#6789: Mengaku Duda

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya Ada isteri. Saya berkawan dgn perempuan lain, saya menipu dia yang saya ni duda. Dia tanya saya sudah lama ke berpisah dengan isteri? Saya jawab, sudah dua tahun berpisah (tanpa niat cerai), adakah jatuh talak? Kalau jatuh, adakah jadi rujuk dengan melakukan persetubuhan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Islam menjadikan asal bagi talak adalah merupakan talak raj’ie (yang boleh dirujuk semula) yang tidak memutuskan ikatan perkahwinan secara menyeluruh. Kerana itulah syarak memberikan hak kepada seorang suami untuk merujuk semula dengan isterinya selama dalam tempoh iddah. Firman Allah SWT:

وَالْمُطَلَّقَاتُ يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ ثَلَاثَةَ قُرُوءٍ

Maksudnya: “Dan wanita-wanita yang diceraikan itu maka mereka ‘mengurung’ diri mereka selama tiga kali suci.”

(Surah Al-Baqarah: 228)

Dalam tempoh tersebut, suami mempunyai hak untuk merujuk kembali isterinya yang telah diceraikan. Ini berdasarkan firman Allah SWT di dalam sambungan ayat di atas:

وَبُعُولَتُهُنَّ أَحَقُّ بِرَدِّهِنَّ فِي ذَٰلِكَ إِنْ أَرَادُوا إِصْلَاحًا

Maksudnya: “Dan suami-suami mereka berhak mengambil kembali (rujuk akan) isteri-isteri itu dalam masa iddah mereka jika suami-suami bertujuan hendak berdamai.”

(Surah Al-Baqarah: 228)

Imam al-Syafi‘e ketika mengulas ayat di atas, beliau berkata: “Memperbaiki talak adalah dengan cara melakukan rujuk.” (Lihat Al-Umm, 5/260)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan lafaz anda “sudah berpisah 2 tahun” menunjukkan lafaz sorih (jelas) yang mana tidak perlu kepada niat, maka hukumnya jatuh talak satu.

Begitu juga, berkenaan rujuk dengan persetubuhan, menurut Imam al-Nawawi dalam kitabnya, di dalam mazhab Syafie, tidak sah meruju’ melainkan dengan ucapan. Sekiranya seseorang itu menyetubuhinya maka hal tersebut tidak dianggap sebagai ruju’. Maka tidak sah (ruju’) dengan perbuatan sekiranya seseorang mampu untuk mengucapkan (lafaz ruju’). (Lihat al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab, 7/266).

Maka, dapat difahami di sini, ruju’ itu tidak akan berlaku kecuali dengan lafaz ruju’ (sekiranya dia mampu). Maka, ruju’ dengan persetubuhan dikira tidak sah melainkan dengan lafaz ruju’.

Kami tegaskan di sini, isu talak, janganlah dipermudahkan dan dibuat main-main. Sebagaimana hadith Nabi SAW: Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ثَلاَثٌ جِدُّهُنَّ جِدٌّ وَهَزْلُهُنَّ جِدٌّ النِّكَاحُ وَالطَّلاَقُ وَالرَّجْعَةُ

Maksudnya: “Tiga perkara yang dilakukan secara serius atau main-main memberi kesan; nikah, talak, dan rujuk.”

Riwayat Abu Dawud (2194), al-Tirmidzi (1184) dan Ibnu Majah (2039)

Hadith di atas jelas menunjukkan larangan untuk bermain-main dalam tiga perkara di atas. Hal ini kerana gurauan di dalam tiga perkara itu akan dihukumkan sebagai maksud asal perkataan tersebut tanpa mengira niat untuk bergurau. Oleh itu, sebagai umat Islam kita perlu sedar dan tahu batas-batas gurauan di dalam Islam. Islam tidak sesekali melarang gurauan secara umumnya, namun setiap sesuatu itu perlu ada hadnya, dan tidak semua perkara boleh untuk kita bergurau-senda.

Dr. Muhammad al-Zuhaili menyatakan sekiranya gurauan dibuat oleh suami dan isteri sudah baligh, berakal dan tidak dipaksa mana-mana pihak, maka lafaz talak yang dilafazkan adalah dikira, dan jatuh talak mengikut apa yang disebutkan. (Lihat al-Mu’tamad, 4/ 157)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahu a’lam.

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *