Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah boleh membuat filem pendek yang memaparkan suara malaikat azab – hanya suara yang kasar menunjukkan kekuatan dan ketegasan semasa menyoal seorang lelaki yang telah berpindah ke alam kubur, dan sedang dihisab atas perbuatannya yang buruk sebelum ini – tanpa menampakkan wajah malaikat tersebut? Atau adakah boleh juga menampakkan wajah malaikat tersebut? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, berkenaan ujian serta soal jawab di dalam kubur termasuk dalam perkara ghaibiyyat. Pada asasnya tidak ada yang mengetahuinya melainkan hanya Allah SWT. Ini sebagaimana firman-Nya:

وَعِنْدَهُ مَفَاتِحُ الْغَيْبِ لَا يَعْلَمُهَا إِلَّا هُوَ

Maksudnya: “Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dialah sahaja.

(Surah al-An‘am: 59)

Ibn Kathir dalam tafsirnya, Tafsir Ibn Kathir, (3/264) mendatangkan hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, daripada Ibn Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

مَفَاتِيحُ الغَيْبِ خَمْسٌ لاَ يَعْلَمُهَا إِلَّا اللَّهُ: لاَ يَعْلَمُ مَا فِي غَدٍ إِلَّا اللَّهُ. وَلاَ يَعْلَمُ مَا تَغِيضُ الأَرْحَامُ إِلَّا اللَّهُ. وَلاَ يَعْلَمُ مَتَى يَأْتِي المـَطَرُ أَحَدٌ إِلَّا اللَّهُ. وَلاَ تَدْرِي نَفْسٌ بِأَيِّ أَرْضٍ تَمُوتُ. وَلاَ يَعْلَمُ مَتَى تَقُومُ السَّاعَةُ إِلَّا اللَّهُ

Maksudnya: “Kunci-kunci perkara ghaib ada lima, tidak ada yang mengetahuinya kecuali Allah. Tidak ada yang mengetahui apa yang berlaku pada esok hari kecuali Allah, tidak ada yang mengetahui apa yang dikurangi pada rahim kecuali Allah, tidak ada seorang pun yang mengetahui bilakah akan turunnya hujan kecuali Allah. Setiap jiwa tidak mengetahui di negeri mana dia akan mati, dan tidak ada yang mengetahui bilakah akan berlakunya kiamat kecuali Allah.”

Riwayat al-Bukhari (4697)

Pengetahuan kita mengenai hal-hal ghaib sangat terbatas, di mana kita hanya mengetahui sebahagiannya melalui perkhabaran daripada Allah SWT melalui wahyu yang disampaikan kepada Baginda SAW. Jika perkara tersebut termasuk yang dikhabarkan maka hal tersebut ada ruang untuk digambarkannya, namun ia tetap terbatas dan sama sekali tidak akan menggambarkan hakikat yang sebenarnya. Tetapi jika tidak, maka ia termasuk perkara ghaib yang tidak diketahui kecuali Allah.

Hal ini termasuklah mengenai ujian dan soal jawab kepada penghuni kubur di dalam kubur-kubur mereka. Kita mengetahui sebahagian gambarannya, di samping soalan-soalan yang akan ditanyakan kepada mereka berserta jawapannya. Dalam erti kata lain, bagaimana jawapan seorang Mukmin yang akhirnya menjadikan dirinya selamat dan digolongkan sebagai ahli syurga. Begitu juga bagaimana jawapan seorang kafir dan munafik yang akhirnya menjadikan dirinya termasuk dalam kalangan orang yang binasa dan mendapat azab Allah SWT. Kesemua ini wajib ke atas kita untuk mengimaninya sebagaimana yang telah diceritakan kepada kita oleh Rasulullah SAW kerana ia termasuk dalam perkara-perkara ghaib yang tidak diketahui oleh sesiapa pun melainkan hanya Allah SWT sahaja. Akan tetapi pengetahuan kita mengenainya itu hanya terbatas sekadar yang diketahui berdasarkan hadith-hadith yang sahih, pun begitu kita masih tidak dapat mengetahui hakikat sebenar-sebenarnya hal dan kejadian itu.

Tegasnya, tiada siapa pun yang tahu mengenai tentang perkara ghaib itu, sama ada malaikat, jin mahupun manusia termasuklah Baginda SAW sendiri (melainkan apa yang disampaikan kepada Baginda oleh Allah SWT). Ini jelas melalui firman Allah SWT:

قُل لَّا أَمْلِكُ لِنَفْسِي نَفْعًا وَلَا ضَرًّا إِلَّا مَا شَاءَ اللَّهُ ۚ وَلَوْ كُنتُ أَعْلَمُ الْغَيْبَ لَاسْتَكْثَرْتُ مِنَ الْخَيْرِ وَمَا مَسَّنِيَ السُّوءُ ۚ إِنْ أَنَا إِلَّا نَذِيرٌ وَبَشِيرٌ لِّقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ

Maksudnya: “Katakanlah: ‘Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudharat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan kalau aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman.’

(Surah al-A‘raf: 188)

Keduanya, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami katakan bahawa mendakwa bahawa suara yang dilakonkan bagi menunjukkan suara malaikat itu menyerupai suara malaikat di dalam kubur adalah satu bentuk pembohongan, kerana perkara itu termasuk dalam hal-hal ghaib yang kita tidak ketahui. Apatah lagi, menggambarkan rupa bentuk malaikat, jelas ia tidak dibenarkan dan dilarang daripada melakukan apa-apa perkara seperti itu; kerana rupa bentuk malaikat dan suaranya adalah termasuk dalam perkara-perkara ghaib yang tidak boleh digambarkan.

Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Barrak ada menyebutkan, hakikat-hakikat perkara ghaib dari masa lalu, masa kini, dan masa depan tidak dapat dibayangkan apatah lagi digambarkan! Antara perkara tersebut adalah keadaan di hari kiamat seperti kebangkitan, titian sirat, timbangan, dan apa yang terjadi sebelumnya seperti tiupan sangkakala, ketakutan, kebinasaan, perubahan pada alam atas dan alam bawah, serta segala peristiwa dahsyat yang mengiringinya.[1]

Syeikh Muhammad Soleh al-Munajjid juga ketika beliau diajukan soalan yang hampir sama dengan soalan di atas, menjawabnya dengan menyatakan, perkara yang telah disepakati bahawa niat yang baik tidak menghalalkan cara. Hakikat-hakikat ghaib dari masa lalu, masa kini, dan masa depan tidak dapat dibayangkan, apatah lagi digambarkan! Antaranya adalah keadaan-keadaan di hari kiamat; seperti kebangkitan, titian sirat, timbangan, serta apa yang berlaku sebelumnya seperti tiupan sangkakala, ketakutan, kebinasaan, perubahan pada alam atas dan alam bawah, serta segala peristiwa dahsyat yang menyertainya. (Lihat Mauqi‘ al-Islam Su’al wa al-Jawab, 4/322).

Tambahan lagi, Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Suhaim telah menyebut beberapa peringatan berkenaan akibat daripada mempersembahkan babak-babak hari kiamat dalam bentuk lakonan, antaranya:

Pertama: Menggambarkan perkara-perkara ghaib dalam bentuk yang boleh dilihat, sedangkan manusia tidak mempunyai pengalaman/pengetahuan langsung mengenainya. Jadi bagaimana seseorang boleh menggambarkannya atau membayangkannya?

Kedua: Mendorong golongan yang bodoh untuk melakonkan/menggambarkan syurga dan neraka, bahkan ada yang berani melakonkan Nabi Muhammad SAW dan malaikat Jibril A.S.

Ketiga: Ini boleh dianggap sebagai suatu penghinaan dan meremehkan betapa dahsyatnya hari kiamat atau perkara/urusan akhirat.

Keempat: Menghilangkan rasa hormat dan keagungan hari tersebut daripada jiwa manusia. Allah SWT telah menetapkan kehebatan hari tersebut untuk menundukkan jiwa manusia. Sesungguhnya Allah SWT berfirman selepas menyebut tentang riba:

وَاتَّقُوا يَوْمًا تُرْجَعُونَ فِيهِ إِلَى اللَّهِ ۖ ثُمَّ تُوَفَّىٰ كُلُّ نَفْسٍ مَّا كَسَبَتْ وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan peliharalah diri kamu dari huru-hara hari (kiamat) yang padanya kamu akan dikembalikan kepada Allah. Kemudian akan disempurnakan balasan tiap-tiap seorang menurut apa yang telah diusahakannya, sedang mereka tidak dikurangkan balasannya sedikitpun.

(Surah al-Baqarah: 281)

Begitu juga dalam hadith, sering disebutkan dan diulang-ulang:

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ…

Maksudnya: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat…

Semua ini bertujuan agar kehebatan hari tersebut kekal dalam jiwa manusia, supaya mereka yang melampaui batas akan tunduk dan kembali bertaubat apabila mengetahui bahawa ada hari lain di mana balasan dan perhitungan akan dijalankan, dengan masa yang panjang dan keadaan yang dahsyat yang hanya diketahui oleh Allah SWT. Para ulama, apabila berbicara tentang hadith-hadith ancaman, mereka menafsirkannya secara zahir kerana mereka percaya bahawa ini lebih berkesan dan lebih memberi kesan kepada jiwa.[2]

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang di atas, kami berpendapat dan tegaskan sekali lagi bahawa menggambarkan dalam filem paparan/gambaran suara malaikat azab dengan suara yang kasar atau seumpamanya adalah tidak dibenarkan dan haram melakukannya, meskipun tanpa menampakkan wajah malaikat itu. Jadi, jika filem itu mengandungi gambaran atau menampakkan wajah malaikat adalah lebih-lebih lagi dilarang dan tidak dibolehkan. Begitu juga ia tidak dibolehkan sekalipun tujuannya adalah untuk pengajaran dan penginsafan. Ini kerana semua hal itu termasuk dalam perkara ghaibiyyat yang tidak diketahui hakikat sebenar-benarnya melainkan hanya Allah SWT.

Firman Allah SWT:

قُلْ لاَّ يَعْلَمُ مَنْ فِى السَّمَٰوَٰتِ وَالأَرْضِ الْغَيْبَ إِلاَّ اللهُ

Maksudnya: “Katakanlah lagi: ‘Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara ghaib melainkan Allah!’”

(Surah al-Naml: 65)

Ibn Kathir dalam tafsirnya menyebutkan, Allah SWT memerintahkan Rasul-Nya untuk mengucapkan sesuatu yang mengajarkan seluruh manusia bahawa tidak ada seorangpun penghuni langit dan bumi yang dapat mengetahui perkara ghaib kecuali Allah. “إِلاَّ اللهُ” “Kecuali Allah” adalah istithna’ munqati‘, iaitu tidak ada satupun yang mengetahui hal itu kecuali Allah SWT kerana Dia sahajalah yang mengetahui hal itu dan tidak ada sekutu bagi-Nya. Sebagaimana firman Allah SWT: “وَعِنْدَهُ مَفَاتِحُ الْغَيْبِ لَا يَعْلَمُهَا إِلَّا هُوَ” (Dan pada sisi-Nya lah kunci-kunci semua yang ghaib; tidak ada yang mengetahui kecuali Dia sendiri.) (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/207).

Lebih-lebih lagi, turut dibimbangi dengan menggambarkan keadaan azab itu berserta suara malaikat yang menakutkan (yang sudah pasti keadaannya tidak akan sama walau sedikitpun dengan keadaan sebenar kelak) akan mengurangkan rasa hormat, mengurangkan kehebatan dan betapa dahsyatnya keadaan tersebut serta tujuan asalnya bagi menundukkan jiwa manusia agar segera kembali bertaubat kepada Allah dan agama-Nya kerana di sana ada hari di mana balasan dan perhitungan akan dijalankan dan hal-hal seumpamanya yang terdiri daripada peristiwa dan urusan hari akhirat.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

Nota Hujung:

[1] Lihat https://www.islamweb.net/ar/fatwa/140880/تمثيلمشاهدالقيامةرؤيةشرعية. Diakses pada 11 Ogos 2024.

[2]  Lihat https://www.islamweb.net/ar/fatwa/140880/تمثيلمشاهدالقيامةرؤيةشرعية. Diakses pada 11 Ogos 2024.

Leave a Reply