanya persetubuhan dengan ibunya. Berbeza halnya dengan si ibu. Sesungguhnya dia secara langsung menjadi mahram bagi lelaki tadi setelah lelaki itu melakukan akad nikah dengan anak perempuannya, meskipun belum bersetubuh dengannya. Demikianlah menurut empat ulama mazhab, tujuh ahli fiqh (fuqaha’ al-sab‘ah) dan majoriti ahli fiqh sama ada dahulu mahupun sekarang. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/241)

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada penjelasan di atas, kami berpendapat bahawa wuduk seseorang itu tidak terbatal meskipun dia tersentuh kulit anak tiri perempuannya sekiranya dia telah bersama (melakukan persetubuhan) dengan ibu kepada anak perempuan tersebut. Ini kerana apabila dia sudah melakukan persetubuhan dengan isterinya (yang merupakan ibu kepada anak perempuan itu), maka dia telah menjadi mahram muabbad buatnya — haram untuk dinikahi selama-lamanya. Jadi, dibolehkan untuknya bersalaman, berdua-duaan, dan bermusafir bersama dengan anak tiri perempuannya itu.

Namun, jika dia sudah berkahwin dengan ibu kepada anak perempuan itu, tetapi belum lagi menyetubuhinya, maka dia belum lagi dikira sebagai mahram muabbad buatnya. Jadi, ketika itu, sekiranya dia tersentuh kulit anak tiri perempuannya, maka wuduknya dianggap terbatal mengikut pendapat mazhab Syafi‘i.[1] Hal ini kerana anak tirinya (ketika itu) sekalipun haram dikahwini, tetap dikira sebagai wanita ajnabiyyah baginya kerana dia tidak termasuk dalam mahramnya, yang dibolehkan untuk duduk berdua-duaan, bermusafir atau bersentuhan atau bersalaman dengannya. Sebaliknya, pengharaman untuk berkahwin itu adalah bersifat muaqqat (sementara) dan bukannya selama-lamanya.

Ini kerana mahram dari sudut istilah para fuqaha’ bermaksud: “Seseorang yang diharamkan untuk berkahwin dengannya dan pengharamannya tersebut adalah dalam bentuk al-ta‘bid (selama-lamanya) dengan sebab yang mubah bukan kerana kemuliaannya dan bukan juga kerana terdapat penghalang yang boleh hilang.” (Lihat Kasyifah al-Saja, hlm. 114).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/75)

Nota Hujung:

[1] Bersentuhan antara lelaki dewasa dan perempuan dewasa ajnabi tanpa berlapik termasuk dalam perkara yang membatalkan wuduk, sama ada sengaja ataupun tidak. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 100-103; al-Mujtaba fi Syarh Safinah al-Naja, hlm. 38).

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *