Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, adakah benar Rasulullah SAW menyatakan Kuda, wanita, dan tempat tinggal termasuk dalam perkara sial dan mengapa Rasulullah SAW menyatakan yang sedemikian? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertama sekali kita lafazkan syukur kepada Allah SWT atas pelbagai kurniaan nikmat-Nya. Menjadi keyakinan kita yang menyusun segala-galanya adalah Allah SWT. Ini bersesuaian dengan firman-Nya:

كُلَّ يَوْمٍ هُوَ فِي شَأْنٍ

Maksudnya: “Tiap-tiap masa Ia di dalam urusan (mencipta dan mentadbirkan makhluk-makhlukNya)!”

 Surah al-Rahman (29)

Menurut Prof. Dr. Wahbah az-Zuhaili, ayat ini menjelaskan berkenaan keadaan Allah SWT di dalam mentadbir urusan-Nya pada setiap masa dan setiap hari. Antara urus tadbir Allah SWT adalah menghidupkan dan mematikan, memberi rezeki, memberi kemuliaan dan memberi kehinaan, memberi kesakitan dan juga menyembuhkan, memberi arahan serta panduan di samping menegah beberapa perbuatan, mengampunkan dosa dan memberi azab kepada yang bersalah dan yang melakukan dosa, dan perbuatan-perbuatan lain yang tidak akan terkira oleh manusia. (Lihat Tafsir al-Munir, 14/226)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa benar, Rasulullah SAW pernah menyebutkan ketiga-tiga perkara tersebut iaitu kuda, wanita dan tempat tinggal termasuk dalam perkara yang boleh membawa sial. Hal ini boleh dilihat melalui sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

إنَّما الشُّؤْمُ في ثَلاثَةٍ: في الفَرَسِ، والمَرْأَةِ، والدّارِ

Maksudnya: “Sesungguhnya sial itu hanya ada pada tiga (perkara): Kuda, wanita, dan tempat tinggal.”

Riwayat al-Bukhari (2585) dan Muslim (2225)

Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani menyatakan bahawa:  ‘Abdul Razzaq menyebutkan dalam kitabnya al-Musannaf dari Ma’mar:  ‘Aku mendengar seseorang yang menafsirkan hadith ini berkata: Kecelakaan seorang wanita adalah apabila dia tidak melahirkan anak, kecelakaan seekor kuda adalah apabila ia tidak digunakan untuk berperang, dan kecelakaan sebuah rumah adalah apabila mempunyai jiran yang jahat. (Lihat Fath al-Bari, 6/62)

Selain itu juga al-Nawawi menyebutkan: Para ulama berbeza pendapat mengenai maksud hadith ini. Imam Malik dan sekelompok ulama berkata: Ia membawa maksud zahirnya, iaitu Allah SWT mungkin menjadikan tinggal di rumah tertentu sebagai sebab kepada kemudaratan atau kebinasaan, begitu juga dengan perkahwinan dengan wanita tertentu.

Al-Khattabi dan ramai ulama lain berkata: Ia membawa maksud pengecualian daripada tiyarah (berfirasat memperolehi sial). Maksudnya, tiyarah dilarang kecuali dalam hal seperti memiliki rumah yang tidak disukai untuk didiami atau isteri yang tidak disukai untuk hidup bersama, maka hendaklah meninggalkan kesemua ini melalui jualan rumah dan sebagainya atau melalui perceraian. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘Ala Muslim, 14/220-221)

Justeru, perkara-perkara ini hendaklah diarahkan kepada yang bermanfaat. Sebagai contoh, kuda harus digunakan untuk tujuan yang baik, wanita diharapkan melahirkan anak, dan tempat tinggal harus dijaga dengan baik untuk memastikan hubungan yang harmoni dengan jiran tetangga.

Selain itu, hadith ini juga mengingatkan kita bahawa konsep sial atau kecelakaan bukanlah mutlak. Segala yang berlaku adalah dengan izin Allah SWT dan tidak ada yang dapat mengubah takdir melainkan dengan doa dan usaha yang bersungguh-sungguh.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

بِسْمِ اللهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ، وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

Maksudnya: “Dengan nama Allah yang dengan nama-Nya, tidak ada satu pun yang dapat memberi kemudaratan di bumi mahupun di langit. Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Wallahu‘alam

Leave a Reply