Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, siapakah dia Imam al-Laith bin Sa’d dan benarkah beliau sangat pemurah?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
تَتَجَافَىٰ جُنُوبُهُمْ عَنِ الْمَضَاجِعِ يَدْعُونَ رَبَّهُمْ خَوْفًا وَطَمَعًا وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنفِقُونَ
Maksudnya: Sesungguhnya yang sebenar-benar beriman kepada ayat-ayat keterangan Kami hanyalah orang-orang yang apabila diberi peringatan dan pengajaran dengan ayat-ayat itu, mereka segera merebahkan diri sambil sujud (menandakan taat patuh), dan menggerakkan lidah dengan bertasbih serta memuji Tuhan mereka, dan mereka pula tidak bersikap sombong takbur.
(Surah al-Sajdah: 15)
Al-Syaukani berkata: Menurut Ibn ‘Abbas perkataan infaq di sini ialah zakat yang dikeluarkan dari harta mereka; sedangkan menurut Ibnu Jarir maksud dari infaq adalah infaq dalam erti luas yang mencakupi zakat dan sedekah tanpa membezakan infaq untuk kerabat atau yang lainnya, yang wajib mahu pun yang sunnah, dan inilah pendapat yang benar. (Lihat Fath al-Qadir, 4/223)
Kami mulakan dengan biografi ringkas Imam al-Laith. Beliau dilahirkan pada tahun 94 H dan meninggal dunia pada tahun 175 H. Beliau ialah Syeikh al-Islam al-Imam al-Hafiz al-’Alim Abu al-Harith al-Laith bin Sa’d bin ‘Abd al-Rahman al-Fahmi al-Qalqasyandi. Beliau hidup sezaman dengan Imam Abu Hanifah dan Imam Malik. Beliau termasuk dalam kalangan imam fiqh dan mujtahid besar pada zamannya. Hanya sahaja mazhab Imam al-Laith tidak dapat bertahan sehingga sekarang. Imam al-Syafi’i berkata, “Imam al-Laith dalam hal fiqh melebihi Imam Malik.” Namun sayangnya, murid-muridnya tidak berjaya meneruskan ilmu dan mazhab guru mereka. Beliau terkenal dengan sifat pemurah dan sering berinfaq dalam jumlah yang banyak kepada golongan fakir miskin dan yang memerlukan. Al-Laith pernah berguru dengan Ibn Abi Mulaikah.
Menjawab persoalan di atas kami katakan, selain seorang ulama besar, Imam al-Laith adalah seorang tokoh perniagaan yang berjaya dan pemurah. Pendapatan Imam al-Laith bin Sa’ad hasil daripada perusahaannya setiap tahun tidak kurang daripada 80,000 dinar. Namun, beliau tidak pernah membayar zakat yang telah Allah SWT wajibkan walaupun hanya satu dirham. Ini kerana, pada setiap tahun, disebabkan beliau begitu banyak bersedekah dan berinfak di jalan Allah SWT, hartanya dan untung perniagaannya hampir habis dan tidak pernah mencapai nisab untuk dizakatkan. (Lihat Tarikh Dimasyq, 50/377, Tarikh Baghdad, 14/524, Hilyah al-Auliya’, 7/319 dan Siyar A’lam al-Nubala, 7/213).
Antara sedekah dan infak yang Imam al-Laith berikan sehingga nisab hartanya tidak pernah cukup untuknya membayar zakat ialah:
Pertama: Sebagaimana kata Qutaibah bin Said, Imam al-Laith selalu bersedekah setiap hari untuk 300 fakir miskin dengan sedekah yang amat banyak. Setiap hari pula dia biasa memberi kepada ratusan pelajar dan penuntut ilmu sebanyak 1 dinar emas setiap seorang.
Kedua: Imam al-Laith juga banyak membantu orang-orang miskin yang memerlukan. Suatu ketika, misalnya, ada seorang wanita miskin meminta madu kepada beliau untuk pengubatan anaknya yang sedang sakit. Imam al-Laith terus memberi wanita itu 120 liter madu.
Pada waktu yang lain, Imam Malik menulis surat kepada Imam Laith memberitahunya bahawa dia memiliki hutang yang perlu dilangsaikan. Imam Laith dengan segera membalas surat Imam Malik sambil memberikan sebanyak 500 dinar sebagai hadiah. (Lihat al-Jami’ fî Rasa’il al-Da’wiyyah, hlm. 128-129).
Ketiga: Imam Laith juga rajin memberikan hadiah kepada orang-yang yang layak diberi hadiah. Salah satunya adalah Imam Malik, ulama besar pada zaman beliau. Imam Malik bahkan di antara yang paling selalu mendapat hadiah daripada Imam Laith bin Sa’ad.
“Yahya bin Bakar berkata, ‘Aku pernah mendengar ayahku berkata, ‘Al-Laith pernah mengutus tiga orang untuk menghadiahkan hartanya sebanyak 3000 dinar kepada tiga orang. Masing-masing mendapatkan 1000 dinar iaitu Ibnu Luhai’ah, Malik bin Anas dan Qadhi Mansur bin Ammar.[1]“
Ketika Imam al-Laith pergi menunaikan haji, beliau berhenti singgah di Madinah. Ketika itu, Imam Malik, melalui utusan beliau, mengirim beberapa lembar roti basah daripada gandum di atas dulang. Untuk membalas kebaikan Imam Malik, Imam al-Laith lalu mengembalikan dulang tersebut yang dibawa oleh utusan Imam Malik dengan meletakkan di atas dulang tersebut wang sebanyak 1000 dinar sebagai hadiah untuk Imam Malik.
Pada suatu ketika, Khalifah Harun ar-Rasyid memberi Imam Malik wang sebanyak 500 dinar. Mengetahui itu, Imam Laith tidak mahu kalah. Beliau pun memberikan hadiah kepada Imam Malik berupa wang dengan jumlah dua kali ganda, iaitu sebanyak 1,000 dinar. (Lihat Wafayat al-‘Ayan wa Anba’ Abna’ al-Zaman, 4/10).
Al-Laith bin Sa’d tidak berkata-kata setiap hari, sebelum dia bersedekah kepada tiga ratus enam puluh (360) orang miskin. (Lihat Ihya’ Ulum al-Din, 4/454)
Imam al-Laith wafat sekitar tahun 175 H. Ketika wafatnya Imam al-Laith, Imam al-Syafi’i berdiri di sisi kuburnya seraya berkata, “Demi Allah, wahai Imam, engkau telah mengumpulkan empat sifat yang tidak dimiliki ulama lainnya: ilmu, amal, zuhud dan kedermawanan.” (Lihat Tarikh al-Baghdad, 13/3 dan Tazkirah al-Huffaz, 1/207).
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ كُلِّ خَيْرٍ أَحَاطَ بِهِ عِلْمُكَ، فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنْ كُلِّ شَرٍّ أَحَاطَ بِهِ عِلْمُكَ، فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ.
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami mohon daripada-Mu dari setiap kebaikan yang menguasai ilmu-Mu di dunia dan akhirat, dan kami minta berlindung dengan-Mu dari setiap kejahatan yang menguasai dengannya ilmu-Mu di dunia dan akhirat.”
[1]Nama penuhnya adalah Abu Sariy Mansur bin Ammar. Berasal dari Marwi daripada perkampungan yang dipanggil Dandanikan. Menurut Al-Sulami, ada yang mengatakan dia berasal dari Abi Ward, sebagaimana disebut oleh Abu al-Fadhl al-Syafi’i al-Akhbar. Ada yang mengatakan dia berasal dari Bushanj sebagaimana disebut oleh Muhammad bin al-`Abbas, seorang sufi terkenal di zamannya. Al-Sulami menyifatkan Mansur bin `Ammar seorang yang mempunyai kemampuan berucap di dalam menyampaikan nasihat dan mau`izah, bahkan Al-Sulami mengkategorikannya sebagai seorang daripada hukama` yang matang.