#6701: Cara Mahu Solat Tepat pada Waktunya

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada soalan. Macam mana kita nak solat tepat pada waktunya dengan senang.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

 وَالَّذِينَ هُمْ عَلَىٰ صَلَوَاتِهِمْ يُحَافِظُونَ

Maksudnya: “Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya.

(Surah al-Mukminun: 9)

Antara maksud ‘يُحَافِظُونَ’ adalah memelihara solat dalam waktunya. Ibn Mas’ud, Masruq, Ikrimah dan Said bin Jubair berkata: “Yakni, orang-orang yang memelihara solatnya, dan menjaga waktu-waktu solat.”  (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/714)

Begitu juga, dalam firmanNya yang lain:

إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَّوْقُوتًا

Maksudnya: “Sesungguhnya solat itu ialah suatu kewajipan yang ditentukan waktunya ke atas golongan yang beriman.

(Surah al-Nisa’: 103)

Ibn Mas‘ud R.A dalam mentafsirkan ayat ini berkata bahawa setiap solat itu mempunyai waktu-waktunya yang tertentu yang wajib untuk dilaksanakan padanya sama seperti waktu-waktu yang ditentukan bagi pelaksanaan ibadah haji. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/258)

Adapun melewatkan solat sehingga keluar dari waktunya, jelas sekali bahawa perbuatan ini adalah berdosa dan diharamkan. Ini sebagaimana yang difahami menerusi firman Allah SWT:

فَوَيْلٌ لِّلْمُصَلِّينَ (4) الَّذِينَ هُمْ عَن صَلَاتِهِمْ سَاهُونَ

Maksudnya: “Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang solat. (4) Iaitu orang-orang yang lalai dalam menunaikan solat mereka. (5)”

(Surah al-Ma‘un: 4-5)

Ibn Kathir mengatakan, orang yang lalai ini ada banyak sifat, sama ada dia sentiasa atau kebiasaannya melewatkan solat sehingga ke penghujung waktu, atau dia tidak memenuhi setiap rukun serta syarat yang diperintahkan dalam solat, atau dia tidak khusyuk serta mendalami intipati solat tersebut. Kalimah ‘lalai’ merangkumi kesemua ini, akan tetapi sesiapa yang mempunyai salah satu dari sifat ini, maka dia termasuk dalam kalangan mereka yang dicela dalam ayat ini. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 8/468)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan beberapa kaedah yang boleh dilaksanakan oleh anda bagi membolehkan solat tepat pada waktunya:

  1. Menyusun jadual pada waktu pagi akan apa yang akan dilakukan pada hari tersebut.

Dengan cara ini, bukan sahaja kita dapat menjaga masa dengan baik, malah dapat menyesuaikan tugas agar dapat mendirikan solat tepat pada waktunya.

  1. Selalu bermuhasabah diri agar konsisten dalam mendirikan solat tepat pada waktunya. Ini kerana sudah pasti iman seseorang itu akan sentiasa turun dan naik, di samping hawa nafsu yang sentiasa ingin melemahkan kita daripada beribadat kepada Allah SWT.
  2. Mengambil wudhu’ awal misalnya setengah jam atau lima belas minit sebelum masuk waktu. Dengan cara ini, kita dapat solat berjemaah dan mengelakkan daripada masbuq.

  1. Memohon kepada Allah SWT agar diberi kekuatan untuk istiqomah dalam menjaga solat fardhu. Antara doa yang boleh kita amalkan adalah:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

Semoga Allah mengurniakan kepada kita kekuatan iman dan kefahaman yang jelas dalam  melaksanakan segala tuntutannya dan kami akhiri dengan doa:

 رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Wallahu a’lam.

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *