Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, adakah dibolehkan memeluk Islam secara sembunyi tanpa pengetahuan orang lain sekiranya dikhuatiri akan keselamatan diri? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
إِنَّكَ لَا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَـٰكِنَّ اللَّـهَ يَهْدِي مَن يَشَاءُ ۚ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ
Maksudnya: “Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam).”
(Surah al-Qasas: 56)
Ibn Kathir berkata: “Allah SWT berfirman kepada Rasul-Nya SAW: “Sesungguhnya engkau tidak berkuasa memberikan hidayah kepada orang yang engkau cintai”, maksudnya itu bukan urusanmu. Tetapi, kewajibanmu hanya menyampaikan dan Allah akan memberi hidayah (petunjuk) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 10/473)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa dalam Islam, seseorang yang memeluk agama Islam tidak diwajibkan untuk mengumumkan keislamannya kepada orang lain, termasuk ibu bapa, jika terdapat kebimbangan akan mendatangkan mudarat seperti diusir dari rumah atau menghadapi bahaya lain. Keislaman seseorang adalah sah di sisi Allah walaupun ia disembunyikan demi keselamatan diri. Hal ini boleh dilihat melalui sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Zar al-Ghifari bahawa Rasulullah SAW bersabda kepadanya:
يا أبا ذَرٍّ، اكْتُمْ هذا الأمْرَ، وارْجِعْ إلى بَلَدِكَ
Maksudnya: “Wahai Abu Zar, sembunyikan perkara ini (keislamannya), dan kembalilah ke negerimu.”
Riwayat Bukhari (3522)
Hadith ini menunjukkan bahawa Nabi SAW memerintahkannya untuk menyembunyikan keislamannya kerana bimbang golongan Quraisy akan menyakitinya, dan demi menjaga keselamatannya daripada mereka. (Lihat Manar al-Qari’ Syarh Mukhtasar Sahih al-Bukhari, 4/232)
Dalam isu ini Dairah al-Ifta’ al- ‘Am dalam fatwanya menyatakan bahawa: Iman adalah hubungan antara hamba dan Tuhannya. Maka, jika seseorang hamba memeluk Islam secara rahsia, itu tetap bermanfaat baginya di sisi Allah walaupun tiada siapa yang mengetahuinya. Dia perlu mematuhi ajaran Islam dengan menunaikan kewajipan dan meninggalkan perkara yang haram. Begitulah yang dilakukan oleh orang-orang Islam pada permulaan Islam sehingga Allah memberi mereka tempat perlindungan dan kemenangan.[1]
Justeru, dalam situasi di mana seseorang menghadapi bahaya atau mudarat jika mengumumkan keislamannya, adalah dibenarkan untuk menyembunyikan keislaman tersebut. Islam sangat mementingkan keselamatan dan kesejahteraan individu. Oleh itu, dalam keadaan tertentu, menjaga keselamatan diri adalah lebih utama daripada mengumumkan keislaman secara terbuka.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اهْدِنَا فِيمَنْ هَدَيْتَ ، وَعَافِنَا فِيمَنْ عَافَيْتَ ، وَتَوَلَّنَا فِيمَنْ تَوَلَّيْتَ ، وَبَارِكْ لَنَا فِيمَا أَعْطَيْتَ ، وَقِنَا شَرَّ مَا قَضَيْتَ
Maksudnya: “Ya Allah berikanlah petunjuk kepadaku sebagaimana mereka yang telah Engkau beri petunjuk, Dan berilah kesihatan kepadaku sebagaimana mereka yang Engkau telah berikan kesihatan, Dan peliharalah daku sebagaimana orang yang telah Engkau peliharakan, Dan berilah keberkatan bagiku pada apa-apa yang telah Engkau kurniakan, Dan selamatkan aku dengan rahmat-Mu dari bahaya kejahatan yang telah Engkau tentukan.”
Wallahua’lam
Nota Hujung:
[1] Lihat https://www.aliftaa.jo/encyclopedia/2612/%D8%AD%D9%83%D9%85-%D9%85% Diakses pada 7 Ogos 2024