Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah seorang imam bagi solat Maghrib dan Isyak yang diqasarkan perlu membaca dengan kuat bagi solat Isyak dua  rakaat yang diqasarkan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya, solat jamak dan qasar termasuk dalam keringanan (rukhsah) yang diberikan kepada para hamba-Nya dalam keadaan tertentu seperti ketika bermusafir dan seumpamanya. Justeru, bagi orang yang bermusafir, mereka boleh menghimpunkan (menjamakkan) antara solat Zuhur dan Asar, begitu juga antara solat Maghrib dan Isyak.  Selain itu, mereka juga boleh untuk memendekkan (mengqasarkan) solat empat rakaat menjadi dua rakaat. Di antara dalil disyariatkan qasar ialah firman Allah SWT:

وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ

Maksudnya:Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa “mengqasarkan” (memendekkan) sembahyang.

(Surah al-Nisa’: 101)

Manakala di antara dalil disyariatkan jamak pula adalah berdasarkan hadith, daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَجْمَعُ بَيْنَ صَلاَةِ الظُّهْرِ وَالعَصْرِ، إِذَا كَانَ عَلَى ظَهْرِ سَيْرٍ وَيَجْمَعُ بَيْنَ المَغْرِبِ وَالعِشَاءِ

Maksudnya: Rasulullah SAW pernah menjamakkan solat Zohor dan Asar apabila Baginda dalam perjalanan, dan Baginda turut menjamakkan antara solat Maghrib dan Isyak.

Riwayat al-Bukhari (1107)

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, al-Syirazi menyatakan, disunatkan bagi imam untuk menguatkan bacaannya ketika solat Subuh, dua rakaat yang pertama solat Maghrib dan begitu juga dua rakaat pertama solat Isyak. Dalilnya adalah nukilan ulama khalaf daripada ulama salaf. (Lihat al-Muhazzab fi Fiqh al-Imam al-Syafi‘i, 1/142).

Kemudian, Imam al-Nawawi menjelaskan lagi kenyataan al-Syirazi di atas dengan menyebutkan, disunatkan bagi imam untuk menguatkan suara bacaan pada dua rakaat solat Subuh, Maghrib dan Isyak, serta begitu juga dalam solat Jumaat. Begitu juga disunatkan untuk memperlahankan suara bacaan dalam solat Zuhur, Asar, rakaat ketiga solat Maghrib, dan rakaat ketiga dan empat solat Isyak. Semua ini adalah berdasarkan ijma‘ kaum Muslimin berserta hadith-hadith sahih yang jelas menunjukkan hal tersebut. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/389).

Di antara hadith yang menunjukkan bahawa Baginda SAW menyaringkan atau menguatkan suaranya ketika solat jahriyyah — Maghrib dan Isyak adalah riwayat daripada Jubair bin Mut‘im R.A, beliau berkata:

سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَرَأَ الـمَغْرِبَ بِالطُّوْرِ

Maksudnya:Aku mendengar Rasulullah SAW membaca surah al-Tur ketika mendirikan solat Maghrib.”

Riwayat al-Bukhari (765) dan Muslim (463)

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa Imam yang mengimamkan solat Maghrib dan Isyak turut disunatkan untuk menguatkan suara bacaan pada dua rakaat pertama solatnya, ketika solat jamak dan qasar seperti mana solat tamam. Ini adalah berdasarkan hadith-hadith sahih yang menunjukkan kepada anjuran (sunat) untuk menguatkan suara bacaan pada dua rakaat pertama Maghrib dan Isyak. Justeru, hukum yang sama turut terpakai ketika menunaikannya secara qasar dan jamak kerana ia adalah mengikut keadaan solat tersebut; sama ada secara jahr (bacaan kuat) atau sir (bacaan perlahan). Jadi, oleh kerana solat Maghrib dan Isyak merupakan solat yang dibaca secara jahr (pada dua rakaat pertamanya), maka ia turut disunatkan untuk dibaca kuat ketika ditunaikan secara jamak dan qasar.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.”

Leave a Reply