Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum membaca doa dengan pembesar suara selepas selesai solat fardhu berjamaah sedangkan masih ada makmum yang masbuq di dalam jemaah?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَإِذَا كُنتَ فِيهِمْ فَأَقَمْتَ لَهُمُ ٱلصَّلَوٰةَ
Maksudnya: ”Dan apabila engkau (wahai Muhammad) berada dalam kalangan mereka (semasa perang), lalu engkau mendirikan sembahyang dengan (menjadi imam) mereka.”
(Surah al-Nisa’: 102)
Imam Khatib al-Syarbini berkata: “Perintah ini diturunkan ketika waktu perang, maka sudah semestinya lebih utama dilakukan ketika dalam keadaan aman.” (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/350)
Solat jemaah dari segi syara’ bermaksud menyambungkan solat makmum dengan solat imam iaitu sekurang-kurangnya seorang makmum, maka ia dinamakan solat jemaah dan mendapat pahala berjemaah. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 289)
Bahkan solat berjemaah juga digandakan ganjarannya berbanding solat bersendirian. Hal ini sebagaimana riwayat daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:
صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ تَفْضُلُ صَلاَةَ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً
Maksudnya: “Solat berjemaah lebih baik (afdhal) daripada solat bersendirian dengan dua puluh tujuh kali darjat.”
Riwayat al-Bukhari (645) dan Muslim (650)
Dalam riwayat lain pula menyatakan :
صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ أَحَدِكُمْ وَحْدَهُ بِخَمْسَةٍ وَعِشْرِينَ جُزْءًا
Maksudnya: “Solat secara berjemaah lebih baik daripada solat kalian yang secara bersendirian sebanyak 25 bahagian.”
Riwayat Muslim (649)
Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa sama ada 25 atau 27 bahagian adalah berdasarkan keadaan solat dan orang yang menunaikannya. Ada yang dapat 25 darjat dan ada yang dapat 27 berdasarkan kesempurnaan solatnya dan sejauh mana dia menjaga solat secara berjemaah. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/183)
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan tidak mengapa untuk imam membaca doa dengan pembesar suara untuk diaminkan oleh para jemaah yang lain. Manakala, untuk jemaah yang masbuq, dia perlu faham bahawa dia telah lambat memasuki solat berjemaah dan tidak boleh untuknya marah disebabkan imam membaca doa dengan pembesar suara.
Akhir kalam, nasihat kami dalam sesama jemaah ini, sama ada di masjid mahupun di surau, kita perlu saling bertolak ansur antara satu sama lain. Bukan hanya jemaah perlu menghormati pihak masjid, tetapi pihak masjid/surau juga perlu menghormati jemaah yang hadir. Dengan cara ini, bukan sahaja jemaah akan berasa selesa, malah masjid/surau tersebut akan makmur dan terus hidup.
Semoga Allah mengurniakan kita ilmu yang bermanfaat dan kefaqihan (kefahaman yang baik dan kekuatan beramal soleh) dalam beragama.
Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”
(Surah Ibrahim: 40)