Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah hukum wanita bertakbir selepas selesai solat pada hari-hari tasyriq ?Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Maksudnya: “Dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.”

(Surah al-Baqarah: 185)

Firman Allah SWT lagi:

 وَرَبَّكَ فَكَبِّرْ

Maksudnya: “Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaranNya!”

(Surah al-Muddatthir: 3)

Maksudnya, hendaklah kamu agungkan Tuhanmu dan disebut dengan kalimah Allahu Akbar (اللهُ أًكْبَرُ). Diriwayatkan juga bahawa tatkala turunnya ayat ini Rasulullah SAW terus menyeru “Allahu Akbar!” (اللهُ أًكْبَرُ). Maka Saidatina Khadijah R.Anha juga bertakbir dan dia amat sukacita dan yakin bahawa itu merupakan satu wahyu. (Lihat Kitab al-Inayah ‘ala al-Hidayah, 1/239)

Takbir hari raya terbahagi kepada dua jenis iaitu; Takbir Mursal dan Takbir Muqayyad.

Takbir Mursal: Ia juga disebut sebagai Takbir Mutlak, kerana perlaksanaannya tidak terikat dengan waktu-waktu solat. Justeru, disunatkan untuk bertakbir sepanjang masa, dan ia terdapat pada Aidilfitri dan Aidiladha. Waktunya adalah bermula daripada tenggelam matahari pada malam hari raya sehingga takbiratul ihram Solat Hari Raya.

Takbir Muqayyad: Pelaksanaan takbir ini terikat selepas solat, tidak kira solat fardhu ataupun sunat, solat dalam waktunya (أداءً) ataupun solat qadha’ sekalipun solat jenazah, dan ia hanya terdapat pada Aidiladha. Waktunya pula dibezakan antara orang yang mengerjakan haji dengan orang yang tidak mengerjakan haji.

Daripada Ali dan Ammar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW:

كَانَ يُكَبِّرُ مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ صَلَاةَ الْغَدَاةِ وَيَقْطَعُهَا صَلَاةَ الْعَصْرِ آخِرَ أَيَّامِ التَّشْرِيقِ

Maksudnya: “Baginda SAW sentiasa bertakbir pada Hari Arafah selepas solat al-Ghadah (Subuh) dan menghentikan selepas solat Asar hari terakhir bagi Hari-Hari Tasyriq.”

Riwayat al-Hakim ( 1111) dengan sanad yang sahih.

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa para ulama berbeza pendapat tentang disyariatkan bertakbir bagi kaum wanita selepas solat pada hari-hari yang disunatkan untuk bertakbir (bermula dari subuh hari Arafah sehingga akhir hari-hari Tasyriq). Majoriti ulama berpandangan bahawa ia disyariatkan.

Hal ini sebagaimana yang telah dinukilkan oleh Ibn Munzir bahawa: Para ulama berbeza pendapat tentang bertakbir bagi wanita pada hari-hari Tasyriq. Terdapat satu golongan yang mengatakan: “Wanita tidak perlu bertakbir pada hari-hari Tasyriq.” Ini juga pendapat Hasan al-Basri. Sufyan al-Thauri pula berkata: “Wanita tidak perlu bertakbir pada hari-hari Tasyriq kecuali dalam solat berjemaah, dan Ahmad bersetuju dengan pendapat al-Thauri. Al-Nu‘man berkata: “Wanita yang solat berjemaah tanpa kehadiran lelaki tidak perlu bertakbir.”

Namun, terdapat golongan lain yang mengatakan: Wanita disyariatkan untuk bertakbir pada hari-hari Tasyriq, dan ini adalah pendapat Malik, al-Syafi‘i, Abu Thaur, Abu Yusuf, dan Muhammad. Al-Nakha‘ie pula menyukai agar wanita bertakbir selepas solat pada hari-hari Tasyriq.

Kami juga meriwayatkan daripada Hasan al-Basri pendapat yang bertentangan dengan riwayat pertama, iaitu bahawa takbir pada hari-hari Tasyriq disyariatkan juga ke atas wanita dan lelaki, baik yang berada di tempat awam mahupun di pedalaman, dan pendapat ini dipegang oleh al-Thauri. (Lihat al-Ausat min al-Sunan wa al-Ijma’ wa al-Ikhtilaf, 4/353)

Justeru, kami lebih cenderung kepada pandangan yang dipegang oleh majoriti fuqaha’ bahawa disyariatkan bagi wanita untuk bertakbir selepas solat (takbir muqayyad) pada hari-hari yang disunatkan untuk bertakbir seperti hari-hari tasyriq. Ini kerana ia merupakan amalan yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW yang juga merupakan syiar islam.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَعِنِّي عَلَى ذِكْرِكَ، وَشُكْرِكَ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah aku untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”

Wallahua’lam

Leave a Reply