Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Sehari dua ini, apabila berlaku kematian Ismail Haniyeh yang dianggap syahid oleh sebahagian bahkan ramai ulama’, maka apakah hukum mandi dan solat jenazah ke atasnya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَلَا تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ قُتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَمْوَاتًا ۚ بَلْ أَحْيَاءٌ عِندَ رَبِّهِمْ يُرْزَقُونَ
Maksudnya: “Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki.”
(Surah Ali ‘Imran: 169)
Ibnu Qayyim al-Jauziyah berkata: “Allah SWT telah mengkhabarkan kepada kita berkenaan perihal orang yang syahid bahawa mereka hidup di sisi tuhan dengan mendapat rezeki, mereka bergembira dengan berita baik mengenai (saudara mereka) orang-orang (Islam yang sedang berjuang) yang masih tinggal di belakang yang belum sampai kepada mereka mereka juga bergembira dengan balasan nikmat dari Allah dan limpah kurnianya.” (Lihat Kitab al-Ruh oleh Ibn al-Qayyim, hlm. 18)
Berkenaan hal ini, Imam al-Nawawi ada menyebutkan dalam kitabnya bahawa orang yang mati syahid yang tidak dimandikan dan tidak disolatkan adalah mereka yang mati akibat pertempuran dengan orang kafir dalam keadaan berperang, sama ada dibunuh oleh orang kafir atau terkena senjata orang Islam secara tidak sengaja, atau terkena senjata sendiri, atau jatuh dari kudanya, atau ditendang oleh binatang lalu mati, atau dipijak oleh binatang orang Islam atau lainnya, atau terkena anak panah yang tidak diketahui adakah ia disasarkan oleh orang Islam atau kafir, atau didapati terbunuh selepas peperangan tamat tanpa diketahui sebab kematiannya, sama ada terdapat kesan darah atau tidak, dan sama ada mati serta-merta atau hidup seketika kemudian mati akibat sebab tersebut sebelum perang berakhir, dan sama ada dia makan, minum, dan berwasiat atau tidak berbuat apa-apa daripada semua itu. Semua ini adalah disepakati oleh kami berdasarkan apa yang dinyatakan oleh Imam al-Syafi‘i dan para ashabnya, serta tidak ada khilaf padanya kecuali satu pandangan yang ganjil (syaz) lagi tertolak yang dinukilkan oleh al-Syeikh Abu Muhammad al-Juwaini dalam al-Furuq, bahawa sesiapa yang senjatanya kembali mengenainya atau dipijak oleh binatang orang Islam atau musyrik atau terjatuh ke dalam perigi ketika berperang, atau seumpamanya, dia tidak dianggap sebagai mati syahid (dunia akhirat). Sebaliknya dia dimandikan dan disolatkan. Pendapat yang benar ialah pendapat yang pertama.
Kemudian, Imam al-Nawawi menjelaskan lagi mengenai perkara ini dengan menyatakan, para syuhada yang mati bukan disebabkan perang melawan kafir, seperti yang mati kerana sakit perut, terkena racun, lemas, tertimbus, meninggal dalam keadaan hamil, atau dibunuh oleh seorang Muslim, zimmi, atau dalam keadaan dosa, mereka perlu dimandikan dan disolatkan tanpa khilaf. Ulama menyebutkan bahawa istilah syahid di sini merujuk kepada mereka yang mendapat ganjaran syahid di akhirat tetapi bukan dalam hal tidak dimandikan dan disolatkan. Terdapat tiga kategori syuhada:
- Syahid dunia: Mereka yang tidak dimandikan dan tidak disolatkan tetapi mendapat ganjaran khusus di akhirat, seperti mereka yang mati kerana sebab-sebab peperangan sebelum perang selesai.
- Syahid akhirat tetapi bukan dunia: Mereka yang mati kerana sakit perut, terkena racun, lemas, dan sejenisnya.
- Syahid dunia tetapi bukan akhirat: Mereka yang terbunuh dalam perang melawan kafir tetapi kerana alasan-alasan tertentu seperti mengambil harta rampasan perang secara tidak sah, melarikan diri, atau berperang dengan niat riya, mereka dianggap syahid dalam konteks duniawi tetapi tidak di akhirat.
Dalil untuk kategori kedua adalah bahawa Umar, Uthman, dan Ali R.Anhum dimandikan dan disolatkan berdasarkan ijma‘ ulama, dan mereka dianggap sebagai syuhada dalam pandangan ini.
Seterusnya, dinyatakan berkenaan hikmah tidak memandikan jenazah orang yang mati syahid dan juga tidak menunaikan solat jenazah ke atasnya, di mana Imam al-Syafi‘i menyebutkan dalam al-Umm, kemungkinan sebab tidak memandikan dan tidak menunaikan solat jenazah adalah agar mereka bertemu dengan Allah SWT dengan luka-luka mereka kerana ada riwayat yang menyatakan bahawa bau darah mereka adalah seperti bau kasturi. Mereka juga mendapat penghormatan dengan tidak perlu disolatkan, sebagai meringankan beban bagi umat Islam yang masih hidup kerana mereka yang berperang menghadapi banyak kecederaan, ketakutan terhadap serangan musuh yang kembali, harapan untuk mencari mereka yang cedera, dan kebimbangan terhadap keluarga mereka.
Selanjutnya, Imam al-Nawawi mendatangkan pula mazhab-mazhab ulama mengenai isu mandi dan solat ke atas orang yang mati syahid. Ringkasnya adalah sebagaimana berikut:
Pendapat Mazhab al-Syafi‘i dan Jumhur Ulama:
Imam al-Nawawi menyebutkan, mazhab kami (mazhab Syafi‘i) berpendapat bahawa mandi dan solat ke atas orang yang mati syahid (dunia akhirat) adalah haram. Ini juga merupakan pendapat jumhur ulama, termasuklah ‘ata’, al-Nakha‘i, Sulaiman bin Musa, Yahya al-Ansari, al-Hakim, Hammad, al-Laith, dan Malik, serta pengikut mereka daripada kalangan ahli Madinah, Ahmad, Ishaq, Abu Thaur, dan Ibn al-Munzir.
Pendapat Sa‘id bin al-Musayyib dan al-Hasan al-Basri:
Orang yang mati syahid perlu dimandikan dan disolatkan.
Pendapat Abu Hanifah dan al-Thauri
Orang yang mati syahid perlu disolatkan dan tidak dimandikan.
Abu Hanifah berhujah dengan hadith-hadith bahawa Nabi Muhammad SAW menunaikan solat ke atas para syuhada Uhud dan Baginda solat ke atas Hamzah beberapa kali. Antaranya ialah riwayat dari Abu Malik Al-Ghifari R.A bahawa:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ” صَلَّى عَلَى قَتْلَى أُحُدٍ عَشَرَةً عَشَرَةً فِي كُلِّ عَشَرَةٍ حَمْزَةُ حَتَّى صَلَّى عَلَيْهِ سَبْعِينَ صَلَاةً
Maksudnya: “Nabi Muhammad SAW menunaikan solat ke atas para syuhada Uhud sepuluh-sepuluh orang, di setiap sepuluh orang termasuk Hamzah sehingga Baginda solat ke atasnya sebanyak tujuh puluh kali.”
(Riwayat Abu Daud dalam kitab al-Marasil)[1]
Diriwayatkan daripada Syaddad bin al-Had bahawa:
أنَّ رجلًا من الأعرابِ جاءَ إلى النبيِّ صلّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ فآمنَ بهِ واتَّبَعَهُ… وفيهِ: أنهُ استُشهدَ فصلّى عليهِ رسولُ اللهِ صلّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ
Maksudnya: “Seorang lelaki dari kaum Arab Badwi datang kepada Nabi Muhammad SAW, lalu beriman dan mengikutinya… Dalam hadith yang panjang itu, disebutkan bahawa lelaki itu syahid, lalu Nabi Muhammad SAW menunaikan solat ke atasnya.”
Riwayat al-Nasa‘i (4/60)
Diriwayatkan daripada ‘Uqbah bin ‘Amir R.A bahawa:
صَلَّى رَسُولُ اللَّهِ ﷺ على قَتْلَى أُحُدٍ بَعْدَ ثَمانِي سِنِينَ، كالْمُوَدِّعِ لِلأَحْياءِ والأَمْواتِ
Maksudnya: “Nabi Muhammad SAW menunaikan solat ke atas para syuhada Uhud selepas lapan tahun seperti mengucapkan selamat tinggal kepada yang hidup dan yang mati.”
Riwayat al-Bukhari (4042) dan Muslim (2296)
Imam al-Nawawi menjelaskan, para ashab kami (ulama al-Syafi‘iyyah) berhujah berdasarkan hadith Jabir R.A bahawa:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَ فِي قَتْلَى أُحُدٍ بِدَفْنِهِمْ بِدِمَائِهِمْ وَلَمْ يُصَلَّ عَلَيْهِمْ وَلَمْ يُغَسَّلُوا
Maksudnya: “Nabi SAW memerintahkan supaya mereka para syuhada Uhud untuk dikebumikan bersama darah mereka. Mereka tidak disembahyangkan dan tidak juga dimandikan.” Hadith ini diriwayatkan oleh al-Bukhari.[2]
Selain itu, Jabir R.A turut meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:
في قَتْلَى أُحُدٍ لَا تُغَسِّلُوهُمْ فَإِنَّ كُلَّ جُرْحٍ أَوْ كُلَّ دَمٍ يَفُوحُ مِسْكًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَلَمْ يُصَلَّ عَلَيْهِمْ
Maksudnya: “Jangan mandikan para syuhada Uhud kerana setiap luka atau darah akan mengeluarkan bau kasturi pada hari kiamat dan begitu juga mereka tidak disolatkan.” Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad.
Begitu juga terdapat riwayat daripada Anas bahawa:
أَنَّ شُهَدَاءَ أُحُدٍ لَمْ يُغَسَّلُوا وَدُفِنُوا بِدِمَائِهِمْ وَلَمْ يُصَلَّ عَلَيْهِمْ
Maksudnya: “Sesungguhnya para syuhada Uhud tidak dimandikan dan dikebumikan bersama darah mereka dan begitu juga mereka tidak disolatkan.” Hadith ini diriwayatkan oleh Abu Daud[3] dengan sanad yang hasan atau sahih.
Adapun hadith-hadith yang dijadikan hujah oleh mereka yang berpendapat bahawa orang yang mati syahid perlu disolatkan, maka semua ahli hadith telah bersepakat berkenaan kedha‘ifan hadith-hadith tersebut melainkan hadith ‘Uqbah bin ‘Amir, namun kedha‘ifan padanya adalah jelas menurut al-Baihaqi dan lainnya. Hadith yang paling dekat dengan kebenaran ialah hadith Abu Malik, yang merupakan hadith mursal, begitu juga hadith Syaddad yang juga adalah hadith mursal. Oleh itu, kedua-dua hadith ini hanyalah sebagai sokongan. Adapun hadith ‘Uqbah, para ashab kami dan selain mereka telah menjawabnya bahawa yang dimaksudkan dengannya solat di sini adalah merujuk kepada doa. Lafaz dalam hadith iaitu, “solatnya ke atas mayat” bermaksud doa kepada mereka seperti doa dalam solat jenazah. Inilah takwilan/tafsirannya, dan bukan maksudnya merujuk kepada solat jenazah seperti mana yang diketahui umum dengan ijma‘ ulama kerana Nabi SAW melakukannya selepas lapan tahun mereka dikebumikan. Jika yang dimaksudkan itu adalah solat jenazah sebagaimana yang diketahui umum, pasti ia tidak akan ditunda/dilewatkan selama lapan tahun.
Tambahan pula, tidak boleh dikatakan maksudnya merujuk kepada solat jenazah berdasarkan ijma‘ ulama kerana menurut kami, solat jenazah tidak dilakukan ke atas syuhada, manakala menurut Abu Hanifah, solat dilakukan di atas kubur selepas tiga hari. Oleh itu, wajib mentakwilkan hadith ini kerana Abu Hanifah tidak menerima khabar wahid (hadith ahad) dalam perkara ‘umum al-balwa, dan perkara ini adalah sebahagian daripadanya.
Jika dikatakan bahawa apa yang disebutkan daripada hadith Jabir tidak boleh dijadikan hujah kerana ia adalah penafian dan kesaksian penafian ditolak, selain ia bertentangan dengan riwayat yang mengisbatkan. Maka dijawab oleh ulama kami bahawa kesaksian penafian hanya ditolak apabila saksi tidak mengetahui keseluruhannya dan ia tidak terhad. Adapun apa yang diketahui keseluruhannya dan terhad, maka ia diterima dengan kesepakatan.
Cerita ini adalah kejadian khusus yang diketahui oleh Jabir dan orang lain dengan jelas. Adapun riwayat yang menetapkan (solat) adalah lemah, maka kewujudannya seperti tiada, kecuali hadith ‘Uqbah dan kami telah menjawabnya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 5/261-265)
Nota Hujung:
[1] Riwayat al-Baihaqi dalam Sunan al-Kubra (4/12)
[2] Riwayat al-Bukhari (4079, 4080)
[3] Riwayat Abu Daud (3135)