Kategori  Adab dan Akhlaq  HURUF P – Z  Pekerjaan  HURUF P – Z

 

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah hukum seorang Doktor memberikan cuti sakit kepada yang tidak berhak bahkan ada sesetengah tempat menjual MC ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَكُونُوا مَعَ الصَّادِقِينَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah, dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang-orang yang benar.”

(Surah al-Taubah:119)

Abu Bakar al-Jazairi  ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan bahawa: Bertakwalah kepada Allah dengan mengikuti perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya, dan jadilah dari kalangan orang-orang yang jujur dalam niat, perkataan, dan perbuatan. Nescaya kamu akan bersama orang-orang yang jujur di akhirat bersama Nabi SAW, Abu Bakar, Umar R.Anhuma, serta para nabi, orang-orang yang benar, para syuhada, dan orang-orang yang soleh. (Lihat Aisar al-Tafasir, 2/435)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa perbuatan memberikan cuti sakit atau menjualnya  kepada mereka yang tidak layak adalah tidak dibolehkan bahkan ia salah di sisi undang-undang. Oleh yang demikian, seorang doktor harus menjalankan tugasnya dengan penuh integriti dan tidak memberikan cuti sakit tanpa alasan yang sah.

Allah SWT dan Rasulullah SAW memerintahkan agar sentiasa bersikap benar dan melarang keras dari perbuatan jujur.  Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abdullah R.A, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

إِنَّ الصِّدْقَ يَهْدِي إِلَى البِرِّ، وَإِنَّ البِرَّ يَهْدِي إِلَى الجَنَّةِ، وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَصْدُقُ حَتَّى يَكُونَ صِدِّيقًا. وَإِنَّ الكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الفُجُورِ، وَإِنَّ الفُجُورَ يَهْدِي إِلَى النَّارِ، وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَكْذِبُ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللَّهِ كَذَّابًا

Maksudnya: “Sesungguhnya kejujuran itu membawa kepada kebaikan dan kebaikan itu membawa kepada syurga. Sesungguhnya seseorang itu sentiasa berlaku jujur sehingga dia ditulis di sisi Allah sebagai seorang yang jujur. Sesungguhnya pendustaan itu membawa kepada kejahatan, dan kejahatan itu membawa kepada Neraka. Sesungguhnya seseorang itu sentiasa berdusta sehingga dia ditulis di sisi Allah sebagai seorang pendusta.”

Riwayat al-Bukhari (6094)

Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa hadith di atas mengandungi galakan kepada setiap insan untuk bersifat dengan sifat benar dan melaziminya, serta larangan daripada berdusta dan bermudah-mudah dengannya. Hal ini kerana jika terlalu bermudah-mudah dengan sifat menipu ini, lama kelamaan akan menjadi biasa — sehingga layak ditulis sebagai seorang penipu. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 16/160)

Dalam isu ini Dairah al-Ifta al-‘Am menyatakan: Ini termasuk dalam kategori berbohong, dan Allah melarang berbohong kerana ia haram. Segala perkara yang dibina di atasnya juga haram. Cuti sakit bermaksud bahawa seseorang itu berhak mendapat gaji sepanjang tempoh cuti kerana penyakitnya tanpa perlu hadir di tempat kerja. Jika dia tidak sakit, dia tidak berhak menerima gaji untuk tempoh tersebut.[1]

Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ غَشَّنَا فَلَيْسَ مِنَّا

Maksudnya: “Barangsiapa yang menipu kami maka bukanlah dia daripada kalangan kami.”

Riwayat Muslim (102), Abu Daud (3452), Ibn Majah (2224), Ahmad (7292) dan al-Tirmizi (1315)

Syams al-Haq al-‘Azim Abadi menukilkan daripada al-Khattabi, katanya: “Hadith ini menjadi dalil yang menunjukkan bahawa haramnya perbuatan menipu dan perkara tersebut telah disepakati. (Lihat ‘Aun al-Ma‘bud, 9/231)

Justeru,  berbohong bukan sahaja merupakan perbuatan yang tercela, tetapi juga membawa banyak kesan negatif kepada individu dan masyarakat. Apabila seseorang berbohong untuk mendapatkan cuti sakit tanpa benar-benar sakit, atau doktor yang tidak jujur dalam memberikan cuti tersebut kepada mereka yang tidak berhak, maka dia telah melakukan beberapa pelanggaran syariah dan etika serta menyebabkan kerosakan dalam sistem dan akhlak masyarakat. Oleh yang demikian, seseorang itu sepatutnya jujur dan amanah dalam semua urusannya, serta menghindari berbohong dan penipuan, kerana dengan itu terdapat keredaan Allah dan keberkatan dalam rezeki serta kehidupan.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Wallahua’lam

[1] Lihat https://www.aliftaa.jo/encyclopedia/2542/%D8%AD% Diakses pada 8 Ogos 2024

Leave a Reply