Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah seseorang pasangan suami isteri menggunakan minyak zaitun sebagai pelincir ketika melakukan hubungan intim suami isteri dan apakah pandangan Islam mengenainya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya seorang suami diharuskan untuk menikmati secara seksual setiap bahagian tubuh isterinya melainkan menyetubuhi isterinya pada dubur sebagaimana yang telah dinyatakan dalam al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, (4/84). Begitu juga diharuskan untuk bermain-main secara seksual antara suami dan isteri secara intim dan mesra, sebelum memulakan persetubuhan, dengan syarat selagi mana tidak membawa kepada kerosakan. Perkara ini berdalilkan firman Allah SWT:

نِسَاؤُكُمْ حَرْثٌ لَّكُمْ فَأْتُوا حَرْثَكُمْ أَنَّىٰ شِئْتُمْ

Maksudnya:Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai dan sediakanlah (amal-amal yang baik) untuk diri kamu.

(Surah al-Baqarah: 223)

Ayat di atas bermaksud, Isteri-isteri kamu adalah tempat kamu bercucuk tanam, melahirkan anak-anak untuk kamu; seperti tanah yang mengeluarkan buah-buahan. Maka datangilah tempat bercucuk tanam itu — iaitu faraj — dari mana-mana arah yang kamu suka dan bagaimana cara pun yang kamu suka asalkan di faraj. Dan sediakanlah untuk diri kamu dengan melakukan kebaikan, termasuklah seorang lelaki menggauli isterinya dengan niat mendekatkan diri kepada Allah dan berharap mendapatkan zuriat yang soleh. Bertakwalah kepada Allah dengan mematuhi perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya, termasuklah apa yang telah disyariatkan kepada kamu mengenai wanita. Ketahuilah bahawa kamu akan menemui-Nya pada hari kiamat, berdiri di hadapan-Nya, dan Dia akan membalas kamu berdasarkan amalan-amalan kamu. Dan berilah berita gembira — wahai Nabi — kepada orang-orang beriman dengan apa yang menggembirakan mereka ketika bertemu Tuhan mereka, iaitu nikmat yang kekal dan melihat wajah-Nya yang mulia. (Lihat al-Mukhtasar fi Tafsir al-Quran al-Karim, hlm. 35).

Seterusnya, sebelum kami menjawab soalan di atas, ada baiknya kita melihat dahulu penggunaannya sebagai minyak pelincir dari segi perubatan. Tidak dapat dinafikan minyak zaitun mempunyai banyak khasiat. Bermula daripada penggunaannya sebagai bahan makanan, penjagaan kulit dan rambut, sehinggalah sebagai pelincir. Menggunakan minyak zaitun asli dan semula jadi agak selamat untuk digunakan, selagi mana penggunanya itu tidak mempunyai sebarang alahan terhadap buah zaitun. Dikatakan terdapat beberapa kelebihan menggunakan minyak zaitun sebagai pelincir untuk hubungan kelamin seperti:

  • Minyak zaitun cenderung lebih licin dan mesra kulit berbanding produk yang mengandungi pelbagai bahan kimia.
  • Minyak zaitun mempunyai sifat melembapkan supaya ia boleh membantu dengan kekeringan faraj.
  • Sesetengah produk minyak zaitun bertujuan untuk memasak atau makanan (bukan untuk kulit) jadi ia juga boleh digunakan sebagai pelincir untuk seks oral.

Walau bagaimanapun, diingatkan bahawa menggunakan sebarang produk, termasuk minyak zaitun, di kawasan sulit wanita boleh menyebabkan kesan sampingan. Kesan sampingan yang paling biasa adalah jangkitan kulat dan jangkitan kuman pada faraj.

Ini boleh berlaku kerana menggunakan minyak zaitun sebagai pelincir untuk seks boleh mengganggu keseimbangan koloni bakteria dalam faraj. Faraj sudah mempunyai sistem khas untuk mengekalkan tahap bakteria baik lebih tinggi dan lebih kuat daripada bakteria jahat dan kulat yang menyebabkan jangkitan.

Oleh itu, minyak zaitun tidak disyorkan untuk digunakan sebagai pelincir harian. Terutamanya bagi wanita yang terdedah kepada jangkitan faraj atau yang sering mengalami simptom seperti kegatalan faraj, keputihan yang tidak normal atau berbau, dan sakit ketika melakukan hubungan seks.[1]

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, pada asasnya penggunaan alat-alat bantuan seks bagi tujuan hubungan kelamin suami isteri adalah diharuskan selagi mana tidak memudaratkan dan tidak najis, termasuklah dalam jenis alat bantuan itu, minyak atau produk pelincir. Tujuan penggunaan minyak pelincir itu adalah bagi membantu mengurangkan ketidakselesaan dan kekeringan faraj, terutamanya bagi wanita yang mula mengalami menopaus.[2]  Ini adalah selari dengan kaedah yang menyebutkan:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Bahkan perkara ini adalah selari dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-69 yang bersidang pada 13-15 Jun 2005 telah membincangkan Hukum Menggunakan Alat-Alat Bantuan Untuk Tujuan Hubungan Kelamin. Muzakarah telah memutuskan bahawa harus menggunakan alat bantuan untuk tujuan hubungan kelamin selagi mana ia tidak memudaratkan dan tidak najis. (Lihat Kompilasi Pandangan Hukum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, terbitan JAKIM, hlm. 161).

Selain daripada itu, Markaz al-Fatwa di bawah seliaan Dr. Abdullah al-Faqih juga  pernah diajukan soalan berkenaan, adakah dibenarkan menggunakan minyak seksual (pelincir) dan mainan seksual yang tidak berbahaya seperti alat kelamin tiruan untuk meningkatkan keseronokan antara suami isteri?

Mereka menjawab, tidak dibenarkan bagi suami untuk memasukkan alat kelamin tiruan ke dalam faraj isterinya, dan tidak dibenarkan juga bagi isteri untuk melakukannya, kerana ia boleh menyebabkan kebiasaan kepada perilaku yang menyimpang, serta termasuk dalam perbuatan yang dilarang seperti yang disebut dalam firman Allah SWT:

إِلَّا عَلَىٰٓ أَزْوَٰجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَـٰنُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ ٦ فَمَنِ ٱبْتَغَىٰ وَرَآءَ ذَٰلِكَ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْعَادُونَ

Maksudnya: “Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela (6) Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas.

(Surah al-Mukminun: 6-7)

Namun, tidak ada halangan menggunakan minyak yang disebutkan untuk membantu suami dalam berhubungan intim dengan isterinya demi menjaga kehormatannya, dengan syarat minyak tersebut selamat digunakan dan tidak membahayakan penggunanya. (Lihat al-Fatawa al-Mu‘asirah fi Hayah al-Zaujiyyah, 1/253).[3]

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa tidak mengapa menggunakan atau menjadikan minyak zaitun sebagai minyak pelincir ketika hubungan intim suami isteri kerana zaitun dihukumkan sebagai suci dan bukannya najis. Sekalipun begitu, keharusan itu tertakluk dengan syarat ia tidak memberi mudarat kepada penggunanya seperti jangkitan kulat, jangkitan kuman atau seumpamanya. Jika ia mendatangkan mudarat maka tidak syak lagi penggunaannya sebagai pelincir hubungan kelamin adalah tidak dibenarkan dan diharamkan.

Meskipun begitu, kami menyarankan sebaik-baiknya dielakkan daripada menggunakannya/menjadikannya sebagai pelincir ketika hubungan kelamin. Ini adalah lebih baik kerana terdapat produk di pasaran yang sememangnya telah dikhususkan sebagai pelincir hubungan kelamin (terutamanya bagi mereka yang mengalami kekeringan faraj) yang lebih terjamin dari segi keberhasilannya dan keselamatannya untuk pengguna, melainkan produk minyak zaitun itu sendiri sudah dirumuskan khas bagi kegunaannya sedemikian.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Nota Hujung:

[1] Lihat artikel yang ditulis oleh Rr. Bamandhita Rahma Setiaji, serta sudah disemak secara perubatan oleh Dr. Tania Savitri, https://hellosehat.com/seks/tips-seks/pelumas-untuk-seks-minyak-zaitun/. Diakses pada 8 Ogos 2024.

[2] Lihat https://hellodoktor.com/seks-hubungan/petua-seks/pelincir-seks-ketika-bersetubuh/. Diakses pada 5 Ogos 2024.

[3] Lihat https://ketabonline.com/ar/books/15797/read?part=1&page=253&index=4333555. Diakses pada 5 Ogos 2024.

Leave a Reply