Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami kenapa Ismail Haniyeh dianggap sebagai syahid?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

 وَلَا تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ قُتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَمْوَاتًا ۚ بَلْ أَحْيَاءٌ عِندَ رَبِّهِمْ يُرْزَقُونَ

Maksudnya: “Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki.”

(Surah Ali ‘Imran: 169)

Ibnu Qayyim al-Jauziyah berkata: “Allah SWT telah mengkhabarkan kepada kita berkenaan perihal orang yang syahid bahawa mereka hidup di sisi tuhan dengan mendapat rezeki, mereka bergembira dengan berita baik mengenai (saudara mereka) orang-orang (Islam yang sedang berjuang) yang masih tinggal di belakang yang belum sampai kepada mereka mereka juga bergembira dengan balasan nikmat dari Allah dan limpah kurnianya.” (Lihat Kitab al-Ruh oleh Ibn al-Qayyim, hlm. 18)

Kami imbas kembali tatkala kematian Syeikh Ahmad Yasin secara zalim dan syahidnya beliau, lantas kata Ismail Haniyeh: “Kalaulah Allah mengetahui diriku ini baik, nescaya Dia pilihku bersamanya (Syeikh Ahmad Yasin) pada hari ini. Akan tetapi, Dia memilih yang lebih suci untuk syahadahnya.” Kemudian beliau berkata sambil menangis: “Aku akan cuba perelokkan segala kesilapanku. Semoga satu hari nanti, Allah pilih aku sebagai syahid dengan izin-Nya.”

Seperti yang diketahui, berdasarkan kepada bedah siasat jelas menunjukkan bahawa Ismail Haniyeh termasuk dalam kalangan mereka yang dibunuh secara zalim. Secara umumnya, para ulama berbeza pendapat berkenaan status syahid orang yang dibunuh secara zalim itu, yakni dikira sebagai syahid dunia akhirat atau hanya syahid akhirat sahaja kepada sekurang-kurangnya dua pendapat:

Pendapat pertama: Orang yang terbunuh secara zalim dikira sebagai syahid dunia akhirat.

Ini adalah sebagaimana pendapat yang masyhur dalam mazhab Imam Ahmad, orang yang mati dibunuh secara zalim tidak perlu dimandikan mahupun disolatkan. Ini adalah sebagaimana dinyatakan dalam Kassyaf al-Qina‘ (4/89) bahawa sesiapa yang dibunuh secara zalim bukan ketika peperangan, maka dia diberi status syahid orang yang mati dalam peperangan, dari sudut dia tidak perlu dimandikan mahupun disolatkan.

Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat Sa‘id bin Zaid R.A, katanya: Aku mendengar Nabi SAW bersabda:

مَنْ قُتِلَ دُونَ مَالِهِ فَهُوَ شَهِيدٌ، وَمَنْ قُتِلَ دُونَ أَهْلِهِ فَهُوَ شَهِيدٌ، وَمَنْ قُتِلَ دُونَ دِينِهِ فَهُوَ شَهِيدٌ، وَمَنْ قُتِلَ دُونَ دَمِهِ فَهُوَ شَهِيدٌ

Maksudnya: “Sesiapa yang dibunuh kerana mempertahankan hartanya maka dia mati syahid. Sesiapa yang dibunuh kerana mempertahankan keluarganya, maka dia mati syahid. Sesiapa yang dibunuh kerana mempertahankan agamanya, maka dia mati syahid. Sesiapa yang dibunuh kerana mempertahankan dirinya, maka dia mati syahid.

Riwayat Ahmad (1652); Abu Daud (4772); al-Nasa’i (4095) dan al-Tirmizi (1421). Imam Tirmizi menilai Hadith ini sebagai hasan sahih.

Menurut Syeikh Abdullah al-Bassam, orang yang dibunuh secara zalim tidak perlu dimandikan mahupun disolatkan kerana mereka telah mati atau dibunuh secara tanpa hak. Jadi, dia menyerupai seseorang yang dibunuh oleh orang kafir (dalam peperangan), maka tidak perlu memandikan mayatnya. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/177).

Pendapat kedua: Orang yang terbunuh secara zalim dikira sebagai syahid akhirat sahaja.

Ini merupakan pendapat jumhur ulama termasuklah satu riwayat daripada Imam Ahmad yang menyatakan, orang yang mati atau dibunuh secara zalim hanya dikira sebagai syahid akhirat sahaja. Dalam erti kata lain, mereka hanya mengambil hukum syahid dalam peperangan bersama orang kafir dari sudut pahalanya sahaja, dan bukannya mengambil hukum mereka di dunia. Oleh sebab itu, mereka tetap perlu dimandikan dan disolatkan. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 29/174).

Selain itu, al-Munawi ketika menjelaskan hadith di atas menyebutkan, syahid di sini adalah merujuk kepada syahid akhirat, bukanlah syahid dunia akhirat — di mana dia tidak perlu dimandikan dan disolatkan). (Lihat Faidh al-Qadir, 6/195). Begitu juga Syams al-Haq al-‘Azim Abadi menyatakan, syahid tersebut bermakna orang yang syahid akhirat iaitu baginya pahala syahid. (Lihat ‘Aun al-Ma‘bud, 9/2063).

Selain daripada itu, Syeikh Abdullah al-Bassam juga ada menjelaskan berkenaan pendapat jumhur ini, di mana beliau menyebutkan, ini kerana kedudukan mereka tidak sama dengan kedudukan orang yang mati syahid dalam peperangan. Kedudukan mujahid (para pejuang) dalam peperangan fi sabilillah lebih tinggi kerana mereka membahayakan nyawa mereka dalam peperangan untuk menegakkan dan meninggikan kalimah Allah SWT, maka sudah pasti tidak ada kedudukan yang setara atau sebanding dengannya. Firman Allah SWT:

وَلَا تَحْسَبَنَّ ٱلَّذِينَ قُتِلُوا۟ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ أَمْوَٰتًۢا ۚ بَلْ أَحْيَآءٌ عِندَ رَبِّهِمْ يُرْزَقُونَ ١٦٩ فَرِحِينَ بِمَآ ءَاتَىٰهُمُ ٱللَّهُ مِن فَضْلِهِۦ وَيَسْتَبْشِرُونَ بِٱلَّذِينَ لَمْ يَلْحَقُوا۟ بِهِم مِّنْ خَلْفِهِمْ أَلَّا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

Maksudnya: “Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki (169); (Dan juga) mereka bersukacita dengan kurniaan Allah (balasan mati Syahid) yang telah dilimpahkan kepada mereka.”

(Surah Ali ‘Imran: 169-170)

Oleh itu, mengaitkan orang lain dengan mereka (para syuhada’) dalam hukum-hukum yang jelas adalah tidak tepat, dan hadith yang telah dijadikan sebagai dalil untuk mengaitkannya tidak menunjukkan kepada perkara ini. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/178).

Kesimpulannya, kami berpendapat bahawa orang yang mati atau dibunuh secara zalim termasuk dalam golongan mereka yang dianggap sebagai mati syahid. Walau bagaimanapun, syahid yang dimaksudkan di sini ialah syahid akhirat iaitu mendapat pahala syahid di hari akhirat kelak. Adapun semasa di dunia, jenazah mereka masih perlu diuruskan seperti biasa iaitu perlu dimandikan dan disolatkan.

Kurniaan gelaran syahid kepada mereka ini sebenarnya dianugerahkan sendiri oleh Rasulullah SAW berdasarkan riwayat yang sahih. Namun, hakikatnya hanya Allah SWT jualah yang Maha Mengetahui hakikat seseorang itu sama ada syahid ataupun sebaliknya. Oleh itu, kita mendoakan dan mengharapkan ganjaran syahid kepada orang yang mati dalam keadaan syahid seperti mana yang dikhabarkan oleh Rasulullah SAW tanpa kita menetapkannya secara qat‘i dan kita bersangka baik dengannya.

Terdapat riwayat daripada Sahl bin Hunaif bahawa Nabi SAW bersabda:

مَن سَأَلَ اللَّهَ الشَّهادَةَ بصِدْقٍ، بَلَّغَهُ اللَّهُ مَنازِلَ الشُّهَداءِ، وإنْ ماتَ على فِراشِهِ

Maksudnya:Sesiapa yang memohon kepada Allah SWT mati syahid dengan sebenar-benar pengharapan, Allah SWT akan mengurniakannya kedudukan para syuhada’ sekalipun dia mati di atas katilnya (tempat tidur).

Riwayat Muslim (1909)

Leave a Reply