Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, Saya ingin bertanya soalan. Saya ingin membesarkan rumah yang ada sekarang. rumah di kawasan taman perumahan. Binaan rumah masih dalam kawasan tanah saya, tetapi bumbung keluar dari pagar yang merupakan sempadan tanah dan luar pagar tu adalah longkang. Boleh atau tidak begitu? Apakah hukumnya?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:
Kami mulakan dengan hadith Rasulullah SAW menerusi hadith ‘Abdullah bin ‘Umar RAnhuma bahawa baginda bersabda:
مَنْ أَخَذَ مِنَ الأَرْضِ شَيْئًا بِغَيْرِ حَقِّهِ خُسِفَ لَهُ بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِلَى سَبْعِ أَرَضِيْنَ
Maksudnya: “Sesiapa yang mengambil tanah yang bukan hak miliknya, maka dia akan dibenamkan ke dalam bumi ketujuh kelak pada hari kiamat.”
Riwayat al-Bukhari (2454)
Imam al-Nawawi menyebutkan, di dalam hadith ini terdapat larangan berbuat zalim, dan pengharaman merampas secara zalim dan kecaman terhadap betapa beratnya azab seksa akibat perbuatan ini. Hadith ini juga menyokong kewujudan aktiviti jenayah merampas tanah hak milik orang lain, inilah mazhab kita dan mazhab majoriti ulama.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 11/50)
Begitu juga Imam al-San‘ani ketika mensyarahkan hadith di atas ini menyatakan, [Sabda Nabi: Sesiapa yang mengambil tanah yang bukan hak miliknya] iaitu tanpa pemilikan hak milik yang diiktiraf oleh syarak [dia akan dibenamkan] iaitu akan dijatuhkan ke dalam bahagian yang paling terbawah sekali, seperti di bawah tanah yang dia rampas secara zalim itu; seakan-akan hendak dikatakan kepadanya: “Kamu telah memanfaatkannya di dunia, maka kamu tidak akan dapat memisahkannya daripada kamu selepas mati, malah kamu akan berada di dalam perut bumi [pada hari kiamat hingga ke tujuh lapisan bumi]. (Lihat al-Tanwir Syarh al-Jami‘ al-Saghir, 10/57).
Berhubung dengan soalan di atas, kami tegaskan bahawa dilarang membina bumbung yang mengunjur keluar dari pagar yang merupakan sempadan tanah. Kita hanya dibolehkan untuk membina dan meletakkan apa sahaja secara bebas di dalam tanah milik kita sahaja, adapun apabila melibatkan sejengkal atau seinci pun tanah milik orang lain atau tanah yang bukan hak milik peribadi kita, maka ia tidak dibolehkan.
Imam Ibn Hajar al-Haitami memfatwakan, (tidak dibolehkan untuk membuat) yakni mengeluarkan/mengunjurkan (padanya sebarang atap/bumbung yang memayungi) iaitu: rausyan, ia dinamakan dengan perkataan ini kerana ia menyerupai sayap burung (dan tidak boleh juga sabat) iaitu pondok kayu kecil antara dua dinding [di jalan awam] (yang memudaratkan mereka, iaitu kejiranan]. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 5/198)
Imam ‘Ali al-Syabramallisi menerangkan maksud rausyan:
وَالْمُرَادُ بِهِ هُنَا مَا يَبْنِيهِ صَاحِبُ الْجِدَارِ فِي الشَّارِعِ وَلَا يَصِلُ بِهِ إلَى الْجِدَارِ الْمُقَابِلِ لَهُ سَوَاءٌ كَانَ مِنْ خَشَبٍ أَوْ حَجَرٍ
Maksudnya: “Yang dimaksudkan dengannya adalah segala apa yang dibina oleh pemilik dinding rumah menghala ke arah jalan, namun tidak bersambung dinding yang bertentangan dengannya; sama ada ia diperbuat daripada kayu atau batu.” (Lihat Hasyiah al-Syabramallisi ‘ala Nihayah al-Muhtaj, 4/392)
Gambar: Rausyan yang dibina di dinding rumah Arab. (Pautan Gambar: https://www.independentarabia.com/node/496156/%D9%85%D9%86%D9%88%D8%B9%D8%A7%D8%AA/%D9%85%D9%86-%D8%A7%D9%84%D8%B9%D9%85%D8%A7%D8%B1%D8%A9-%D8%A5%D9%84%D9%89-%D8%A7%D9%84%D8%B1%D9%8A%D8%A7%D8%B6%D8%A9-%D8%A7%D9%84%D8%B1%D9%88%D8%B4%D9%86-%D8%A8%D8%B5%D9%85%D8%A9-%D8%AA%D8%B1%D8%A7%D8%AB%D9%8A%D8%A9).
Berdasarkan nas Imam Ibn Hajar al-Haitami di atas, kita dapat mengetahui bahawa hukum binaan di atas langit atau yang berada di atas/ruangan udara yang bersifat hawa’i (هَوَاءِيُّ); seperti atap, adalah sama sahaja dengan hukum sebarang binaan di atas tanah.
Hal ini seiring dengan Prinsip Am Common Law yang diserap dalam pengamalan dan interpretasi Kanun Tanah Negara di Semenanjung Malaysia yang menetapkan bahawa sesiapa yang memiliki permukaan bumi juga memiliki ruang udara di atas permukaannya dan segala sesuatu di bawah permukaan bumi itu hingga ke bawah pusat bumi – atau ungkapan Latin: “cujus est solum ejus est usque ad coelum et ad inferos” (the person who owns land owns it from the heavens above to the centre of the earth below).
Kesimpulannya, tidak boleh untuk meletakkan sebarang bumbung yang mengunjur ke luar selain daripada kawasan tanah yang kita miliki. Hukumnya adalah haram dan berdosa, bahkan termasuk dalam perbuatan merampas tanah milik orang lain iaitu Ghasb al-Ardh (غًصْبُ الْأَرْضِ) yang merupakan salah satu dosa besar. Pemerintah boleh mengarahkan untuk merobohkan sebarang unjuran tersebut.
Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إنِّي أسألُكَ الهُدَى والتُّقَى والعَفَافَ وَالغِنَى
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon dari-Mu; petunjuk, ketakwaan, sifat menjaga diri daripada sebarang kehinaan, dan sifat tidak memerlukan selain-Mu.”
Wallahu a‘lam.