Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Sekiranya seseorang menunaikan solat qadha’ Maghrib atau Isyak di siang hari, adakah turut disunatkan baginya untuk menguatkan suara bacaan pada dua rakaat pertama solat tersebut? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ وَارْكَعُوا مَعَ الرَّاكِعِينَ
Maksudnya: “Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.”
(Surah al-Baqarah: 43)
Ayat ini menjadi dalil yang mewajibkan solat ke atas semua manusia, orang beriman bahkan kepada kanak-kanak, melainkan untuk mereka adalah sebagai ta’dib (pendidikan wajib ke atas ibu bapa) sekalipun dari sudut hukum wajib ke atas kanak-kanak itu masih belum berlaku selagi mana belum mumayyiz, baligh dan berakal. (Lihat Bahr al-Muhit, 2/59)
Pada asasnya, menguatkan bacaan pada solat Subuh, dua rakaat pertama solat Maghrib dan dua rakaat pertama solat Isyak adalah termasuk dalam perkara sunat bagi imam. Dalilnya adalah nukilan ulama khalaf daripada ulama salaf. Begitu juga disunatkan bagi makmum untuk memperlahankan bacaannya kerana jika dia menguatkan bacaannya itu maka dia seperti menandingi imam pada bacaannya. Oleh sebab itu, makmum diperintahkan untuk diam bagi mendengar bacaan imam. Begitu juga kerana sekiranya dia menguatkan bacaannya, maka tidak mungkin dia dapat diam bagi mendengar bacaan imam. Bahkan Imam al-Nawawi menyebutkan, umat telah bersepakat bahawa disunatkan kepada makmum untuk memperlahankan bacaannya dan makruh menguatkan bacaannya itu, tidak kira dia mendengar bacaan imam ataupun tidak.
Tambahan lagi, Imam al-Nawawi turut menyebutkan, disunatkan juga untuk menguatkan bacaan bagi seseorang yang solat secara bersendirian bagi solat-solat yang dibaca kuat — iaitu solat Subuh, Maghrib dan Isyak — di sisi ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i dan jumhur. Malah, al-‘Abdari menyebutkan bahawa ini merupakan pendapat ulama keseluruhannya kecuali Abu Hanifah yang berpendapat bahawa menguatkan suara dan memperlahankannya bagi orang yang solat secara bersendirian adalah sama sahaja.
Hujah ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i ialah seseorang yang mendirikan solat secara bersendirian sama halnya seperti imam, yang berhajat kepada menguatkan bacaan untuk mentadabbur ayat-ayat al-Quran yang dibaca. Oleh yang demikian, disunatkan baginya — yakni orang yang solat bersendirian — untuk menguatkan bacaannya seperti mana imam. Bahkan lebih utama lagi kerana dia lebih banyak dapat menghayati dan mentadabbur bacaannya — berbanding seorang imam — disebabkan oleh tiadanya perkaitan dengan orang lain. Begitu juga dia boleh membaca dan menguatkan bacaan tersebut bagi menghayati dan mentadabburnya sebagaimana yang dia kehendaki. Tambahan lagi, orang yang solat bersendirian juga berbeza halnya dengan makmum. Hal ini kerana makmum diperintahkan untuk mendengar bacaan imam supaya tidak mengganggu imam. (Lihat al-Muhazzab fi Fiqh al-Imam al-Syafi‘i, 1/142; al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/389-390).
Seterusnya, dalam menjawab persoalan yang di atas, Imam al-Nawawi ada membahaskan berkenaannya dalam kitabnya, di mana beliau menyebutkan, adapun solat yang terlepas (untuk dilakukan dalam waktunya), jika seseorang mengqadha’kan solat yang terlepas pada waktu malam di waktu malam, dia boleh menguatkan bacaannya tanpa sebarang perselisihan dalam kalangan ulama. Begitu juga Jika dia mengqadha’kan solat yang terlepas pada waktu siang di waktu siang, dia boleh memperlahankan bacaannya tanpa sebarang perselisihan dalam kalangan ulama.
Akan tetapi jika dia mengqadha’kan solat yang terlepas pada waktu siang di waktu malam atau solat yang terlepas pada waktu malam di waktu siang, maka terdapat dua pendapat (dalam kalangan ulama Syafi‘iyyah) yang dinukilkan oleh al-Qadhi Husain, al-Baghawi, al-Mutawalli dan lain-lain. Pendapat yang lebih sahih (daripada kedua-dua pendapat tersebut) adalah bahawa yang diambil kira adalah berdasarkan kepada waktu qadha’ dalam hal memperlahankan atau menguatkan bacaan, seperti yang telah disahihkan oleh al-Baghawi, al-Mutawalli, dan al-Rafi‘i.
Manakala pendapat yang kedua adalah bahawa yang diambil kira adalah berdasarkan kepada waktu terlepasnya solat tersebut. Pendapat ini telah diputuskan oleh pengarang kitab al-Hawi. Beliau berkata, namun bacaan yang kuat adalah pada waktu siang, bukan pada waktu malam. Cara/jalan yang diambil oleh pengarang kitab ini adalah berbeza dengan mereka semua, kerana beliau menetapkan/memutuskan bahawa bacaan diperlahankan secara mutlak. Kemudian, Imam al-Nawawi menyatakan, inilah juga yang dinyatakan secara mutlak oleh para ashab. Akan tetapi, solat Subuh, walaupun ia adalah solat waktu siang, mempunyai hukum bacaan kuat dalam qadha’ seperti solat malam, dan waktu pelaksanaannya dianggap seperti waktu malam. Inilah maksud yang dikehendaki oleh para ashab. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/390).
Selain daripada itu, di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah turut dinyatakan pendapat-pendapat dalam kalangan mazhab Imam yang empat berkenaan perkara ini. Menurut ulama Malikiyyah dan Syafi‘iyyah dalam satu pendapat, solat qadha’ hendaklah dilakukan mengikut keadaan solat asal sama ada dengan suara kuat atau perlahan. Jadi, yang diambil kira adalah berdasarkan waktu solat yang terlepas (untuk dilakukan dalam waktunya).
Manakala menurut ulama Hanafiyyah, jika seseorang terlepas solat Isyak dan menunaikannya selepas terbit matahari, jika dia menjadi imam, dia hendaklah membaca dengan suara kuat, sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ketika mengqadha’kan solat Subuh pada waktu pagi secara berjemaah. Jika dia menjadi imam pada waktu malam dalam solat siang, dia hendaklah membaca dengan suara perlahan dan tidak dengan suara kuat. Jika dia membaca dengan suara kuat secara tidak sengaja, dia hendaklah melakukan sujud sahwi. Bagi yang solat sendirian, jika dia mengqadha’kan solat yang jahar (boleh dibaca kuat bacaannya), dia mempunyai pilihan antara membaca dengan suara kuat atau perlahan, dan menurut sebahagian ulama Hanafiyyah, bacaan secara kuat adalah lebih baik daripada bacaan secara perlahan.
Walau bagaimanapun, pendapat yang lebih sahih dalam mazhab al-Syafi‘i adalah, yang diambil kira adalah waktu qadha.’ Oleh itu, solat yang diqadha’kan hendaklah dibaca dengan suara kuat dari waktu matahari terbenam hingga terbitnya, dan dibaca dengan suara perlahan dari waktu terbit matahari hingga terbenamnya.
Manakala ulama Hanabilah pula berpendapat, orang yang menunaikan solat qadha’ yang sepatutnya dibaca kuat bacaannya, memperlahankan bacaannya jika dilakukannya pada siang hari, walaupun berjemaah, dengan mengambil kira waktu qadha’, sama seperti solat sirriyyah (yang dibaca perlahan) yang diqadha’kan pada malam hari dengan mengambil kira solat yang ditinggalkan.
Dia menguatkan bacaan dalam solat jahriyyah (yang dibaca kuat) jika diqadha’kan pada waktu malam secara berjemaah dengan mengambil kira waktu qadha’, menyerupai solat yang ditunaikan secara berjemaah. Jika solat itu dilakukan secara sendirian, hendaklah dibaca dengan suara perlahan disebabkan gugurnya kesamaannya dengan cara ia ditunaikan secara berjemaah. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 16/187-188).
Tambahan lagi, Mantan Mufti Besar Arab Saudi, Syeikh ‘Abd al-‘Aziz Ibn Baz juga pernah menjelaskan bahawa sesiapa yang mempunyai solat yang ditinggalkan, hendaklah menggantikannya semula sebagaimana dia melakukannya/menunaikannya pada waktu asalnya. Jika ia adalah solat jahriyyah (yang dibaca kuat) seperti solat Subuh, Isyak, dan Maghrib, hendaklah juga diqadha’kan dengan dibaca secara kuat. Jika ia adalah solat sirriyyah (yang dibaca perlahan) seperti solat Zuhur dan Asar, hendaklah diqadha’kan dengan dibaca secara perlahan. Dia hendaklah mengqadha’kannya sebagaimana dia menunaikannya pada waktunya.[1]
Begitu juga Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin turut menyatakan, dia hendaklah menggantikan solat yang terlepas (untuk dilakukan dalam waktunya) mengikut sifatnya (yang asal); kerana qadha’ adalah mengikut cara tunai (sifatnya pada asalnya). Ini adalah kaedah yang diketahui. Oleh itu, jika dia mengqadha’kan solat malam pada waktu siang, hendaklah dia membaca dengan kuat. Jika dia mengqadha’kan solat siang pada waktu malam, hendaklah dia membaca dengan perlahan.
Kemudian, syeikh menyatakan pula, dalil-dalilnya adalah seperti mana berikut:
- Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud): “Sesiapa yang tertidur daripada solat atau terlupa, hendaklah dia menunaikannya apabila dia mengingatinya.” Oleh itu, sebagaimana perintah itu kembali kepada zat solat itu sendiri, ia juga kembali kepada sifat solat tersebut. Antara sifat-sifatnya adalah membaca dengan kuat jika solat itu pada waktu malam dan membaca dengan perlahan jika solat itu pada waktu siang.
- Hadith Abu Qatadah mengenai mereka yang tertidur daripada solat Subuh bersama Nabi SAW, beliau berkata: “Maka Baginda menunaikan solat Subuh seperti mana Baginda lakukan setiap hari.”
- Sesungguhnya qadha’ menyerupai perlaksanaan asalnya (secara tunai — dalam waktunya). (Lihat al-Syarh al-Mumti‘, 2/139-140).
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, jelaslah bahawa perkara ini termasuk dalam perkara yang diperselisihi dalam kalangan ulama. Namun, kami berpendapat bahawa solat qadha’ adalah mengikut sebagaimana ia ditunaikan pada asalnya — sama ada ia dibaca secara kuat atau perlahan. Dalam erti kata lain, jika ia merupakan solat jahriyyah (yang dibaca kuat) seperti solat Subuh, Isyak, dan Maghrib, dianjurkan juga untuk diqadha’kan dengan dibaca secara kuat. Jika ia adalah solat sirriyyah (yang dibaca perlahan) seperti solat Zuhur dan Asar, dianjurkan juga untuk diqadha’kan dengan dibaca secara perlahan.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.”
Nota Hujung:
[1] Lihat https://binbaz.org.sa/fatwas/6322/كيفية–قضاء–الصلوات–الجهرية–والسرية. Diakses pada 7 Ogos 2024.