Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah Imam al-Syafi’i seorang yang amat pemurah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

لَن تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ ۚ وَمَا تُنفِقُوا مِن شَيْءٍ فَإِنَّ اللَّهَ بِهِ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebajikan (yang sempurna), sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai. Dan apa saja yang kamu nafkahkan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.”

(Surah Ali Imran: 92)

Menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa Imam al-Syafie memang dikenali sebagai seorang yang sangat pemurah. Jika ada sesiapa yang datang meminta sesuatu kepadanya, beliau akan terus memberinya. Begitu juga apabila beliau mendapat hadiah pemberian khalifah, jika hadiah itu berupa wang, beliau tidak menggunakannya semata-mata untuk keperluan dirinya sahaja. Beliau akan berikan juga kepada orang ramai dan sesiapa yang beliau temui memerlukan wang.

Diriwayatkan pernah Khalifah al-Rasyid mengirim kepada beliau sebanyak 5,000 dinar. Sebaik sahaja menerima pemberian itu, Imam Syafie segera membahagikannya kepada orang ramai sehingga yang tinggal di dalam poket jubahnya hanyalah 100 dinar.

Kata Muhammad bin Abdullah al-Misri, “Adalah Imam Syafie itu seorang insan yang sangat dermawan.”

Kata Amru bin Sawad al-Sirji, “Imam Syafie adalah seorang gemar menderma dari apa pun yang ia milikinya.” Kata beliau lagi: “Al-Syafi’i merupakan seorang yang paling pemurah dengan dinar, dirham dan makanan.” (Lihat Tahzib al-Asma’ wa al-Lughat oleh al-Nawawi, 1/57; Tawali al-Ta’sis, hlm. 121)

Ibn ‘Abd al-Hakam berkata, “Al-Syafi’i adalah seorang yang paling pemurah dengan apa yang dimilikinya.” (Lihat Tawali al-Ta’sis, hlm. 68; al-Imam al-Syafi’i: Faqih al-Sunnah al-Akbar oleh ‘Abd al-Ghani al-Daqr, hlm. 369)

Imam Syafie sendiri pernah berkata, “Aku belum pernah memiliki kegagalan, tidak memiliki sesuatu apa pun, sehingga aku harus menjual semua perhiasan milik isteriku dan puteri kesayanganku.”

Al-Rabi’ bin Sulaiman berkata, “Kami sering mendengar kisah-kisah orang dermawan. Di Mesir, terdapat ramai orang dermawan dan pemurah. Namun, kami tidak pernah melihat seperti Imam al-Syafi’i. Kami tidak pernah mendengar orang yang menyamai kemurahan beliau pada masanya. (Lihat Manaqib al-Syafi’i, 2/235)

Setiap hari, Imam al-Syafi’i selalu bersedekah semampunya. Al-Rabi’ berkata, “Al-Syafi’i tidak pernah melalui satu hari tanpa bersedekah. Beliau selalu bersedekah pada malam hari. Pada bulan Ramadhan, beliau memperbanyakkan sedekah dengan wang dan pakaian, memberi makan fakir miskin dan orang-orang yang lemah. Beliau sangat prihatin dengan keadaan mereka. Beliau sering bertanya keadaan orang yang beliau kenali, lalu memberi bantuan kepada mereka. (Lihat Manaqib al-Syafi’i, 2/284)

Setiap kali orang melakukan sesuatu kebaikan kepadanya, Imam al-Syafi’i sentiasa membalas kebaikan itu sebanyak-banyaknya. Setelah itu, beliau meminta maaf kerana tidak mampu memberikan lebih banyak lagi. Suatu hari, seseorang memegangkan tali kudanya. Imam al-Syafi’i lalu berkata kepada al-Rabi’, “Wahai Rabi’, berikanlah kepadanya empat dinar dan mintakan maaf dariku.” (Lihat Manaqib al-Syafi’i, 2/220)

Jika seseorang meminta daripadanya, maka Imam al-Syafi’i akan berasa malu jika tidak memberi. Suatu hari, seseorang datang mengadu tentang kesukaran hidup yang sedang dialaminya. Pada ketika itu, Imam al-Syafi’i tidak memiliki apa-apa selain satu dinar. Beliau lalu memberikan semua wang itu kepadanya. Seseorang berkata, “Andai engkau berikan satu atau dua dirham, tentulah mencukupi baginya. Mengapa engkau berikan satu dinar?”

Imam al-Syafi’i menjawab, “Aku malu apabila seseorang meminta sesuatu kepadaku, dan aku memiliki kemampuan untuk membantunya, namun aku tidak memberinya. (Lihat Manaqib al-Syafi’i, 2/225)

Sifat pemurah ini semakin kuat apabila beliau bersama orang yang beliau kenali. Apabila al-Rabi’ bin Sulaiman melangsungkan perkahwinan, Imam al-Syafi’i bertanya kepadanya, “Berapa mas kahwin yang engkau berikan kepada isterimu?” Al-Rabi’ menjawab, “Enam dinar.” Beliau lalu naik ke rumahnya dan mengirimkan untuk al-Rabi’ sekantung wang, yang berisi 24 dinar. (Lihat Manaqib al-Syafi’i, 2/225)

Imam al-Syafi’i sangat malu jika ada seseorang yang meminta sesuatu daripadanya. Al-Rabi’ berkata, “Apabila seseorang meminta daripada al-Syafi’i, wajah beliau menjadi merah kerana malu kepada peminta itu. Beliau akan segera memberikan apa yang dimintanya. Suatu hari, beliau berada di tengah jalan apabila seseorang meminta sesuatu daripadanya. Raut wajah beliau berubah. Beliau berkata, “Di manakah tempat tinggalmu?” Apabila Imam al-Syafi’i tiba di rumahnya, beliau segera mengirimkan apa yang diminta itu kepadanya.” (Lihat Manaqib al-Syafi’i, 2/235) (Lihat juga Mengenali Imam al-Syafi’i oleh Dr. Umar Muhammad Noor, hlm. 34-35)

Al-Humaidi berkata, “Suatu ketika, al-Syafi’i tiba dari San’a’ (Yaman), dan beliau membawa bersamanya wang berjumlah sepuluh ribu (10,000) dinar. Lalu beliau membentang khemahnya di luar kota Makkah. Orang ramai sentiasa datang menziarahinya, lalu wangnya itu habis diagihkan kepada mereka kesemuanya. (Lihat Manaqib al-Syafi’i oleh al-Baihaqi, 2/220; Tawali al-Ta’sis li Ma’ali Muhammad ibn Idris, hlm. 123; Sifat al-Safwah, 2/145)

Al-Muzani dalam satu riwayat menyebut: “Pada suatu hari, aku bersama-sama al-Syafi’i melalui satu kawasan memanah. Seorang lelaki sedang memanah dengan menggunakan alat pemanah ‘Arab. Al-Syafi’i berhenti untuk melihatnya. Lelaki itu adalah seorang yang pandai memanah. Beberapa panahnya menepati sasaran. Al-Syafi’i berkata kepadanya, “Baguslah. Semoga kamu diberkati (Allah).” Lalu beliau bertanya kepadaku, “Kamu ada membawa sesuatu?” Aku menjawab, “Aku hanya mempunyai tiga dinar sahaja.” Lalu beliau berkata, “Berikanlah kepadanya dan mohonlah kemaafannya kerana aku tidak memiliki selain daripada itu.” (Lihat Tawali al-Ta’sis, hlm. 122; Manaqib al-Imam al-Syafi’i oleh al-Munawi, hlm. 119)

‘Abd al-Rahman bin Muhammad berkata: Aku mendengar bapaku berkata, “Kami keluar bersama-sama al-Syafi’i menuju ke Mesir. Lalu kami memasuki Harran. Pada waktu itu, didapati rambutnya sudah pun panjang. Maka, al-Syafi’i pun memanggil tukang gunting untuk memendekkan rambutnya. Setelah itu, beliau memberikan kepada tukang gunting itu sebanyak lima puluh dinar.” (Lihat Manaqib al-Syafi’i oleh al-Razi, hlm. 128; Manaqib al-Imam al-Syafi’i oleh al-Munawi, hlm. 119)

Al-Humaidi berkata, “Ketika al-Syafi’i tiba (di Mesir), beliau memiliki tiga ribu (3000) dirham. Kemudian, beliau diziarahi oleh anak-anak buah bapa saudaranya dan orang lain. Beliau pun memberikannya kepada mereka sehingga apabila beliau bangun, tidak ada apa lagi yang tinggal bersamanya.” (Lihat Tawali al-Ta’sis, hlm. 68; Manaqib al-Imam al-Syafi’i oleh al-Munawi, hlm. 120)

Al-Buwaiti berkata, “Semasa al-Syafi’i tiba di Mesir, Zubaidah[1] telah menghantar kepadanya satu bungkusan yang mengandungi pakaian biasa dan bersulam. Lalu, al-Syafi’i mengagihkannya kepada orang ramai.” (Lihat Tahzib al-Asma’ wa al-Lughat oleh al-Nawawi, 1/58)

Al-Rabi’ berkata, “Suatu ketika, al-Syafi’i sedang menunggang keldainya melalui pasar tukang-tukang besi. Tiba-tiba, tali cemeti beliau terjatuh dari tangannya. Lantas seorang lelaki menerpa (ke arah cemeti beliau itu, mengambil) serta menyapunya dengan tangannya, dan mengembalikan kepada al-Syafi’i. Lalu al-Syafi’i berkata kepada pembantunya, “Berilah kepadanya beberapa dinar yang ada pada kamu.” Aku tidak ingat sama ada tujuh atau sembilan dinar.” (Lihat Tawali al-Ta’sis, hlm. 121; Manaqib al-Imam al-Syafi’i oleh al-Munawi, hlm. 119)

Al-Rabi’ menceritakan lagi, “Pada suatu hari, kami bersama-sama al-Syafi’i. Kemudian, tali capalnya telah terputus. Lalu ia dibaiki oleh seorang lelaki. Al-Syafi’i pun berkata, “Wahai al-Rabi’, adakah bersama kamu sesuatu yang baki daripada nafkah kita?” Aku menjawab, “Ya.” Beliau bertanya, “Berapa?” Aku menjawab, “Tujuh dinar.” Beliau berkata, “Berilah kepadanya.” (Lihat Tahzib al-Asma’ wa al-Lughat oleh al-Nawawi, 1/58)

Abu Sa’d berkata: “Al-Syafi’i adalah seorang yang paling pemurah. Beliau telah membeli seorang hamba perempuan yang mahir memasak dan membuat kuih. Beliau berkata kepada kami, “Nikmatilah apa yang kamu suka. Sesungguhnya aku telah membeli seorang hamba perempuan yang tahu membuat apa yang kamu mahu.” Lalu sebahagian kami berkata, “Buatlah hari ini begian dan begian,” dan kami sentiasa menyuruhnya memasak apa-apa yang kami mahu, dan beliau (al-Syafi’i) gembira dengan keadaan demikian.” (Lihat Manaqib al-Syafi’i oleh al-Baihaqi, 2/222; Tahzib al-Asma’ wa al-Lughat oleh al-Nawawi, 1/58)

Al-Rabi’ berkata: Al-Syafi’i telah mengadakan walimah. Apabila tiba masanya orang akan menjamah makanan, al-Buwaiti[2] berkata kepadaku, “Duduk dan makanlah.” Lalu aku bertanya, “Siapa yang mengizinkan kita makan?” Pertanyaan ini didengari oleh al-Syafi’i, lalu beliau berkata, “Subhanallah, Kamu (sentiasa) berada dalam keadaan halal pada semua hartaku.” (Lihat Tawali al-Ta’sis, hlm. 124)

Al-Rabi’ menceritakan lagi: “Beliau (al-Syafi’i) melihatku menulis hisab perbelanjaannya, lalu beliau berkata, “Tidak usahlah menghabiskan kertas kamu pada perkara yang tidak berguna. Aku tidak akan melihat hisab kami.” Aku berkata, “Umm Abi al-Hasan, boleh jadi (dia) akan meminta kepadaku untuk membelinya sesuatu, sedangkan tuan tidak mengizinkanku?” Beliau menjawab, “Wahai orang yang lama tidurnya. Kamu berada dalam keadaan halal pada semua hartaku.” (Lihat Tawali al-Ta’sis, hlm. 125)

Al-Rabi’ turut menyebut, “Tidak ada suatu hari yang dilalui tanpa bersedekah. Beliau bersedekah pada malam hari, khususnya pada bulan Ramadhan. Beliau mencari orang-orang fakir miskin dan orang yang dha’if (lemah). Meskipun nafkah untuk ahli keluarganya datang daripada kemurahan para peniaga dan orang kaya, beliau masih sebagai seorang yang paling pemurah dalam apa-apa sahaja majlis.” (Lihat Tawali al-Ta’sis, hlm. 123)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ كُلِّ خَيْرٍ أَحَاطَ بِهِ عِلْمُكَ، فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنْ كُلِّ شَرٍّ أَحَاطَ بِهِ عِلْمُكَ، فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami mohon daripada-Mu dari setiap kebaikan yang menguasai ilmu-Mu di dunia dan akhirat, dan kami minta berlindung dengan-Mu dari setiap kejahatan yang menguasai dengannya ilmu-Mu di dunia dan akhirat.”

Nota Hujung:

[1] Beliau ialah Zubaidah bint Ja’far al-Mansur (khalifah kedua Kerajaan ‘Abbasiyyah), isteri kepada khalifah Harun al-Rasyid. Meninggal dunia di Baghdad pada tahun 216 H. (Lihat al-Munjid fi al-A’lam, hlm. 320)

[2] Nama penuh beliau ialah Abu Ya’kub Yusuf bin Yahya al Buwaiti dan beliau dilahirkan di satu perkampungan bernama Buwaiti (Mesir). Beliau merupakan murid kanan Imam Syafi’i ketika berada di Mesir. Beliau wafat pada tahun 231 H.

Leave a Reply