Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah adab dengan ibu bapa di akhir hayat mereka?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوٓا۟ إِلَّآ إِيَّاهُ وَبِٱلْوَٰلِدَيْنِ إِحْسَـٰنًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ ٱلْكِبَرَ أَحَدُهُمَآ أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَآ أُفٍّۢ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًۭا كَرِيمًۭا (٢٣) وَٱخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ ٱلذُّلِّ مِنَ ٱلرَّحْمَةِ وَقُل رَّبِّ ٱرْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِى صَغِيرًۭا
Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu tidak menyembah melainkan hanya kepada-Nya sahaja; dan berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang antara mereka atau kedua-duanya meningkat usia tua dalam jagaanmu, maka janganlah sesekali engkau mengucapkan sebarang kata-kata kasar kepada mereka. Dan janganlah engkau menengking mereka sebaliknya ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan hendaklah kamu merendah diri terhadap mereka berdua dengan kasih sayang dan doakanlah mereka, “Wahai Tuhanku! Rahmatilah mereka berdua sebagaimana mereka telah mendidikku semasa kecil.”
(Surah al-Isra’: 23-24)
Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata di dalam tafsirnya pada ayat ini, Allah SWT mengikat banyak ayat berkaitan dengan ibadah dengan tuntutan berlaku baik atau ihsan kepada kedua ibu bapa dengan sebaik-baiknya di dalam pergaulan dengan mereka. Ini kerana, mereka adalah sebab hakiki selepas Allah SWT akan kewujudan manusia. (Lihat Tafsir al-Munir, 15/54)
Diriwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ: إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
Maksudnya: “Apabila matinya seorang manusia, maka terputuslah pahala amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya, atau anak soleh yang sentiasa mendoakannya.”
Riwayat Muslim (4310), Abu Dawud (2882), al-Nasa’i (6445) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (12635)
Imam al-Nawawi dalam syarahnya menyebut: Ulama’ berkata: Hadith ini bermaksud bahawa setiap amalan orang yang mati terputus disebabkan oleh kematiannya kecuali disebabkan oleh tiga perkara yang mempunyai sebabnya. Anaknya adalah daripada hasilnya, begitu juga dengan ilmu yang diajarkannya melalui pembelajaran, begitu juga dengan sedeqah jariah iaitu wakaf. Dan pada hadith ini juga terdapat kelebihan berkahwin untuk dapatkan anak yang soleh. ( Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 11/85)
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan antara adab yang perlu kita lakukan di akhir hayat ibu bapa kita adalah:
- Mengurus ibu dan ayah dengan sebaik mungkin seperti mandikan, siap sedia membantunya apabila diperlukan, bercakap dengan sopan santun dan tidak derhaka kepada mereka.
- Menyelesaikan apa-apa tanggungjawab yang perlu sepert merekod hutang (sekiranya ada) dan seumpamanya.
- Sedekahkan bacaan al-Quran dan banyakkan doa kepada mereka agar dipermudahkan segala urusan di sana, diampunkan segala dosa, diselamatkan dari siksaan neraka dan dimasukkan ke dalam syurga Allah SWT.
- Memastikan setiap urusan pengebumian mereka, diselesaikan dengan sebaik mungkin.
- Selalu menziarahi kubur dan mendoakan mereka agar dilindungi oleh Allah SWT di alam sana.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Kami akhiri dengan doa:
اَللَّهُمَّ اغْفِرْلَنَا ذُنُوْبَنَا وَلِوَالِدَيْنَا وَارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانَا صِغَارًا
Maksudnya: “Ya Allah! ampunilah dosa kami dan dosa kedua ibu bapa kami serta kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihi kami sejak kecil.”