Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, saya ingin membawa anak ke masjid namun, dikhuatiri mengganggu orang lain? Mohon pandangan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Masjid merupakan institusi yang penting dalam pembangunan masyarakat. Peranan masjid termasuklah sebagai agen untuk menyatukan masyarakat dan membantu menyelesaikan urusan mereka. Masjid yang benar-benar berfungsi akan memberikan banyak faedah dan manfaat kepada masyarakat di sekitarnya seperti dalam aspek pembentukan kerohanian, keilmuan dan juga sebagai pusat rujukan dan khidmat kepada masyarakat. Bahkan fungsinya boleh dikembangkan sehingga ke tahap pengislahan ekonomi dan sosial.
Sejarah membuktikan fungsi masjid dalam memainkan peranan yang cukup luas bagi membina kesempurnaan dan keindahan Islam sebagai al-Din (cara hidup) melalui fungsi komprehensif yang dijana oleh institusi masjid. Sejarah Islam menggambarkan begitu tingginya nilai peranan institusi masjid yang dicetuskan pada zaman kegemilangan Islam. Walaupun keadaan dan suasana masyarakat pada zaman Rasulullah SAW berbeza dengan kehidupan masyarakat pada hari ini, namun masyarakat Islam di Malaysia mempunyai matlamat yang sama terutama dalam hal keagamaan.
Firman Allah SWT:
إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَـٰجِدَ ٱللَّهِ مَنْ ءَامَنَ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ وَأَقَامَ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَى ٱلزَّكَوٰةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا ٱللَّهَ ۖ فَعَسَىٰٓ أُو۟لَـٰٓئِكَ أَن يَكُونُوا۟ مِنَ ٱلْمُهْتَدِينَ
Maksudnya: “Hanyasanya yang layak memakmurkan masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, dengan adanya sifat-sifat yang tersebut maka adalah diharapkan mereka menjadi dalam kalangan golongan yang mendapat petunjuk.”
(Surah al-Taubah: 18)
Ibn Kathir berkata: “Bukanlah yang dimaksudkan dengan memakmurkan masjid-masjid Allah hanya dengan menghiasi dan mendirikan bangunannya saja, akan tetapi memakmurkannya di sini adalah dengan berzikir kepada Allah dan menegakkan syariat di dalamnya, serta membersihkannya daripada kotoran maksiat dan kesyirikan kepada Allah SWT.”
Syeikh Al-Tantawi dalam menafsirkan ayat ini menjelaskan di dalam kitabnya bahawa orang yang mengimarahkan masjid merupakan mukmin yang benar-benar beriman kepada Allah SWT dengan apa yang disuruh dan apa yang dilarang dengan petunjuk daripada Baginda SAW dengan hati yang penuh dengan keikhlasan. (Lihat Tafsir al-Wasit, 6/228)
Pengimarahan masjid mengandungi dua aspek iaitu membinanya dan melaziminya. Seseorang hanya dikatakan mengimarahkan masjid sekiranya dia kerap berulang alik ke masjid. (Lihat al-Tafsir al-Kabir, 5/9)
Maksud memakmurkan masjid adalah dengan menetapinya untuk melaksanakan ibadah di dalamnya dalam rangka meraih keredhaan-Nya. Antaranya seperti melakukan solat, berzikir kepada Allah SWT dan mempelajari ilmu agama. Juga termasuk maknanya adalah dengan membangunkan masjid, menjaga dan memeliharanya. (Lihat Aisar al-Tafasir li Kalam al-‘Aliy al-Kabir, 2/66)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa masjid merupakan institusi tarbiyah dan pusat dakwah bagi setiap generasi termasuk kanak-kanak. Ia tidak dikhususkan bagi sesetengah golongan sahaja. Oleh yang demikian, membawa anak ke masjid merupakan perkara yang dibenarkan oleh syarak kerana ia merupakan salah satu cara mentarbiah mereka dan mendekatkan mereka dengan masjid. Selain itu juga, ia membantu mereka memahami pentingnya masjid dalam kehidupan seharian dan menggalakkan mereka untuk terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang bermanfaat.
Ini menunjukkan bahawa masjid merupakan tempat mesra bagi kanak-kanak dan pusat pembangunan sahsiah mereka. Hal ini boleh dilihat melalui sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Qatadah al-Harith bahwa beliau berkata:
رَأَيْتُ النبيَّ صَلّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ يَؤُمُّ النّاسَ وأُمامَةُ بنْتُ أبِي العاصِ وهي ابْنَةُ زَيْنَبَ بنْتُ النبيِّ صَلّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ على عاتِقِهِ، فَإِذا رَكَعَ وضَعَها، وإذا رَفَعَ مِنَ السُّجُودِ أعادَها.
Maksudnya: “Aku melihat Nabi SAW mengimami solat dan Umamah binti Abu al-‘As, yang merupakan anak perempuan Zainab binti Nabi SAW, berada di atas bahunya. Ketika beliau rukuk, beliau meletakkannya, dan apabila beliau bangun dari sujud, beliau mengangkatnya kembali.”
Riwayat Muslim (543)
Badruddin al-’Aini menyatakan bahawa: “Antara faedah hadith ini adalah keharusan membawa kanak-kanak kecil ke dalam masjid.” (Lihat al-Mustatab fi Fiqh al-Sunnah wa al-Kitab, 2/757)
Begitu juga disebutkan dalam ‘Inayah al-Islam bi Tarbiah al-Abna’ kama Bayyanatha Surah Luqman (hlm.84): Masjid mengajar golongan kanak-kanak bahawa semua urusan kehidupan adalah berkaitan dengan hubungan dengan Allah dan keikhlasan dalam beribadah kepada Allah SWT. Ini tertanam dalam jiwa mereka secara alami tanpa sengaja dan tanpa paksaan. Dalam solat, banyak kelebihan akhlak yang membentuk peribadi Muslim yang seimbang terpancar, termasuk nilai ‘izzah yang merangkumi makna akhlak yang tertinggi, serta sifat rahmah, iaitu sifat yang dipilih oleh Allah untuk hamba-hamba-Nya di antara semua sifat-Nya dalam pembukaan kitab (Al-Rahman Al-Rahim). Ini menjauhkan golongan muda daripada riak, sum‘ah, pembohongan, dan percanggahan antara perbuatan dan kata-kata. Pengajaran al-Quran di kelas-kelas kecil dan masjid-masjid sehingga kini adalah cara utama untuk belajar membaca dan menulis di banyak negara Islam.
Selain itu, dalam Majallah Buhuth al-Islamiyyah (94/121) menyatakan: Masjid dalam Islam adalah salah satu tiang yang paling penting di mana individu Muslim dididik dan masyarakat Muslim dibina, sepanjang zaman dalam sejarah yang panjang. Masjid masih merupakan salah satu asas terkuat dalam pembentukan individu dan masyarakat, serta membentuk masyarakat Muslim yang unggul. Ini kerana tanpa masjid, seseorang individu tidak dapat dididik dari segi rohani, iman, akhlak, sosial, dan pemikiran.
Justeru berdasarkan perbincangan di atas, adalah wajar bagi ibu bapa membawa anak-anak ke masjid kerana ia merupakan tempat tarbiah di mana ia dapat membentuk sahsiah mereka dan mendekatkan mereka dengan agama. Namun, penting bagi ibu bapa untuk memastikan anak-anak tidak mengganggu jamaah lain yang sedang beribadah. Ini boleh dilakukan dengan mengajar mereka adab di masjid dan memastikan mereka sentiasa diawasi.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
(Surah al-Furqan: 74)
Wallahua’lam.