Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya seorang pesakit saraf berumur 64 tahun. Adakah saya perlu solat jumaat dan jika tidak perlu, adakah saya kena tunggu habis solat jumaat di masjid baru saya boleh solat Zuhur.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).”
(Surah al-Jumu’ah: 9)
Menurut Syeikh al-Sa’di, ayat ini mengajar kita bahawa Allah SWT menyuruh hamba-hamba-Nya yang beriman supaya bersegera hadir ke masjid untuk solat Jumaat sejurus azan dikumandangkan, dan menjadikan solat Jumaat itu sebagai keutamaan dan urusan yang paling utama. (Lihat Tafsir al-Sa’di, 1/863)
Maksud ‘فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّـهِ’ (segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah), para ulama mentafsirkannya dengan maksud segera untuk mendengar khutbah jumaat dan melakukan solat Jumaat selepasnya. (Lihat Tafsir Ayat al-Ahkam oleh Syeikh Ali al-Sobuni, 2/362)
Solat Jumaat diwajibkan kepada mereka yang memenuhi tujuh syarat berikut, iaitu:
- Beragama Islam
- Baligh
- Berakal
- Merdeka (bebas) sepenuhnya.
- Lelaki
- Sihat tubuh badan.
- Bermukim di tempat solat Jumaat didirikan.
Sekiranya seseorang itu telah cukup ketujuh-tujuh syarat ini, maka diwajibkan solat Jumaat ke atas dirinya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/200-201)
Kesimpulan
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan sekiranya anda mempunyai penyakit saraf yang kronik sehingga tidak boleh berjalan dan seumpamanya, maka gugur kewajipan solat jumaat ke atas anda. Oleh itu, dia perlu solat Zuhur seperti biasa apabila masuk waktu solat. Hal ini berdasarkan hadith Nabi SAW: Diriwayatkan daripada Tariq bin Syaibah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
الْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ فِي جَمَاعَةٍ إِلاَّ أَرْبَعَةً عَبْدٌ مَمْلُوكٌ أَوِ امْرَأَةٌ أَوْ صَبِيٌّ أَوْ مَرِيضٌ
Maksudnya: “Solat Jumaat adalah tanggungjawab yang wajib atas setiap lelaki Muslim untuk didirikan secara berjemaah, kecuali hamba yang dimiliki oleh tuannya, perempuan, kanak-kanak dan orang yang sakit.”
Riwayat Abu Daud (1067)
Namun, sekiranya ia penyakit saraf yang minor dan mampu untuk solat seperti biasa walaupun terhad, maka wajib baginya untuk melaksanakan solat Jumaat kerana solat Jumaat itu hukumnya wajib.
Berkenaan sama ada perlu menunggu orang di masjid selesai Jumaat, maka kami katakan bahawa kami lebih cenderung pendapat yang tidak perlu untuk tunggu dan boleh melaksanakan solat setelah azan Zuhur berkumandang.
Semoga Allah membantu anda dalam lebih memahami syariat Allah SWT dan moga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”
Wallahu a’lam.