Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, adakah menjadi kelaziman orang yang lebih tua itu mendalam ilmunya dan bolehkan seseorang itu mengambil ilmu daripada yang lebih muda?  mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ

Maksudnya: “Allah meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu, dan orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dalam kalangan kamu) — beberapa darjat.”

(Surah al-Mujadalah: 11)

Ibn Mas’ud RA menyebut bahawa Allah SWT telah memuji ulama’ di dalam ayat ini iaitu Allah SWT mengangkat orang-orang beriman yang diberi ilmu di atas orang-orang beriman yang tidak diberikan ilmu dengan beberapa darjat. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 17/299)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa Islam amat menekankan kepentingan ilmu pengetahuan dan menggalakkan umatnya untuk menimba ilmu daripada sesiapa sahaja yang berkelayakan, tanpa mengira usia. Selagi ilmu yang disampaikan itu sahih dan bermanfaat, kita harus bersedia untuk belajar daripada sesiapa sahaja, termasuk mereka yang lebih muda. Ini menunjukkan betapa pentingnya ilmu dalam Islam dan bagaimana ia boleh datang daripada pelbagai sumber.

Mengambil ilmu daripada mereka yang lebih muda bukanlah suatu perkara yang ganjil. Ini kerana betapa ramai ulama-ulama dahulu mahupun yang kini menimba ilmu daripada mereka yang berkeahlian walaupun usia mereka lebih muda. Hal ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Ali bin al-Madini bahawa beliau berkata: “Lebih aku suka bertanya kepada Ahmad bin Hanbal tentang suatu masalah dan beliau memberi fatwa kepadaku daripada bertanya kepada Abu Asim dan Ibn Dawud. Sesungguhnya ilmu bukanlah berdasarkan umur.

Begitu juga Umar R.A menyatakan: “Sesungguhnya ilmu bukanlah berdasarkan muda atau tua, tetapi Allah SWT menempatkannya di mana Dia kehendaki.” Selain itu juga,  Waki’ berkata: “Seorang lelaki tidak dikatakan sebagai seorang yang berilmu sehingga dia mendengar dari orang yang lebih tua daripadanya, orang yang setaraf dengannya, dan orang yang lebih muda daripadanya.” (Lihat al-Adab al-Syar’iyyah wa al-Minah al-Mar‘iyyah, 2/110)

Syeikh Nasir al-‘Aql ketika ditanyakan soalan adakah menjadi syarat bagi kedalaman ilmu seseorang itu bahawa orang tersebut haruslah sudah berusia tua? Lalu beliau menjawab: tidak semestinya kedalaman ilmu memerlukan seseorang itu berusia tua, tetapi kebiasaan dan hukum Allah terhadap hamba-hamba-Nya adalah bahawa orang yang lebih tua seringkali lebih berpengetahuan, lebih mendalam ilmunya, dan lebih berpengalaman. Namun, mungkin juga terdapat ilmuwan muda jika Allah memberikan kepada mereka bakat, kemampuan, dan taufik untuk mempelajari ilmu syariah secara mendalam, mereka boleh berkembang dengan cepat. Mereka mungkin masih muda tetapi sudah termasuk dalam golongan yang mendalam ilmunya. Antara mereka yang termasuk dalam golongan yang berperanan dalam urusan umat dan golongan ilmuwan, adalah seperti Ibn ‘Abbas, Zaid bin Thabit, Abdullah bin Umar, dan lain-lain yang dianggap sebagai orang yang rasikh dalam ilmu walaupun masih muda. Namun, kebiasaannya orang yang lebih tua akan lebih berkemampuan, lebih banyak pengetahuan, lebih berpengalaman, dan lebih stabil dalam banyak hal. Ini tidak menghalang daripada adanya ilmuan yang masih muda. Seorang ilmuan adalah mereka yang mempunyai ilmu, rasikh pada akal dan kebijaksanaan, mengikuti sunnah, dan istiqamah. Dia lah yang dipanggil orang yang mendalam ilmunya walaupun umurnya dua puluh tahun. (Lihat Syarh ‘Aqidah al-Tahawiyah, 44/10)

Berkaitan dengan perbincangan ini juga  Imam Ahmad pernah berkata:

رَحَلْتُ فِي طَلَبِ الْعِلْمِ وَالسُّنَّةِ إِلَى الثُّغُورِ، وَالشَّامَاتِ، وَالسَّوَاحِلِ، وَالْمَغْرِبِ، وَالْجَزَائِرِ، وَمَكَّةَ، وَالْمَدِينَةِ، وَالْحِجَازِ، وَالْيَمَنِ، وَالْعِرَاقَيْنِ جَمِيعًا، وَفَارِسَ، وَخُرَاسَانَ، وَالْجِبَالِ، وَالْأَطْرَافِ، ثُمَّ عُدْتُ إِلَى بَغْدَادَ

Maksudnya: “Aku mengembara menuntut ilmu dan juga sunnah ke segenap  pelusuk, Syam, lembah-lembah, dan Maghrib, Jaza’ir, Makkah, Madinah, Hijaz, Yaman, Iraq, Parsi, dan Khurasan, dan bukit-bukit, kemudian aku pulang ke Baghdad.” (Lihat Sifat al-Mufti wa al-Mustafti, hlm. 291)

Kata beliau lagi:

اسْتَفَادَ مِنَّا الشَّافِعِيُّ أَكْثَرَ مِمَّا اسْتَفَدْنَا مِنْهُ

Maksudnya: “Al-Syafi‘i mendapat faedah daripada kami lebih banyak dari faedah yang kami dapat daripadanya.”

Kata-kata beliau ini disokong sendiri oleh Imam al-Syafi‘i, katanya:

‌مَا ‌اسْتَفَادَ ‌مِنَّا ‌أَكْثَرَ مِمَّا اسْتَفَدْنَا مِنْهُ

Maksudnya: “Tidaklah Imam Ahmad mendapat faedah dari kami lebih banyak berbanding kami mengambil faedah dari beliau.” (Lihat Manaqib al-Syafi‘i, 2/315)

Ini menunjukkan bahawa Imam al-Syafi‘i mengambil manfaat ilmu daripada Imam Ahmad walaupun Imam Ahmad lebih mudah daripadanya.

Justeru, dapat difahami bahawa individu yang berpengetahuan tidak diukur berdasarkan usia mereka. Ini kerana mungkin individu yang lebih muda mempunyai lebih banyak pengetahuan berbanding yang lebih tua. Oleh yang demikian, tidak menjadi satu kesalahan bagi sesiapa pun untuk memperoleh dan menimba ilmu daripada individu yang lebih muda usianya.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahua‘lam

Leave a Reply