Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah apabila seorang pekerja melanggar kontrak kerja, dan dikenakan penalti dan denda kerana telah melanggar kontrak pekerjaan, seperti berhenti dalam masa 24 jam, pemotongan gaji dan kemudian tuntutan balance kontrak, apakah hukum dalam islam? Apakah status duit yang didenda itu? Adakah boleh pihak majikan memotong gaji dan tidak membayar gaji pekerja jika pihak buruh meluluskan tuntutan majikan terhadap pekerja?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَأَوْفُوا بِالْعَهْدِ ۖ إِنَّ الْعَهْدَ كَانَ مَسْئُولًا

Maksudnya: “Dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya.

(Surah al-Isra’: 34)

Dr. Wahbah al-Zuhaili mengatakan bahawa janji adalah kehormatan dan persetujuan, dan kontrak adalah kewajiban dan keterikatan. Menyalahi janji adalah satu sifat khianat dan munafik, meleraikan perjanjian yang telah dibuat merupakan sikap yang boleh menyebabkan hilangnya kepercayaan. Maka wajib untuk menepati janji berdasarkan syara‘. Sesiapa yang menyalahi dan tidak menepati janji yang telah dilakukan, dia telah melakukan maksiat dan dosa. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 15/73).

Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat ini berkata bahawa setiap janji-janji yang dibuat antara manusia dan kontrak-kontrak yang disepakati antara mereka akan dipersoalkan tentangnya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/68)

Diriwayatkan daripada  Anas bin Malik RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا إِيمَانَ لِمَنْ لَا أَمَانَةَ لَهُ، ولاَ دِينَ لِمَنْ لَا عَهْدَ لَهُ

Maksudnya: Tidaklah sempurna iman seseorang bagi sesiapa yang tidak beramanah dan tidak sempurnalah agama seseorang bagi sesiapa yang tidak menunaikan janjinya.

Riwayat Ahmad (13199) dan al-Bazzar (7196)

Al-Imam al-Zahabi dalam al-Kaba’ir berkata: “Khianat merupakan perkara yang amat buruk dalam semua keadaan dan sebahagian daripadanya lebih teruk daripada yang lain. (Lihat al-Kaba’ir, hlm. 149)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan dalam isu ini sebaiknya ia perlu dilihat semula dari sudut peraturan dan syarat kontrak syarikat tersebut. Sekiranya terdapat perjanjian yang telah dibuat di antara majikan dan pekerja, serta kedua-duanya telah setuju dengan terma syarat yang telah ditetapkan, maka apabila pekerja itu melanggar perjanjian, menjadi hak majikan untuk mengenakan tindakan sepertimana yang telah termaktub di dalam perjanjian.

Saya mengambil kesempatan, menasihatkan kepada majikan supaya menjaga hak-hak pekerjanya dan membayar gaji mengikut waktu yang telah disepakati. Saat yang sama, saya menasihatkan kepada pekerja, jangan ponteng, malas, tidak melaksanakan tugas dengan betul, curi tulang dan menipu majikan dengan pelbagai alasan. Ini kerana memberi kesan berkenaan keberkatan rezeki yang didapatinya.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, daripada berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, daripada seksa-Mu (bencana) yang datang secara tiba-tiba, dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.”

Leave a Reply