Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah hukum menjual bahan plastik atau PVC dengan kemungkinan ia menyebabkan kanser? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا
Maksudnya: “Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.”
(Surah al-Baqarah: 29)
Syeikh al–Sa‘di ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan bahawa: Dia menciptakan untuk kamu, segala yang ada di bumi, sebagai kebaikan dan rahmat bagi kamu untuk dimanfaatkan, dinikmati, dan diambil pengajaran. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm 48)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa sesuatu barang diharuskan untuk dijual selagimana ia membawa manfaat kepada manusia dan tidak mengandungi perkara-perkara yang membawa kepada keharaman. Terdapat sebuah kaedah yang menyebutkan:
الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ
Maksudnya: “Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).
Namun sekiranya, sesuatu barang yang ingin dijual itu terdapat padanya mudarat apabila digunakan maka, ia tidak boleh dijual. Ini kerana Allah SWT berfirman:
وَلَا تَقْتُلُوا أَنْفُسَكُمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا
Maksudnya: “Jangan kamu membunuh diri kamu, sesungguhnya ALLAH Maha Pengasih kepada kamu).
(Surah al-Nisa:29)
Ini membuktikan bahawa sebab yang boleh membawa kepada kemudharatan juga termasuk dalam larangan ini. Apa sahaja yang memudharatkan diri, maka kita dilarang melakukannya. (Lihat Tafsir al-Quran al-Karim, 2/389)
Berkaitan dengan isu ini Syeikh al-Amin al-Syanqiti berkata: “Ada tiga keadaan bagi sesuatu benda:
- Sama ada ia mengandungi mudarat semata-mata tanpa sebarang manfaat, seperti tumbuhan beracun yang membunuh.
- Atau ia mengandungi manfaat semata-mata tanpa sebarang mudarat.
- Atau ia mengandungi manfaat dari satu sudut dan mudarat dari sudut lain. Jika ia hanya mengandungi mudarat tanpa sebarang manfaat, atau jika mudaratnya setara dengan manfaatnya, maka ia haram berdasarkan sabda Nabi:
لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ
Maksudnya: “Tidak boleh mudarat dan tidak boleh memudaratkan.”
Riwayat Ibn Majah (2341)
Namun, jika terdapat hanya manfaatnya tanpa mudarat, atau mudaratnya ringan dan manfaatnya lebih besar, maka pendapat yang paling jelas adalah ia dibolehkan. (Lihat Muzakirah Usul Fiqh, hlm24)
Justeru, kami katakan plastik atau PVC sememangnya terdapat unsur yang memberi kesan terhadap kesihatan. Namun, kemudaratan tersebut tidaklah secara langsung dan biasanya hanya muncul selepas penggunaan dalam jangka masa panjang. Oleh yang demikian, dibolehkan untuk menjual produk-produk ini, kecuali jika terbukti bahawa ia mengandungi mudarat yang besar dan boleh mengancam nyawa. Dalam hal ini, perlu ada bukti yang jelas dan kukuh mengenai mudarat yang serius sebelum mengambil apa-apa tindakan.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Wallahua‘lam