Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah kelebihan membaca Surah al-Takathur dan bolehkah beramal dengannya? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Allah SWT berfirman:
أَلْهَىٰكُمُ ٱلتَّكَاثُرُ ١ حَتَّىٰ زُرْتُمُ ٱلْمَقَابِرَ ٢ كَلَّا سَوْفَ تَعْلَمُونَ ٣ ثُمَّ كَلَّا سَوْفَ تَعْلَمُونَ ٤ كَلَّا لَوْ تَعْلَمُونَ عِلْمَ ٱلْيَقِينِ ٥ لَتَرَوُنَّ ٱلْجَحِيمَ ٦ ثُمَّ لَتَرَوُنَّهَا عَيْنَ ٱلْيَقِينِ
Maksudnya: “Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh), – (1) Sehingga kamu masuk kubur. (2) Jangan sekali-kali (bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk semasa hendak mati)! (3) Sekali lagi (diingatkan): jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak akibatnya yang buruk pada hari kiamat)! (4) Demi sesungguhnya! Kalaulah kamu mengetahui – (apa yang kamu akan hadapi) – dengan pengetahuan yang yakin, (tentulah kamu akan mengerjakan perkara-perkara yang menjadi bekalan kamu untuk hari akhirat). (5) (Ingatlah) demi sesungguhnya! – Kamu akan melihat neraka yang marak menjulang. (6) Selepas itu – demi sesungguhnya! – kamu (wahai orang-orang yang derhaka) akan melihatnya dengan penglihatan yang yakin (semasa kamu dilemparkan ke dalamnya)! (7) Selain dari itu, sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari itu, tentang segala nikmat (yang kamu telah menikmatinya)!”
(Surah al-Takathur:1-8)
Al-Alusi menyatakan: Ibn Abi Hatim telah meriwayatkan daripada Said bin Abi Hilal bahawa beliau berkata: Para sahabat Rasulullah SAW menyebutnya sebagai (al-Maqbarah). Disebut dalam kebanyakan mushaf dan tafsir sebagai (Surah al-Takathur). Begitu juga oleh al-Tirmizi dalam Jami‘nya, dan ia juga diberi tajuk yang sama dalam beberapa mushaf lama di Qairawan.
Dalam beberapa mushaf, ia disebut sebagai (Surah al-Hakum), dan ia juga dinamakan oleh al-Bukhari dalam Kitab al-Tafsir dari Sahihnya. Ia adalah surah Makkiyah menurut kebanyakan ulama, kata Ibn ‘Atiyyah: Ia adalah surah Makkiyah dan saya tidak mengetahui adanya khilaf mengenainya.
Menurut Ibn ‘Abbas, al-Kalbi, dan al-Muqatil: Surah ini diturunkan berkenaan dengan pertikaian yang berlaku antara Bani Abdul Manaf dan Bani Sahm di Makkah mengenai kebanggaan mereka dalam Islam. Mereka adalah dari suku Quraisy di Makkah serta kubur nenek moyang mereka juga berada di Mekah (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 30 517)
Surah ini merupakan seruan kepada hati manusia yang tenggelam dalam kebanggaan dan perlumbaan mengumpul harta serta kemewahan dunia. Ia mengingatkan bahawa apa yang dibanggakan itu akan lenyap, bahawa dunia ini singkat, dan bahawa akhirnya menuju ke liang lahad yang sempit. Di sana, hakikat yang kekal dan keyakinan yang pasti akan terlihat. Kamu akan dipertanggungjawabkan atas pelbagai kenikmatan dan segala bentuk kesenangan, seperti usia muda, harta, kedudukan, kesihatan, dan kesejahteraan, tentang bagaimana kamu menggunakannya. (Lihat al-Mausu‘ah al-Quraniah Khasais al-Suwar, 12/144)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas, dikatakan bahawa antara kelebihan membaca Surah al-Takathur adalah pahala amalannya menyamai 1000 ayat. Hal ini sebagaimana yang telah diriwayatkan daripada Ibn ‘Umar bahawa dikatakan Rasulullah SAW bersabda:
لَا يَسْتَطِيْعُ أَحَدُكُمْ أَنْ يَقْرَأَ أَلْفَ آيَةٍ كُلَّ يَوْمٍ قَالُوا وَمَنْ يَسْتَطِيعُ ذَلِكَ قَالَ أَمَا يَسْتَطِيعُ أَحَدُكُم أَنْ يَقْرأَ ﴿أَلْهاكُمُ التَّكُاثُرُ﴾
Maksudnya: “Tiada seorang pun di antara kamu yang mampu membaca seribu ayat setiap hari.” Mereka berkata, “Siapakah yang mampu melakukannya?” Baginda bersabda, “Bukankah salah seorang di antara kamu mampu membaca Surah أَلْهاكُمُ التَّكُاثُرُ ”
Riwayat al-Hakim (2081) dan al-Baihaqi dalam Syu‘ab al-Iman (2518). Syeikh al-Albani menilai hadith ini sebagai Dha’if dalam Targhib wa Tarhib (1/446)
Telah disebutkan dalam Mir‘ah al-Mafatih Syarh Misykah al-Mafatih (7/258) bahawa: Surah ini setara dengan membaca seribu ayat dari segi ganjaran, atau dalam menanamkan rasa zuhud terhadap dunia dan mendorong untuk mencapai keyakinan penuh tentang kehidupan akhirat.
Begitu juga disebutkan dalam Lum’at al-Tanqih,fi Syarh Misykah al-Masabih, 4/580 : Ini bermaksud bahawa ganjarannya setara dengan ganjaran membaca seribu ayat, dan rahsianya hanya diketahui oleh Allah SWT.
Justeru kami katakan, sebahagian ulama menilai hadith tersebut termasuk dalam hadith dhaif. Oleh yang demikian, kami katakan dibolehkan untuk beramal dengannya namun hendaklah menepati syarat-syarat yang ditetapkan oleh para ulama seperti:
- Kelemahannya tidak terlalu berat, maka tidak boleh beramal dengan hadith yang diriwayatkan secara bersendirian oleh seseorang yang diketahui sebagai pendusta, dituduh berdusta, atau yang kesalahannya sangat keterlaluan.
- Ia mesti termasuk di bawah prinsip yang sudah diamalkan
- Tidak boleh berpegang bahawa hadith itu thabit daripada Rasulullah SAW ketika mengamalkannya, tetapi perlu dianggap sebagai langkah ihtiyat.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Wallahua‘lam.