Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, benarkah islam menghapuskan dosa-dosa hambanya yang lalu sebelum memeluk islam ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
إِنَّكَ لَا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَـٰكِنَّ اللَّـهَ يَهْدِي مَن يَشَاءُ ۚ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ
Maksudnya: “Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam).”
(Surah al-Qasas: 56)
Ibn Kathir berkata: “Allah SWT berfirman kepada Rasul-Nya SAW: “Sesungguhnya engkau tidak berkuasa memberikan hidayah kepada orang yang engkau cintai”, maksudnya itu bukan urusanmu. Tetapi, kewajibanmu hanya menyampaikan dan Allah akan memberi hidayah (petunjuk) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 10/473)
Dalam menjawab persoalan tersebut, kami menyatakan bahawa sesiapa yang menerima hidayah dan memeluk Islam diumpamakan seperti bayi yang baru dilahirkan dalam keadaan fitrah yang suci daripada dosa. Ini bermaksud apabila seseorang itu mengucapkan dua kalimah syahadah dan memeluk Islam, semua dosa yang lalu diampunkan oleh Allah SWT. Ini menunjukkan betapa luasnya rahmat dan keampunan Allah SWT bagi mereka yang memeluk agama Islam.
Yang demikian sebagaimana yang dinyatakan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan ‘Amru bin al-‘As bahawa beliau berkata:
لَمَّا جَعَلَ اللهُ الْإِسْلَامَ فِي قَلْبِي أَتَيْتُ النَّبِيَّ – صلى الله عليه وسلم – فَقُلْتُ: ابْسُطْ يَمِينَكَ فَلْأُبَايِعْكَ , ” فَبَسَطَ رَسُولُ اللهِ – صلى الله عليه وسلم – يَمِينَهُ ” , فَقَبَضْتُ يَدِي فَقَالَ: ” مَا لَكَ يَا عَمْرُو؟ ” , فَقُلْتُ: أَرَدْتُ أَنْ أَشْتَرِطَ , قَالَ: ” تَشْتَرِطُ بِمَاذَا؟ ” , قُلْتُ: أَنْ يُغْفَرَ لِي , قَالَ: ” أَمَا عَلِمْتَ أَنَّ الْإِسْلَامَ يَهْدِمُ مَا كَانَ قَبْلَهُ؟ , وَأَنَّ الْهِجْرَةَ تَهْدِمُ مَا كَانَ قَبْلِهَا؟ , وَأَنَّ الْحَجَّ يَهْدِمُ مَا كَانَ قَبْلَهُ؟
Maksudnya: “Ketika Allah memasukkan Islam ke dalam hatiku, aku datang kepada Nabi SAW dan berkata: Hulurkan tangan kananmu agar aku dapat berbai‘ah denganmu. Maka Rasulullah SAW menghulurkan tangan kanannya, lalu aku menarik kembali tanganku. Baginda bertanya: Apa yang terjadi padamu, wahai Amru? Aku menjawab: Aku ingin menetapkan syarat. Baginda bertanya: Syarat apa yang ingin kamu tetapkan? Aku berkata: Agar aku diampuni. Baginda berkata: Tidakkah kamu tahu bahawa Islam menghapuskan segala dosa sebelumnya, dan bahawa hijrah menghapuskan segala dosa sebelumnya, dan bahawa haji menghapuskan segala dosa sebelumnya?”
Riwayat Muslim (121)
Imam al-Nawawi menyatakan: “Islam menghapuskan segala dosa sebelumnya” iaitu menghapuskan dan menghilangkan kesannya. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘Ala Muslim, 2/138)
Dinyatakan juga dalam Taisir bi Syarh al-Jami’ al-Saghir (1/230) menyatakan: Sesungguhnya Islam menghapuskan apa yang dilakukan sebelumnya daripada kekufuran dan maksiat, iaitu menghapuskan dan menghilangkan kesannya.
Justeru, berdasarkan hadith dan penerangan di atas jelaslah kepada kita bahawa seseorang yang memeluk Islam akan diampuni segala dosa-dosa yang dilakukannya sebelum memeluk agama ini. Ini memberi peluang kepada seseorang untuk memulakan kehidupan baru yang lebih bermakana dan mendorong mereka dalam memperbaiki diri dengan amalan-amalan yang baik dan bermanfaat.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اهْدِنَا فِيمَنْ هَدَيْتَ ، وَعَافِنَا فِيمَنْ عَافَيْتَ ، وَتَوَلَّنَا فِيمَنْ تَوَلَّيْتَ ، وَبَارِكْ لَنَا فِيمَا أَعْطَيْتَ ، وَقِنَا شَرَّ مَا قَضَيْتَ
Maksudnya: “Ya Allah berikanlah petunjuk kepadaku sebagaimana mereka yang telah Engkau beri petunjuk, Dan berilah kesihatan kepadaku sebagaimana mereka yang Engkau telah berikan kesihatan, Dan peliharalah daku sebagaimana orang yang telah Engkau peliharakan, Dan berilah keberkatan bagiku pada apa-apa yang telah Engkau kurniakan, Dan selamatkan aku dengan rahmat-Mu dari bahaya kejahatan yang telah Engkau tentukan.”
Wallahu A’lam