Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Jika seorang suami melafazkan talak pada isteri yg sedang mengandung 8 bulan jatuh ke talak nya boleh ke duduk satu rumah bagaimana pula selepas isteri nya bersalin  apa yg perlu dibuat.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

‏ الطَّلَاقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌ بِإِحْسَانٍ

Maksudnya: “Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik.”

(Surah al-Baqarah: 229)

Talak merupakan jalan yang terakhir digunakan oleh suami dalam penyelesaian masalah sekiranya tidak dapat dielakkan. Namun sekiranya perkara ini digunakan hanya untuk memuaskan nafsunya, maka talak itu dianggap halal akan tetapi perkara itu amat dibenci oleh Allah SWT. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i, 4/120)

Firman Allah SWT berkenaan iddah wanita hamil:

وَأُوْلَٰتُ ٱلْأَحْمَالِ أَجَلُهُنَّ أَن يَضَعْنَ حَمْلَهُنَّ

Maksudnya: “Dan perempuan-perempuan mengandung, tempoh iddahnya ialah sehingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya.”

(Surah at-Talaq: 4)

Fakhr al-Din al-Razi ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan: tempoh ‘iddah bagi wanita hamil berakhir dengan kelahiran anak dalam semua keadaan. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 30/563)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan talak jatuh meskipun si isteri dalam keadaan mengandung dan tempoh iddahnya sehingga dia bersalin.

Manakala, tentang tinggal serumah selepas lafaz cerai, boleh untuk si isteri tinggal serumah untuk menghabiskan iddahnya dan dalam tempoh itu juga, boleh untuk si suami untuk rujuk semula.

Begitu juga, selepas bersalin, maka iddah si isteri telah tamat. Namun, perlu bagi urusan cerai ini di rujuk di mahkamah syariah sebagai pemegang kata putus dan selaku pihak yang berautoriti dalam urusan undang-undang keluarga Islam.

Kami katakan di sini, hendaklah si suami mengadakan hubungan yang baik dengan isteri walaupun dalam saat ketika getir rumah tangga tersebut. Inilah yang sentiasa dinasihatkan oleh para ulama’ berdasarkan nas Ilahi:

وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ فَإِنْ كَرِهْتُمُوهُنَّ فَعَسَى أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئًا وَيَجْعَلَ اللَّهُ فِيهِ خَيْرًا كَثِيرًا

Maksudnya: “Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).”

(Surah al-Nisa’: 19)

Ibn Kathir menyebutkan di dalam tafsir beliau: “Boleh jadi kesabaran mempertahankan ikatan perkahwinan itu, meskipun tidak disukai oleh isteri, ia lebih banyak kebaikan buat kalian di dunia dan di akhirat.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/212)

Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman dalam agama ini dan menjauhkan kita daripada keruntuhan institusi rumah tangga serta menjadikan keluarga kita dalam keadaan mawaddah dan rahmah. Amin.Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Leave a Reply