Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah yang dimaksudkan dengan al-Ahillah (الْأَهِلَّةِ) dalam Surah al-Baqarah ayat 189? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Allah SWT berfirman:
يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْأَهِلَّةِ ۖ قُلْ هِيَ مَوَاقِيتُ لِلنَّاسِ وَالْحَجِّ
Maksudnya: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (peredaran) anak-anak bulan. Katakanlah: “(peredaran) anak-anak bulan itu menandakan waktu-waktu (urusan dan amalan) manusia, khasnya ibadat Haji.”
(Surah al-Baqarah: 189)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa Allah SWT menjelaskan dalam ayat ini mengenai faedah dan hikmah daripada perbezaan bentuk hilal (anak bulan) dengan pertambahan mahupun pengurangan pada setiap bulannya. Diceritakan bahawa para sahabat bertanya kepada Rasulullah tentang hal itu. Maka Allah SWT menjawabnya dengan menyebutkan, ia adalah tanda-tanda yang mana dengannya manusia dapat mengetahui waktu-waktu ibadat mereka yang sudah ditentukan waktunya seperti puasa, haji, zakat, dan maslahah-maslahah yang lainnya. (Lihat Tafsir al-Madinah al-Munawwarah, hlm. 121.)
Ibn Kathir berkata, ayat di atas menjelaskan bahawa hilal itu diciptakan oleh Allah SWT sebagai panduan manusia dalam menentukan waktu berpuasa dan berbuka, iddah, haul zakat, tempoh berhutang, waktu haji dan lain-lain. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 1/522)
Menurut al-Tabari dengan menukilkan daripada riwayat Qatadah bahawa orang ramai bertanya berkenaan; mengapa dijadikan bulan sedemikian rupa? Lalu Allah SWT menurunkan ayat berkenaannya sebagaimana yang kamu dengar iaitu ayat “هِيَ مَوَاقِيتُ لِلنَّاسِ” (Peredaran anak-anak bulan itu menandakan waktu-waktu urusan dan amalan manusia). Justeru ia menjadi rujukan bagi puasa kaum Muslimin dan waktu berbuka mereka (yakni hari raya), penentuan waktu haji dan manasik mereka, tempoh iddah bagi kaum perempuan dan tempoh berhutang dalam sesuatu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk ciptaan-Nya. (Lihat Tafsir al-Tabari, 3/553)
Justeru berdasarkan ayat di atas jelaslah kepada kita bahawa Allah SWT menciptakan bulan dan perbezaan bentuknya berdasarkan peredarannya adalah sebagai panduan bagi kehidupan manusia. Perubahan bentuk bulan dari sabit, purnama, hingga kembali ke sabit adalah cara Allah menunjukkan kebesaran-Nya dan memudahkan kita dalam menentukan waktu-waktu penting seperti puasa, zakat, dan haji. Ini juga mengingatkan kita akan kebesaran ciptaan-Nya dan pentingnya mengikuti petunjuk-Nya dalam menjalani kehidupan seharian.
Dalam sebuah riwayat daripada Talhah bin Ubaidillah R.A, bahawa Nabi SAW membaca apabila melihat anak bulan:
اللهُمَّ أَهِلَّهُ عَلَيْنَا باِلْيُمْنِ وَالِْيمَنِ، وَالسَّلامَةِ وَالِْسْلامِ، رَبِّي وَرَبُّكَ اللهُ
Maksudnya: “Ya Allah! Naungilah kami dengan keamanan dan keimanan serta keberkatan keselamatan dan kesejahteraan. Tuhanku dan Tuhanmu adalah Allah.”
Riwayat al-Tirmizi (3451) dan Ahmad (1397). Syeikh Syu’aib al-Arna’t menyatakan hadith ini hasan bagi syawahidnya.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Wallahua‘lam.