Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, beberapa faedah berkenaan dengan khairul qurun qarni?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ ۖ إِنَّ اللَّـهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
Maksudnya: “Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah kepada kamu maka terimalah serta amalkan. Manakala apa jua yang dilarang kamu melakukannya maka tinggalkanlah. Bertaqwalah kamu kepada Allah kerana sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksa-Nya (bagi orang-orang yang melanggar perintah-Nya).”
(Surah al-Hasyr :7)
Imam Ibn Kathir berkata selagimana suruhan itu daripada Nabi hendaklah dilakukan dan apa yang dilarang hendaklah ditinggalkan. Sesungguhnya apa yang diperintahkan Baginda akan membawa kepada kebaikan dan apa yang dilarang itu akan membawa kepada keburukan. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 13/485)
Menjawab persoalan di atas, hadith tersebut riwayat daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A bahawa Baginda SAW bersabda:
خَيْرُ النَّاسِ قَرْنِي، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ
Maksudnya: “Sebaik-baik manusia adalah kurunku. Kemudian kurun selepas daripada mereka dan kemudian kurun selepas daripada mereka.”
Riwayat al-Bukhari (3651);
Hadith ini menunjukkan zaman yang terbaik adalah zaman Rasulullah SAW dan zaman sahabatnya, kemudian zaman tabiin, dan seterusnya zaman tabi’ tabiin. Ia dikenali sebagai al-qurun al-mufaddhalah. (Lihat Tafsir al-Bayan, 5/371)
Syeikh al-Syanqiti menyebut: Mereka yang digelar sebagai al-Awwalin adalah golongan sahabat Nabi SAW. Ini seperti yang disebut di dalam hadis Nabi SAW (خَيْرُ الْقُرُونِ قَرْنِي ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ) yang bermaksud “Sebaik-baik kurun adalah kurunku, kemudian kurun-kurun yang berikutnya”. (Lihat Adwa’ al-Bayan, 7/515)
Syeikh Saghir Ahmad al-Qadiri al-Ridhawi al-Jukanfuri al-Hindi berkata: Faedah yang nadir daripada sahabat Saidina Rasulullah SAW dan khasnya Khulafa Rasyidin yang empat:
Pertamanya, kalimah yang digunakan adalah qarni (قَرْنِي) iaitu kurunku. Kenapa? Sedangkan dia tidak menyebut kalimah ‘ahdi (عَهْدِي) atau ‘asri (عَصْرِي) yang memberi maksud zamanku atau masaku.
Ia merupakan isyarat daripada Nabi kepada khulafa yang empat dengan kalimah mengikut tertib mereka.
- Kalimah Qaf (ق) mewakili akhir sebutan kepada Khalifah Abu Bakar iaitu al-Siddiq.
- Kalimah Ra’ (ر) akhir daripada ejaan huruf Saidina Umar.
- Kalimah Nun (ن) adalah akhir bagi ejaan huruf Saidina Uthman.
- Kalimah Ya (ي) adalah akhir bagi kalimah Saidina Ali.
Maka kalimah qarni (قَرْنِي) dihimpunkan empat dengan tertib begini. Semoga Allah merahmati khulafa al-Rasyidin.
Benarlah firman Allah SWT:
كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّـهِ
Maksudnya: “Kalian (umat Islam) merupakan umat terbaik yang diutuskan kepada manusia; (hal itu kerana) kalian menyuruh kepada kebaikan dan mencegah perkara yang mungkar, dan beriman kepada Allah SWT.”
Surah Ali ‘Imran (110)
Ayat ini menunjukkan Allah SWT memuji umat ini dengan menyatakan mereka adalah sebaik-baik umat yang dikeluarkan oleh Allah SWT daripada kalangan manusia yang ada. Ini kerana, disebabkan kesempurnaan diri mereka dengan wujudnya iman serta beriltizam dalam melaksanakan perintah Allah SWT di samping menyempurnakan orang lain dengan menyeru kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 143)
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”