Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah Ali bin Husain atau dikenali Zain al-’Abidin terkenal dengan memerdekakan hamba serta berinfaq?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَمَا أَدْرَاكَ مَا الْعَقَبَةُ (12) فَكُّ رَقَبَةٍ

Maksudnya: “Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui: apa dia amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan itu? (Di antara amal-amal itu – bagi orang yang mampu) ialah: memerdekakan hamba abdi.”

(Surah al-Balad: 12-23)

Syeikh Abd al-Rahman al-Sa’di berkata: Kemudian kesukaran di atas dijelaskan oleh firman-Nya: ‘فَكُّ رَقَبَةٍ’, yakni melepaskan daripada perhambaan dan membantunya melunaskan bayaran untuk membebaskan diri daripada perhambaan. Dan tentu lebih utama lagi membebaskan tawanan Muslim daripada tangan-tangan orang kafir. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 443)

Menjawab persoalan di atas, kami katakan, ya benar sama sekali. ‘Ali bin al-Husain R.Anhuma adalah seorang yang amat berhemah terhadap hamba-hambanya dan selalu memerdekakan hamba-hambanya sehingga kisah pembebasan hambanya yang ramai yang dilakukan Zainul Abidin tersebar luas.

Zainul Abidin selalunya akan memerdekakan hambanya yang bekerja dengan baik sebagai balasan kebaikan untuk mereka. Beliau juga membebaskan budak yang terlanjur dipukul atau teraniaya sebagai tebusan. Diriwayatkan bahawa dia telah memerdekakan seribu orang hamba dan tidak pernah menggunakan tenaga seorang hamba lebih dari satu tahun.

Kebanyakan daripada hamba yang beliau bebaskan, dimerdekakan pada malam Aidul Fitri, malam yang penuh berkat. Dimintanya mereka menghadap ke kiblat dan berdoa: “Ya Allah, ampunilah Ali bin Husain.” Kemudian, sebelum mereka pergi, beliau memberi kepada hamba tersebut bekal dan wang agar hamba-hamba tersebut dapat meneruskan kehidupan mereka dengan senang.

Salah satu kisah ‘Ali bin al-Husain R.Anhuma memerdekakan hambanya diceritakan sendiri oleh bekas hambanya yang berkata:

“Aku adalah pembantu Ali bin Husain. Suatu hari, aku disuruh memenuhi salah satu keperluannya, tapi aku terlambat melakukannya. Oleh sebab ini, ketika aku datang kepadanya, ‘Ali bin al-Husain R.Anhuma telah memukulku sebagai hukuman.

Aku menangis dengan perasaan sedih bercampur marah sebab selama dia tidak pernah memukul sesiapa pun sebelum itu. Aku berkata dalam tangisanku, “Allah… Allah… Wahai Ali bin Husain, mengapa ketika kamu menyuruhku memenuhi keperluanmu, namun setelah kupenuhi walaupun terlambat kamu tetap memukulku?”

Beliau terkejut lalu menangis mendengar kata-kataku. Lalu berkata, “Pergilah ke Masjid Nabawi, solatlah dua rakaat kemudian berdoalah, ‘Ya Allah, ampunilah Ali bin Husain.” Bila engkau mahu melakukannya, engkau akan aku merdekakan.” Aku mengikuti kata-katanya. Lantas, aku terus pergi solat dan berdoa seperti yang dimintanya. Ketika kembali ke rumahnya, dia membebaskanku dan aku menjadi seorang yang merdeka.” (Lihat Merekalah yang Paling Pemurah, hlm. 80-81)

Kami akhiri dengan doa:

 رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا ۚ أَنتَ مَوْلَانَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.”

Leave a Reply