Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Ada seorang kanak-kanak bernama adik Adam menghidap kanser. Kos rawatan diperlukan adik Adam adalah sebanyak 12k. Disebabkan ibu adik adam tidak berkemampuan, jadi ibu adik adam berusaha mencari dana perubatan anaknya dengan membuat sebaran kepada media sosial untuk membantunya untuk membayar rawatan perubatan sebanyak 12k. Namun, crowdfunding ini berjaya dikumpulkan 8k oleh ibu adik Adam sahaja. Akan tetapi Allah SWT lebih sayangkan adik Adam, adik Adam tidak sempat hendak menjalani rawatan kerana telah meninggal dunia. Soalannya, apakah status 8k duit yang berjaya terkumpul itu? Ibu adik Adam juga ada memberi 3k daripada dana tersebut kepada pesakit kanak-kanak kritikal juga? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pertamanya, kami ucapkan takziah apa yang berlaku dan kami katakan:
إِنَّا لِلَّـهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ
Dalam menjawab soalan di atas, pada asasnya, duit-duit sumbangan yang diberikan oleh seseorang itu hendaklah diuruskan atau disalurkan kepada sudut-sudut yang telah ditetapkan atau diniatkan oleh orang yang menderma.
Sebagai contohnya, apabila seorang yang menyumbangkan wang dermanya kepada tabung-tabung khas untuk tujuan tertentu, maka duit tersebut hanyalah digunakan kepada tujuan tersebut sahaja dan bukannya kepada tujuan-tujuan lain yang tidak berkaitan dengan niat penyumbang (penderma).
Hal ini sebagaimana yang dinyatakan dalam hadith yang diriwayatkan daripada Amirul Mukminin Abu Hafs Umar bin al-Khattab R.A, beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِيَّاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِىءٍ مَا نَوَى
Maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang mengikut apa yang dia niat.”
Riwayat al-Bukhari (1) dan Muslim (1907).
Selain itu, Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari ada menyebutkan, sekiranya seseorang itu memberikan beberapa dirham kepadanya dan berkata: “Belilah buat diri kamu serban dengan wang ini atau bawalah serban ini ke dalam tempat mandi,” atau (ucapan) seumpamanya, maka menjadi tuntutan kepada orang yang diberikan wang itu untuk melakukan perkara tersebut bagi meraikan tujuan individu yang menyumbangkan wang tersebut kepadanya.
Namun, jika seseorang (yang memberi duit) bertujuan untuk (orang yang diberikan wang tersebut) menutup kepalanya dengan serban dan membersihkannya, dengan cara membawanya masuk ke dalam bilik air, berdasarkan apa yang dia lihat daripada orang tersebut dari sudut kepala terdedah (tidak tertutup) dan juga kekusutan serta kotoran yang terdapat pada badan orang tersebut. Sekiranya tidak, iaitu jika dia tidak menyertakan tujuannya (yakni dia hanya memaksudkan sebagai niat sedekah umum), seperti dia menyebut (gunakanlah wang) dalam bentuk penuh keluasan yang mengikut adat kebiasaan, maka tidak ditentukan wang tersebut untuk diguna pada perkara (yang ditetapkan itu). Bahkan dia (yang menerima wang) memilikinya atau boleh dia menggunakan wang tersebut sebagaimana yang dia kehendaki. (Lihat Asna al-Matalib, 2/479-480)
Oleh yang demikian, jika dikaitkan dengan isu di atas, dapatlah difahami bahawa sekiranya penderma yang memberikan sumbangan wang bagi crowd funding untuk tujuan rawatan kanser buat adik Adam, maka hendaklah duit tersebut hanya digunakan sebagaimana yang dinyatakan tujuannya dan bukannya kepada kegunaan-kegunaan yang lain. Ini kerana orang Islam hendaklah mengikuti syarat-syarat yang telah ditentukan sebagaimana riwayat daripada ‘Amr bin ‘Auf al-Muzani R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
وَالْمُسْلِمُونَ عَلَى شُرُوطِهِمْ إِلاَّ شَرْطًا حَرَّمَ حَلاَلاً أَوْ أَحَلَّ حَرَامًا
Maksudnya: “Dan kaum muslimin itu harus memenuhi syarat-syarat yang telah mereka sepakati, kecuali syarat yang mengharamkan perkara yang halal atau menghalalkan perkara yang haram.”
Riwayat al-Tirmizi (1352) dan Ibn Majah (2353)
Syeikh al-‘Azim Abadi ketika mensyarahkan hadith ini, berkata: “Iaitu mereka tetap (dengan perjanjian yang telah dilakukan) dan tidak berpatah balik.” (Lihat ‘Aun al-Ma’bud Syarh Sunan Abi Daud, 10/26).
Namun sekiranya crowd funding itu tidaklah mengkhususkan hanya untuk rawatan pesakit kritikal tertentu, sebaliknya diumumkan kepada pesakit-pesakit kritikal atau sakit kritikal tertentu, maka tidak menjadi masalah untuk menggunakannya bagi menampung kos rawatan perubatan kepada siapa sahaja pesakit kritikal yang memerlukannya selama mana ia masih berada di dalam makna atau ruang lingkup tujuan kutipan duit sumbangan tersebut.
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan di atas, kami berpendapat bahawa sebaik-baiknya duit kutipan sumbangan yang terkumpul itu turut digunakan untuk tujuan yang sama iaitu merawat pesakit kanser. Namun, ibu kepada adik Adam selaku pihak penganjur “crowd funding” itu hendaklah memaklumkan kepada pihak penderma berkenaan hal tersebut (iaitu duit derma yang terkumpul tidak dapat digunakan kepada pesakit yang dimaksudkan kerana sudah meninggal dunia), justeru, pihak penganjur ingin menyalurkannya kepada orang lain yang juga memerlukannya bagi merawat kanser ataupun sakit-sakit kritikal yang lain.
Meskipun, pemberian kepada penghidap kanser yang lain itu, sebenarnya dilihat masih berada di dalam makna atau ruang lingkup tujuan kutipan duit sumbangan tersebut — merawat kanser, tetapi pemberitahuan kepada pihak penderma, tujuannya adalah supaya pihak penderma mengetahuinya bagi mendapatkan persetujuan mereka kerana pada asalnya tujuan kutipan derma adalah untuk merawat kanser yang dihidapi oleh adik Adam.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا
Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”