Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah dibolehkan untuk suami isteri mandi bersama sambil melihat aurat antara satu sama lain? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya seorang suami diharuskan untuk menikmati secara seksual setiap bahagian tubuh isterinya melainkan menyetubuhi isterinya pada dubur sebagaimana yang telah dinyatakan dalam al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, (4/84). Begitu juga diharuskan untuk bermain-main secara seksual antara suami dan isteri secara intim dan mesra, sebelum memulakan persetubuhan, dengan syarat selagi mana tidak membawa kepada kerosakan. Perkara ini berdalilkan firman Allah SWT:

نِسَاؤُكُمْ حَرْثٌ لَّكُمْ فَأْتُوا حَرْثَكُمْ أَنَّىٰ شِئْتُمْ

Maksudnya:Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai dan sediakanlah (amal-amal yang baik) untuk diri kamu.

(Surah al-Baqarah: 223)

Ayat di atas bermaksud, Isteri-isteri kamu adalah tempat kamu bercucuk tanam, melahirkan anak-anak untuk kamu; seperti tanah yang mengeluarkan buah-buahan. Maka datangilah tempat bercucuk tanam itu — iaitu faraj — dari mana-mana arah yang kamu suka dan bagaimana cara pun yang kamu suka asalkan di faraj. Dan sediakanlah untuk diri kamu dengan melakukan kebaikan, termasuklah seorang lelaki menggauli isterinya dengan niat mendekatkan diri kepada Allah dan berharap mendapatkan zuriat yang soleh. Bertakwalah kepada Allah dengan mematuhi perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya, termasuklah apa yang telah disyariatkan kepada kamu mengenai wanita. Ketahuilah bahawa kamu akan menemui-Nya pada hari kiamat, berdiri di hadapan-Nya, dan Dia akan membalas kamu berdasarkan amalan-amalan kamu. Dan berilah berita gembira — wahai Nabi — kepada orang-orang beriman dengan apa yang menggembirakan mereka ketika bertemu Tuhan mereka, iaitu nikmat yang kekal dan melihat wajah-Nya yang mulia. (Lihat al-Mukhtasar fi Tafsir al-Quran al-Karim, hlm. 35).

Dalam menjawab soalan ini, kami katakan bahawa dibolehkan bagi seorang isteri untuk melihat seluruh tubuh suaminya, begitu juga dibolehkan bagi seorang suami untuk melihat seluruh tubuh isterinya tanpa ada yang dikecualikan, tidak kira ketika melakukan hubungan intim, ketika mandi bersama atau seumpamanya, berdasarkan kepada firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ ‎إِلَّا عَلَىٰ أَزْوَاجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ فَمَنِ ابْتَغَىٰ وَرَاءَ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْعَادُونَ

Maksudnya:Dan mereka yang menjaga kehormatannya (5) kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela (6) Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas.”

(Surah al-Mukminun: 5-7)

Selain itu, terdapat riwayat daripada Aisyah R.Anha, beliau berkata:

كُنْتُ أَغْتَسِلُ أَنَا وَالنَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ إِنَاءٍ وَاحِدٍ، مِنْ قَدَحٍ يُقَالُ لَهُ الفَرَقُ

Maksudnya: “Aku mandi bersama Nabi SAW dengan menggunakan air daripada bekas yang sama, iaitu satu bekas yang dipanggil al-Faraq (3 gantang air, bersamaan kira-kira 8 liter).”

Riwayat al-Bukhari (250)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam al-Fath (1/364) menyatakan, al-Dawudi menjadikan hadith ini sebagai dalil bahawa dibolehkan bagi seorang lelaki untuk melihat aurat isterinya dan begitu juga sebaliknya. Ini ditegaskan oleh riwayat Ibn Hibban daripada jalur/jalan Sulaiman bin Musa bahawa dia pernah ditanya tentang lelaki melihat kemaluan isterinya, maka dia menjawab: “Aku bertanya kepada ‘Ata’, lalu dia menjawab: ‘Aku pernah bertanya mengenai perkara ini kepada Aisyah, kemudian beliau menyebutkan hadith ini dengan maknanya, dan ini adalah penjelasan nas dalam perkara/persoalan ini.

Selain itu, Ibn Qudamah al-Maqdisi turut menyebutkan, diharuskan bagi setiap suami isteri untuk melihat keseluruhan badan pasangannya, demikian juga menyentuhnya, termasuklah juga faraj. Ini kerana faraj dihalalkan kepada suami untuk berseronok dengannya, maka harus melihat dan menyentuhnya sama seperti harus melihat dan menyentuh keseluruhan badan. (Lihat al-Mughni, 7/77).

Begitu juga Ibn Hazm al-Andalusi turut menyatakan, halal bagi suami untuk melihat faraj isterinya dan hamba sahayanya yang dihalalkan untuknya bersetubuh dengan mereka. Demikian juga mereka berdua (isteri dan hamba sahaya) adalah halal untuk melihat kepada kemaluan suami dan tuannya. Tidak ada asal hukum makruh dalam perkara ini. Buktinya, hadith yang masyhur dari jalan Aisyah, Ummu Salamah dan Maimunah yang merupakan Ummul Mukminin, di mana mereka pernah mandi bersama Rasulullah SAW disebabkan janabah dari bekas yang sama.

Termasuk dalam perkara yang menghairankan sebahagian mukallaf daripada kalangan orang-orang jahil, di mana mereka mengharuskan persetubuhan faraj akan tetapi mereka melarang melihatnya. Memadailah dengan firman Allah ‘Azza wa Jalla:

وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ ‎إِلَّا عَلَىٰ أَزْوَاجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ

Maksudnya:Dan mereka yang menjaga kehormatannya (5) kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela.”

(Surah al-Mukminun: 5-6)

(Dalam ayat ini) Allah ‘Azza wa Jalla memerintahkan untuk menjaga kemaluan melainkan terhadap isteri dan hamba sahaya, dan tidak ada keaiban dalam perkara tersebut. Ia adalah bersifat umum termasuk melihat, menyentuhnya dan mencampurinya (bersetubuh). Kami tidak mengetahui adanya bukti bagi mereka yang berpegang dengan pendapat yang berbeza dengan kami melainkan satu athar yang tidak ada nilainya diriwayatkan daripada seorang perempuan yang tidak dikenali yang kononnya diriwayatkan daripada Ummul Mukminin (isteri Nabi):

مَا رَأَيْتُ فَرْجَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَطُّ

Maksudnya: “Tidak pernah aku melihat kemaluan Rasulullah SAW sama sekali.” (Lihat al-Muhalla, 10/33).

Riwayat yang dibawakan oleh Ibn Hazm di atas yang menjadi dalil bagi mereka yang menyelisihi pendapatnya dinilai sebagai lemah (dha‘if) kerana di dalam sanadnya terdapat perawi yang tidak dikenali. Ini adalah sebagaimana yang disebutkan oleh Ibn Rejab dalam Fath al-Bari (1/336) dan al-Busiri dalam Misbah al-Zujajah (2/95).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, kami tegaskan sekali lagi bahawa tidak mengapa dan tidak menjadi masalah bagi suami isteri untuk mandi bersama sambil melihat aurat antara satu sama lain. Bahkan digalakkan bagi suami isteri untuk mandi bersama jika dengan cara itu akan menambahkan lagi kemesraan dan kasih sayang antara mereka, suami isteri.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Leave a Reply