Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah status kisah pemuda yang bersedekah enam dinar kepada fakir sehingga dipanjangkan umurnya sehingga 60 tahun?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pertama, kami nyatakan terlebih dahulu fadhilat sedekah. Daripada Anas bin Malik R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ أَحَبَّ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ، وَيُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ، فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ
Maksudnya: “Barangsiapa yang ingin diluaskan rezekinya serta dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung pertalian silaturrahim.”
Riwayat al-Bukhari (5986) dan Muslim (2557)
Imam Nawawi dalam menjelaskan hadis ini berkata: Yang dimaksudkan dengan ‘أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ’ adalah diluaskan dan dijadikan banyak hartanya. Menurut pendapat yang lain, maksudnya diberi keberkatan harta. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 16/114)
Menjawab persoalan di atas, kisah tersebut masyhur sebagaimana dalam kitab Tanbih al-Ghafilin di mana seorang pemuda yang diberitakan oleh Malakul Maut kepada Nabi Allah Dawud akan meninggal dunia sepuluh hari berikut. Tetapi sebaliknya, selepas itu, masih dipanjangkan umur sehingga diberitakan kepada Nabi Dawud kerana dia bersedekah kepada seorang fakir sebanyak enam dinar. Akhirnya dipanjangkan usianya menjadi 60 tahun dan keseluruhan usianya 80 tahun. Di samping dikatakan, ia adalah rakan kamu wahai Dawud dalam syurga.
Kisah ini sanadnya tidak dijumpai dan tiada riwayat dalam kitab Sunnah yang muktamad. Alamat wadha’ dan dusta pada hadith ini adalah zahir. Hadith ini disebut oleh Abu al-Laith al-Samarqandi dalam kitabnya dengan tajuk Balasan Ahli Dosa Besar, pada muka surat 68. Hal yang sama disebut dalam komentar oleh Imam al-Zahabi, bagaimana hadith-hadith yang diriwayatkan bercampur atau sahih dan maudhu’ khususnya kitab Tanbih al-Ghafilin. (Lihat Siyar A’lam al-Nubala, 16/322
Justeru, kami katakan, pastikan terlebih dahulu kesahihan sesebuah hadith, atau sekurang-kurangnya bertaraf hasan atau dhaif dalam fadha’il amal atau mau’izah, tetapi haram untuk menukilkan hadis yang nyata maudhu’nya. Hal ini berdasarkan sabda Nabi SAW dalam hadith Nabi SAW:
وَمَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ
Maksudnya: “Barangsiapa yang berdusta di atas namaku dengan sengaja maka siaplah tempatnya di dalam neraka.”
Riwayat al-Bukhari (110)
Satu nasihat ulama’ menyebut:
إِنْ كُنْتَ نَاقِلًا فَعَلَيْكَ بِالتَّصْحِيحِ وَإِنْ كُنْتَ مُدَّعِيًا فَعَلَيْكَ باِلدَّلِيلِ
Maksudnya: “Jika sekiranya kamu menyatakan sesuatu hendaklah kamu mensahihkan dahulu berita itu, dan sekiranya kamu mendakwa hendaklah kamu menyatakan dalil atau bukti.”
Sesungguhnya terlalu banyak fadilat sedekah yang telah kami nukilkan dalam dua buku kami, iaitu Keajaiban Sedekah dan Merekalah yang Paling Pemurah. Sila rujuk kedua-dua buku tersebut untuk mendapat istifadah dan faedah. Kami akhiri dengan doa:
اَللَّهُمَّ أَعْطِ مُنْفِقًا خَلَفًا، وَأَعْطِ مُمْسِكًا تَلَفًا
Maksudnya: “Ya Allah! Kurniakanlah kepada pemberi sedekah, gantian. Dan jadikanlah kepada yang kedekut, kehilangan.”