Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, apakah hukum mendoakan supaya Allah ambil nyawa seseorang demi kebaikannya?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:
Persoalan di atas telah dijawab oleh Rasulullah SAW menerusi sabdaan baginda yang mulia menerusi hadith Anas bin Malik RA bahawa baginda bersabda:
لَا يَتَمَنَّيَنَّ أَحَدُكُمُ الْمَوْتَ لِضُرٍّ نَزَلَ بِهِ، فَإِنْ كَانَ لَا بُدَّ مُتَمَنِّيًا فَلْيَقُلْ: اللهُمَّ أَحْيِنِي مَا كَانَتِ الْحَيَاةُ خَيْرًا لِي، وَتَوَفَّنِي إِذَا كَانَتِ الْوَفَاةُ خَيْرًا لِي
Maksudnya: “Janganlah kalian mengharapkan kematian semata-mata kerana ada bahaya yang menimpa. Jika terpaksa mengharapkannya (kerana terlalu putus asa) maka ucapkanlah doa: ‘Ya Allah, hidupkanlah aku selama mana kehidupan itu baik untukku. Dan matikanlah aku sekiranya kematian itu baik untukku.’”
Riwayat al-Bukhari (6351) dan Muslim (2680)
Dalam riwayat yang lain, Rasulullah SAW berdoa dengan lafaz:
أَحْيِنِي مَا عَلِمْتَ الْحَيَاةَ خَيْرًا لِي، وَتَوَفَّنِي إِذَا كَانَتِ الْوَفَاةُ خَيْرًا لِي
Maksudnya: “(Ya Allah!) Hidupkanlah aku apabila Engkau mengetahui bahawa kehidupan itu baik untukku, dan matikanlah aku sekiranya kematian itu lebih baik buatku.”
Riwayat al-Nasa’i (1305) dan Ahmad (18351)
Kita dilarang untuk mengharapkan kematian semata-mata kerana kesusahan dahsyat yang menimpa kita. Larangan ini bersifat makruh.
Imam Ibn Raslan berkata: “Imam al-Nawawi berkata: ‘Pada hadith ini jelas menyatakan kemakruhan mengharapkan kematian semata-mata kerana ada kemudaratan yang menimpa seperti sakit, kefakiran, ujian yang berat, atau penguasaan pihak musuh dan yang semisal dengannya berupa segala kesukaran duniawi.’” (Lihat Syarh Sunan Abi Daud, 13/307)
Namun jika terpaksa kerana sudah terlalu sukar, seakan tiada jalan keluar, maka kita dituntut membaca doa ini menyerahkan ketentuan kepada Allah tentang urusan hidup dan mati. Ini merupakan doa kebaikan kerana ia diajarkan oleh Rasulullah SAW.
Kita hanya dibenarkan untuk memohon kematian secara langsung apabila takut diri terjebak ke dalam dosa, fitnah agama dan kelemahan dalam melaksanakan arahan Allah.
Imam Ibn al-Mulaqqin berkata: “Ada keadaan yang dibolehkan untuk memohon kematian (untuk diri sendiri); iaitu takutkan fitnah yang menyebabkan kerosakan agama seseorang. Rasulullah SAW pernah berdoa: “Jika ada kaum yang menghendaki untuk merosakkan agamaku, maka cabutlah nyawaku dalam keadaan selamat daripada fitnah mereka itu.” Bentuk lain yang dibenarkan: ialah apabila seorang Mukmin takut lemah dan tidak mampu untuk melaksanakan beban tanggungjawab yang Allah letakkan pada dirinya sepertimana perbuatan Saidina ‘Umar bin al-Khattab RA.” (Lihat al-Taudhih li Syarh al-Jami‘ al-Sahih, 2/282)
Mendoakan kematian diri sendiri secara langsung adalah tidak dibolehkan, melainkan dengan sebab yang dijelaskan di atas. Jika dengan sebab takutkan fitnah pada agama, maka kita boleh mendoakan kematian diri sendiri sahaja. Manakala hukum mendoakan kematian kepada orang lain, tidak dibolehkan untuk mendoakan kematian orang lain, walaupun dengan sebab takut fitnah atau ujian ke atas pengamalan agamanya; bahkan larangannya adalah lebih tegas dan jelas. Hal ini kerana, ia melibatkan nyawa orang lain bukan nyawa kita sendiri. Hanya dirinya yang boleh mendoakan sedemikian rupa.
Tidak dibenarkan untuk mendoakan kematian orang lain secara langsung atau mendoakan kematiannya secara jelas. Yang dibenarkan adalah mendoakan kehidupannya, jika hidup itu baik. Begitu juga sebaliknya, mendoakan kematiannya, sekiranya kematian itu baik di sisi Allah SWT.
Walaupun begitu, kami kemukakan doa seorang ulama’ tabi’in yang masyhur. Sa’id bin Jubair Rahimahullah tatkala beliau hendak dibunuh oleh Hajjaj bin Yusuf al-Thaqafi, beliau mengangkat kedua tangannya sambil berdoa:
اللَّهُمَّ لاَ تُسَلِّطْهُ عَلَى أَحَدٍ يَقْتُلُهُ بَعْدِي
Maksudnya: “Ya Allah, jangan kamu kuasakannya untuk membunuh seorang pun selepasku.” (Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 4/332)
Tidak lebih dari lima belas hari setelah wafatnya Sa’id bin Jubair, secara mendadak al-Hajjaj ditimpa demam. Semakin hari, suhu tubuhnya makin meningkat dan bertambah parah rasa sakitnya hingga keadaannya silih berganti antara pengsan dan siuman. Tidurnya tidak nyenyak lagi, sekejap-sekejap terbangun dengan ketakutan dan mengigau; “Ini Sa’id bin Jubair hendak menerkamku! Ini Sa’id bin Jubair berkata; “Mengapa engkau membunuhku?”. Dia menangis tersedu-sedu menyesali diri; “Apa yang telah aku perbuat atas Sa’id bin Jubair? Kembalikan Sa’id bin Jubair kepadaku!”. Keadaan itu terus berlanjutan hingga dia meninggal. Setelah kematian Hajjaj, seorang kawannya pernah bermimpikannya. Dalam mimpinya itu dia bertanya kepada Hajjaj; “Apa yang Allah SWT perbuat terhadapmu setelah membunuh orang-orang itu, wahai Hajjaj?”. Dia menjawab; “Aku diseksa dengan seksaan yang setimpal atas setiap orang tersebut, tapi untuk kematian Sa’id bin Jubair aku diseksa 70 kali ganda”. (Lihat Suwarun min Hayat al-Tabi’in oleh Abdul Rahman Ra’fat Basya, hlm. 174-176. Lihat juga al-Tabaqat oleh Ibn Sa’d, 6/178 dan Tahzib al-Tahzib oleh Ibn Hajar, 4/11) Untuk pengetahuan, Sa’id bin Jubair meninggal dunia dalam usia 51 tahun, iaitu pada tahun 95 Hijrah.
Kita hanya dibenarkan untuk mendoakan dengan cara yang sama menurut doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW untuk kebaikan dirinya, caranya adalah dan mengubah kata ganti nama diri pertama di dalam doa ini kepada orang yang ketiga (orang lain), seperti:
اللَّهُمَّ أَحْيِهُ مَا كَانَتِ الْحَيَاةُ خَيْرًا لَهُ، وَتَوَفَّهُ إِذَا عَلِمْتَ الْوَفَاةَ خَيْرًا لَهُ
Maksudnya: “Ya Allah! Hidupkanlah dia, sekiranya kehidupan itu baik untuknya. Dan engkau wafatkanlah dia, apabila Engkau tahu bahawa kematian itu lebih baik buat dirinya.”
Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ بِعِلْمِكَ الْغَيْبَ، وَقُدْرَتِكَ عَلَى الْخَلْقِ، أَحْيِنِي مَا عَلِمْتَ الْحَيَاةَ خَيْرًا لِي، وَتَوَفَّنِي إِذَا عَلِمْتَ الْوَفَاةَ خَيْرًا لِي، وَأَسْأَلُكَ خَشْيَتَكَ فِي الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، وَكَلِمَةَ الْإِخْلَاصِ فِي الرِّضَا وَالْغَضَبِ، وَأَسْأَلُكَ نَعِيمًا لَا يَنْفَدُ، وَقُرَّةَ عَيْنٍ لَا تَنْقَطِعُ، وَأَسْأَلُكَ الرِّضَاءَ بِالْقَضَاءِ، وَبَرْدَ الْعَيْشِ بَعْدَ الْمَوْتِ، وَلَذَّةَ النَّظَرِ إِلَى وَجْهِكَ، وَالشَّوْقَ إِلَى لِقَائِكَ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ ضَرَّاءَ مُضِرَّةٍ، وَفِتْنَةٍ مُضِلَّةٍ، اللَّهُمَّ زَيِّنَّا بِزِينَةِ الْإِيمَانِ، وَاجْعَلْنَا هُدَاةً مُهْتَدِينَ
Maksudnya: “Ya Allah! Dengan ilmu-Mu terhadap perkara ghaib, kekuasaan-Mu atas sekalian makhluk, hidupkanlah aku apabila kehidupan itu baik buatku. Dan matikanlah aku apabila kematian itu baik buat diriku. Aku memohon sifat takutkan-Mu ketika tidak dilihat dan ketika dilihat orang ramai, dan kalimat keikhlasan ketika redha dan marah. Aku memohon kenikmatan yang tidak terhapus, penyejuk mata yang tidak terputus. Aku mohon kepada-Mu sifat redha dengan ketentuan, ketenangan hidup selepas mati, kelazatan memandang Wajah-Mu, kerinduan untuk bertemu dengan-Mu. Dan aku berlindung kepada-Mu daripada segenap bahaya yang memudharatkan, jua fitnah yang menyesatkan. Ya Allah, hiasilah kami dengan perhiasan keimanan, dan jadikanlah kami mendapat petunjuk dan diberi petunjuk sentiasa.”
Wallahu a‘lam.