Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum seseorang yang berwuduk sedangkan dia telah memakai minyak kepala di rambut?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ ۚ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.”

(Surah al-Ma’idah: 6)

Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff menyebutkan bahawa rukun wuduk ada enam. Empat daripadanya adalah berdasarkan ayat al-Quran iaitu membasuh muka, membasuh kedua tangan, menyapu sebahagian kepala dan membasuh kedua kaki. Manakala dua yang berbaki adalah berdasarkan sunnah iaitu niat dan tertib. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 82)

Menurut fuqaha’ al-Syafi‘iyyah, sebahagian kepala atau sebahagian rambut termasuk dalam anggota wuduk yang difardukan. Sebahagian rambut yang perlu disapu tersebut disyaratkan dengan kadar had kepanjangan yang tidak melebihi bahagian kepala, yakni perlu menyapu bahagian rambut yang berdekatan dengan kulit kepala. Ini kerana, perintah Allah SWT adalah untuk membasuh sebahagian kepala, dan apabila rambut tersebut terlalu panjang sehingga terkeluar dari kawasan kepala, maka kefarduan wuduk itu masih belum disempurnakan. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/176)

Imam al-Syafi‘i juga menyebutkan, munasabah ayat ke-6 dari Surah al-Ma’idah di atas, bahawa menyapu sebahagian kepala juga dikira telah menyapu kepala, ayat ini tidak menunjukkan  selain dari itu, dan inilah maksud yang paling jelas. Terdapat hadith yang menjadi sandaran bahawa tidak wajib ke atas seseorang itu menyapu keseluruhan bahagian kepalanya, maka sekiranya dia menyapu sebahagian kepala sahaja, wuduknya sah. Diriwayatkan daripada Yahya bin Hassan, daripada Hammad bin Zaid dan Ibn ‘Ulayyah, daripada Ayyub, daripada Muhammad bin Sirin, daripada ‘Amr bin Wahb al-Thaqafi, daripada al-Mughirah bin Syu‘bah, bahawa Rasulullah SAW berwuduk lalu menyapu bahagian ubun-ubun dan menyapu di atas serban serta khuf Baginda. (Lihat al-Umm, 1/41)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan sekiranya minyak kelapa itu menghalang air daripada terkena air di rambut, maka tidak sah wuduknya kerana dia telah meninggalkan salah satu dari anggota wuduk yang wajib, iaitu sebahagian kepala menurut Mazhab al-Syafi‘i. Akan tetapi, sekiranya minyak kelapa itu meresap ke dalam rambut, maka sah wuduknya kerana minyak itu tidak menghalang air wuduk untuk kena pada rambut. Kami berpendapat yang terakhir ini, iaitu tidak batal wuduk.

Beginilah serba ringkas yang dapat kami jelaskan kepada saudara. Semoga kita beroleh manfaat dari perbincangan ini, kami akhiri dengan doa:

اللّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ

Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefaqihan dalam agama dan ilmu dalam tafsir dan takwil al-Quran.”

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply