Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, apakah hukum kita berubat dengan menanam gambar kita dengan bekas kekasih kita supaya kita tidak lagi berhubungan dengannya kerana dia banyak menyakitkan hati kita dan berlaku curang?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:
Mengenai persoalan di atas, kami harus tekankan beberapa perkara:
Anjuran Berubat
Islam amat menitikberatkan soal berubat dan mendapatkan rawatan apabila seseorang ditimpa apa jua sakit. Setiap penyakit pasti ada ubatnya, jika betul ubatnya maka pasti Allah mengizinkan untuk sembuh. Jabir bin Abdullah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لِكُلِّ داءٍ دَواءٌ، فإذا أُصِيبَ دَواءُ الدّاءِ بَرَأَ بإذْنِ اللهِ عزَّ وجلَّ
Maksudnya: “Setiap penyakit pasti ada ubatnya. Apabila betul ubatnya dengan sesuatu penyakit itu, maka sembuhlah dengan izin Allah ‘Azza wa Jalla.”
Riwayat Muslim (2204)
Rasulullah mengarahkan agar mendapatkan rawatan dan ubat bagi setiap penyakit yang menimpa. Setiap penyakit boleh diubati kecuali sakit tua. Usamah bin Syarik R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
تَدَاوَوْا فَإِنَّ اللَّهَ لَمْ يَضَعْ دَاءً إلَّا وَضَعَ لَهُ دَوَاءً غَيْرَ الْهَرَمِ
Maksudnya: “Hendaklah kamu berubat (merawat penyakit) kerana sesungguhnya Allah tidak menjadikan suatu penyakit melainkan Dia turut menyediakan ubat baginya, melainkan penyakit penuaan sahaja.”
Riwayat Abu Daud (3855), al-Tirmizi (3038) dan Ibn Majah (3436)
Berubat dan merawat penyakit adalah sunat hukumnya, terutamanya di sisi mazhab al-Syafi‘i. Imam al-Nawawi berkata: “Hadith di atas ini mengisyaratkan kepada kita bahawa merawat penyakit adalah sunat. Inilah mazhab para ashab kita yang bermazhab al-Syafi‘i, begitu juga kebanyakan ulama Salaf dan Khalaf. Al-Qadhi ‘Iyadh mengatakan: Di dalam hadith ini terdapat beberapa faedah duniawi antaranya: keabsahan autoriti ilmu perubatan, dan keharusan untuk berubat secara mutlak.” (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 14/359)
Berubat dengan ahli perubatan sama ada moden atau tradisional adalah diharuskan selagi tidak menceburkan diri dengan perkara haram. Ia amat disyorkan di sisi syarak.
Berhubung dengan kemusykilan di atas, ingin kami tegaskan beberapa perkara:
- Perpisahan dengan pasangan secara asalnya bukanlah sebuah penyakit. Ia merupakan ujian dalam kehidupan yang dihadapi dan dirawat dengan sabar dan redha dengan ketentuan Ilahi.
- Prinsip utama dalam berubat dan Ruqyah adalah menghindari syirik dan sebarang mudharat.
Perkara ini jelas dinyatakan oleh Rasulullah SAW menerusi sabdaan baginda yang mulia:
اعْرِضُوا عَلَيَّ رُقَاكُمْ، لَا بَأْسَ بِالرُّقَى مَا لَمْ يَكُنْ فِيهِ شِرْكٌ
Maksudnya: “Tunjukkan kepadaku jampi-jampi rawatan kalian. Tidak ada masalah dengan apa-apa jampi/rawatan selagi tiada sebarang unsur syirik.”
Riwayat Muslim (2200)
Syeikh Muhammad al-Amin al-Harari berkata: “Ini merupakan dalil utama yang diamalkan dalam bab ini. Daripada hadith ini juga kita dapati larangan menggunakan jampi/rawatan yang tidak diketahui maknanya kerana mempunyai kebarangkalian mengandungi sebarang anasir kesyirikan.” (Lihat al-Kaukab al-Wahhaj Syarh Sahih Muslim bin al-Hajjaj, 22/220)
Menggunakan tanah dalam rawatan dan perubatan seperti meletakkan tanah pada bahagian tubuh yang berpenyakit atau bermasalah adalah dibenarkan jika diiringi dengan doa kepada Allah SWT dan kebergantungan kepada-Nya. Aisyah R.Anha meriwayatkan bahawa Rasulullah pernah mengambil tanah kemudian berjampi:
بِاسْمِ اللهِ، تُرْبَةُ أَرْضِنَا، بِرِيقَةِ بَعْضِنَا، لِيُشْفَى بِهِ سَقِيمُنَا، بِإِذْنِ رَبِّنَا
Maksudnya: “Dengan nama Allah, tanah dari bumi kami, dengan air liur daripada sebahagian kami, agar sembuh yang sakit di kalangan kami, dengan izin Tuhan kami.”
Riwayat al-Bukhari (5745) dan Muslim (2194)
Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith di atas menyebutkan, jumhur ulama menyatakan, yang dimaksudkan dengan “tanah kami” di sini adalah keseluruhan tanah bumi, dan ada juga yang berpendapat, tanah Madinah kerana keberkatannya. Manakala lafaz al-Riqah (الريقة) menunjukkan kepada jumlah air liur yang lebih sedikit berbanding lafaz al-Riq (الريق). Makna hadith ini ialah Baginda mengambil sedikit air liur pada jari telunjuknya, kemudian meletakkannya pada tanah sehingga tanah tersebut melekat padanya, lalu disapu pada bahagian yang luka atau sakit, sambil mengucapkan kata-kata ini semasa melakukan sapuan tersebut. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 14/184)
Hanya inilah tata cara memanfaatkan tanah dalam perubatan yang diakui oleh syarak berdasarkan Sunnah Rasulullah SAW.
Adapun perbuatan menanam sesuatu gambar ke dalam tanah, jika dilakukan dengan niat perbuatan menanam gambar itu di dalam tanah sebagai simbolik menamatkan hayat hubungan atau mengakhirkan hubungan secara terus dan mutlak; maka perbuatan ini tidak mempunyai dasar atau perkaitannya di sisi syariat Islam, begitu juga adat tradisi orang-orang tua yang soleh dalam kalangan kaum Muslimin. Perbuatan ini tidak dicontohi oleh Rasulullah SAW, para Sahabat mahupun sesiapa dalam kalangan ulama Salafussoleh mahupun Khalaf yang menuruti mereka. Meskipun tiada unsur syirik, sewajarnya perkara ini dielakkan dan tidak dilakukan bagi mengelakkan sebarang perilaku dan kepercayaan terhadap khurafat serta tahyul daripada tersebar.
Di samping itu, kami turut menasihatkan agar menyibukkan diri dengan perkara yang baik serta amalan-amalan yang lebih utama agar minda lebih tertumpu dan fokus kepada kebaikan dan kejayaan, berbanding memori buruk di masa silam yang menghantui. Kejayaan dan sinar gemilang menunggu kita di hadapan sana, ia tiada di belakang yang jauh itu. Allah Maha Berkuasa menghilangkan sebarang kesedihan dan kedukaan, mintalah doa kepada-Nya yang Maha Menguasai dan membolak-balikkan hati-hati manusia.
Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.
Kami akhiri dengan doa buat sekalian zahir dan batin yang menderita kesakitan:
اللَّهُمَّ رَبَّ النَّاسِ أَذْهِبْ الْبَاسَ اشْفِهِ وَأَنْتَ الشَّافِي لَا شِفَاءَ إِلَّا شِفَاؤُكَ شِفَاءً لَا يُغَادِرُ سَقَمًا
Maksudnya: “Ya Allah! Tuhan sekalian manusia. Hilangkanlah sakit. Sembuhkanlah ia. Engkau Maha Penyembuh. Tiada kesembuhan melainkan kesembuhan dengan izin-Mu. Penawar yang menghapuskan penyakit hingga ia tidak datang lagi.”
Wallahu a‘lam.